BARU-BARU ini, FORD Motor Company bersama Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) menggegar dunia automatif apabila melancarkan Ford Ranger FX4 baharu ke pasaran tempatan.

Ekoran pandemik Covid-19, Ford Ranger FX4 yang merupakan trak pikap pertama di Malaysia telah diperkenalkan kepada umum melalui platform digital, Facebook dan YouTube Live.

Menurut Pengarah Urusan SDAC, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, kenderaan terbaharu itu adalah kenderaan yang tiada tandingan untuk mereka yang sentiasa sukakan cabaran.

“Ia merupakan tambahan kepada sembilan varian lain di Malaysia dan  menguatkan lagi versatiliti Ranger sebagai kenderaan yang sesuai untuk semua gaya hidup,“ katanya baru-baru ini.

Ford Ranger FX4 antara lain memiliki ciri unik dengan reka bentuk gril jejaring baharu berwarna hitam (Ebony Black), ditambah rim hitam berkilat dengan tayar All-Terrain.

Pada rekaan luaran pula, pelekat ‘FX4’ dan emblem yang menonjol menampakkan cirinya yang tersendiri berbanding varian Ranger yang lain.

Identiti FX4 terus jelas dilihat di ruangan kabin dengan logo FX4 dicetak timbul di tempat duduk yang diperbuat daripada kulit. Kemasan ruangan dalamannya pula dihiasi pelapik karpet khusus .

Iklan

“Pendek kata, Ford Ranger FX4 direka khas untuk pelanggan yang mahu menggabungkan kehidupan urban yang selesa dan untuk kegunaan lasak,“ katanya.

Dalam pada itu, Syed Ahmad Muzri berkata, 150 pelanggan pertama yang membeli trak pikap edisi baharu itu akan menerima aksesori tambahan seperti perakam video digital yang keseluruhan bernilai RM5,398 secara percuma.

Iklan

Ford Ranger FX4 baharu didatangkan dengan tiga warna pilihan iaitu kelabu (Meteor Grey),  hitam (Absolute Black) dan putih (Artic White).Ia dijual pada harga RM126,888 (di atas jalan tanpa insurans) dengan waranti penuh pengeluar selama tiga tahun atau hingga 100,000 kilometer perjalanan.

Untuk maklumat lanjut tentang Ford Ranger FX4 baharu, layari laman web https://www.sdacford.com.my.