Google Classroom ganti kelas fizikal

A
A
A

KRISIS Covid-19 yang mencetuskan pandemik global memaksa kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sebulan sehingga 14 April ini.

Dalam tempoh tersebut, orang ramai dikehendaki duduk di rumah bagi mengurangkan kontak dengan pembawa virus sekali gus memutuskan rantaian wabak tersebut.

Bukan sahaja pejabat dan premis tidak beroperasi, bahkan sesi persekolahan juga menerima tempias yang sama.

Namun, bagi kira-kira 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini, tempoh bercuti panjang itu bukan bermakna mereka boleh bersantai di rumah tanpa membaca atau mengulang kaji pelajaran.

Selain menyiapkan kerja sekolah, mereka juga boleh menghadiri kelas secara maya.

Berbekalkan aplikasi dan gajet, pelajar dan guru dapat meneruskan sesi pembelajaran walaupun situasinya berbeza berbanding di dalam kelas.

Belajar menerusi Quizziz.com

Berbicara tentang kelas maya, Nizha Periaswamy mempunyai pandangan peribadi.

Menurut ibu kepada Pressena Kannathas, 12, dan Haresh berusia 10 tahun, meskipun dalam tempoh PKP, dua anaknya masih menimba ilmu bersama guru sekolah.

“Mereka belajar menggunakan platform Google Classroom yang menawarkan laman web pembelajaran berbentuk kuiz dikenali sebagai Quizziz.com.

“Mungkin kelas online dianggap sesuatu yang baharu, tetapi ibu bapa dan anak-anak dapat mengadaptasi dengan baik.

“Ini disebabkan para guru telah memberi penerangan ringkas mengenai operasi Google Classroom terlebih dahulu menerusi grup WhatsApp,” katanya kepada Sinar Plus baru-baru ini.

etrendPRESSENA (kanan) dan adiknya, Haresh sedang fokus belajar kelas online bersama guru masing-masing sepanjang tempoh PKP di kediaman mereka.

Tambah Nizha mengenai Quizziz.com, bagi kategori latihan, prosesnya mudah. Murid dapat meluangkan masa dan lebih fokus.

Namun begitu, kategori kuiz yang memberikan masa yang lebih singkat kadangkala menyebabkan tumpuan murid terganggu.

“Misalnya, untuk menjawab satu soalan, masa yang diberikan hanya 10 saat. Apabila tidak sempat membaca soalan, apatah lagi menjawabnya, maka mereka (anak-anak) cepat hilang tumpuan,” tutur Nizha mengenai ragam dua anaknya yang belajar menerusi komputer riba dan telefon pintar.

Quizziz.com merupakan aplikasi pembelajaran yang dibangunkan Quizizz Inc. Hadir dalam saiz 24.9MB, aplikasi tersebut menawarkan subjek seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sains Komputer dan sebagainya.

Ia sesuai untuk kanak-kanak berusia empat tahun ke atas sama ada menggunakan platform web atau dimuat turun ke dalam telefon pintar.

Mengaji guna Face Call

Sementara itu, Johanna Sobrey pula menjelaskan pada minggu kedua PKP, anak perempuan beliau belajar mengaji menggunakan aplikasi Face Call.

Halaman bacaan adalah mengikut senarai yang diberikan pihak sekolah sebelum PKP dikuatkuasakan.

“Kebiasaannya, ustazah berkenaan mengendalikan kelas menerusi Face Call, namun kadangkala proses pembelajaran terganggu disebabkan masalah rangkaian.

"Jadi, saya akan rakam video anak mengaji dan menghantarnya kepada ustazah melalui WhatsApp atau e-mel. Kemudian, beliau akan memberi maklum balas membetulkan bacaan,” tutur beliau.

etrendSETIAP hari, Dahlia belajar mengaji menerusi Face Call bersama ustazahnya.

Selain mengaji, tiga puteri Johanna iaitu Dahlia AnNajla Shamsul Fitri, Laila Jasmin dan Lili Aisyah juga belajar kelas agama.

Bagi kelas akademik dan diniyyah, anak-anak akan bersedia dengan bahan pembelajaran yang diterima lima hingga 10 minit sebelum kelas bemula mengikut jadual.

Jelas beliau, untuk subjek akademik dan diniyyah, lazimnya guru menghantar video, slaid dan latihan melalui aplikasi Telegram. Untuk kuiz dan kerja rumah pula menggunakan Google Classroom.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca