PASTINYA sambutan lebaran kali ini tidak semeriah  tahun-tahun sebelumnya. Wabak tidak terjangka yang melanda Malaysia memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Antara keputusan yang tidak pernah terjangkau dek akal, aktiviti kunjung-mengunjung hanya boleh dilakukan sehari iaitu pada hari raya pertama  dengan syarat membabitkan 20 ahli keluarga sahaja.

Orang ramai juga  tidak boleh merentas negeri untuk balik kampung. Memang sedih!

Bagaimanapun, penulis percaya, aura Aidilfitri tetap mahu dirasai walaupun beraya dalam keadaan serba sederhana.

Selain memakai busana cantik, pastinya sajian seperti rendang, ketupat, lontong, lemang, kuih-muih, kek dan teh tarik wajib menjadi santapan pada musim raya.

Selepas sebulan berpuasa, ramai antara kita seolah-olah seperti ‘membalas dendam’ apabila menikmati makanan sepuas-puasnya sehingga terlupa menu yang dihadam itu mempunyai kalori yang tinggi. Obes atau gemuk selepas Ramadan bagaikan sudah menjadi satu trend.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kodiang, Kedah, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali menjelaskan, kalori adalah unit yang digunakan untuk mengukur tenaga yang diperoleh melalui makanan.

DR Mohamad Suaidi.

“Dalam erti kata mudah, kalori merujuk kepada tenaga,” katanya.

Ujar Dr Mohamad Suaidi, makanan terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu karbohidrat, protein dan lemak.

Karbohidrat menghasilkan 4 kalori per gram, sama seperti protein. Lemak pula menghasilkan 9 kalori per gram.

Sebagai contoh, jika satu-satu makanan mengandungi 20 gram (g) karbohidrat, 20g protein dan 20g lemak, ia bersamaan 340 kilokalori (kcal). Jika dimakan, jumlah kalori yang masuk dalam tubuh adalah sebanyak itu.

Berikut ialah contoh pengiraan:

(20g x 4) + (20g x 4) + (20g x 9) = 340kcal

Ujar Dr Mohamad Suaidi, badan manusia menggunakan karbohidrat daripada makanan sebagai sumber tenaga utama tetapi beralih menggunakan lemak dalam tubuh ketika fasa berlapar atau berpuasa.

“Protein merupakan sumber terakhir yang digunakan kerana proses penghasilan tenaga menggunakan protein akan membebankan badan,” katanya.

Sebab kegemukan

Memperincikan lebih lanjut, Dr Mohamad Suaidi berkata, apabila kalori diambil secara berlebihan atau tidak digunakan, ia akan menyebabkan kegemukan.

Jika ia diambil secara kurang atau digunakan secara berlebihan, seseorang akan mengalami proses katabolisme iaitu badan menguraikan sumber tenaga yang disimpan untuk menampung keperluan tenaga harian.

Keperluan kalori sebenarnya bergantung kepada faktor  umur, berat, aktiviti dan keadaan kesihatan, ujar beliau.

“Kanak-kanak dan remaja memerlukan kalori yang lebih tinggi untuk tumbesaran berbanding orang dewasa, begitu juga mereka yang melakukan aktiviti berat berbanding mereka yang duduk sahaja,” jelasnya.

Begitupun, jika kalori diambil secara berlebihan atau berkurangan, ia akan menyebabkan beberapa masalah kesihatan. Antaranya, obesiti, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

“Jika kalori yang diambil kurang pula, seseorang akan berhadapan masalah penurunan berat badan, membantutkan tumbesaran, malnutrisi dan kekurangan zat-zat tertentu,” ujarnya.

Apa yang perlu dilakukan? Menjawab soalan berkenaan, Dr Mohamad Suaidi menyarankan perkara-perkara berikut.

“Jika seseorang mempunyai masalah berat badan berlebihan, maka kurangkanlah pengambilan kalori harian,” katanya.

“Seeloknya, amalkan pemakanan seimbang iaitu konsep suku-suku separuh. Suku protein, suku karbohidrat dan separuh sayur-sayuran dan buah-buahan.

Iklan

“Jika berhadapan masalah kesihatan, segeralah berjumpa dengan pegawai pemakanan bagi mendapatkan nasihat sewajarnya,“ pesannya.

Selain itu, sejajar dengan ledakan aplikasi telefon pintar yang pelbagai, apa kata gunakan sebaiknya untuk menjejak pengambilan kalori makanan harian kita.

Aplikasi pilihan yang dimuat turun secara tidak langsung membantu mengawal jumlah makanan yang diambil. Bukan sahaja badan sihat malah boleh jadi kurus. Lekas bertindak!

ANEKDOT

5 aplikasi kira kalori

1. MyFitnessPal

MyFitnessPal merupakan salah satu aplikasi untuk mengira kalori. Ia mempunyai pangkalan data lebih lima juta jenis makanan. Aplikasi ini  boleh dijadikan panduan kerana kandungan kalori bagi setiap makanan akan dicongak dengan tepat.

Berita baiknya, MyFitnessPal dapat dimuat turun secara percuma menerusi Android dan iPhone.

Iklan

2. LOSE IT

Fungsi aplikasi Lose IT adalah untuk mengira kalori makanan dan jarak aktiviti senaman yang dilakukan. Mereka yang mahu kurus boleh muat turun aplikasi ini.

3. HealthifyMe

Aplikasi ini membantu mengira kalori, menyediakan pelan diet dan memberi panduan senaman untuk orang ramai.  Namun, ia khusus kepada pengguna iPhone sahaja.

4. MyNutriDiari2

MyNutriDiari2 dibangunkan oleh Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan mendidik masyarakat mengenai pemakanan yang sihat, berat badan yang ideal, keperluan kalori harian yang disyorkan, status berat badan seseorang dan tahap aktiviti fizikal.

5. Fitbit Calorie Trackers

Turut tersedia kepada pengguna Android, iPhone dan Windows. Aplikasi ini mempunyai kaedah yang bagus untuk memantau kecergasan dan kesihatan seseorang. Ia dilengkapi ciri-ciri asas seperti penghitung langkah dan jumlah kalori yang dibakar. Jadikan ia buku harian kecergasan kita.