UJAR Amirul Hafiz Zulkefly, ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Melaka enam tahun lalu, beliau kerap menghala ke bandar Melaka semata-mata untuk membeli pisang goreng keju yang dijual di sebuah gerai medan selera.

Katanya, pisang goreng itu bukan sahaja ranggup dan manis, malah enak bersalut keju meleleh.

“Pendek kata makcik tersebut (penjual) tidak kedekut keju,“ katanya ketika ditemui SinarPlus di gerai The BanCheese, Medan Selera USJ 1, Subang Jaya, Selangor pada Rabu lalu.

Bertitik tolak daripada situ, graduan Ijazah Pengkomputeran Multimedia tersebut mengambil langkah serupa mengusahakan gerai pisang goreng keju, The BanCheese bermula pada 15 November lalu selepas bisnes kad undangan perkahwinan digital (e-card) yang diusahakannya terjejas akibat Covid-19.

pisang goreng
AMIRUL HAFIZ bersama isteri, Nurfadilah mengusahakan pisang goreng hispter, The BanCheese di Medan Selera USJ 1, Subang Jaya, Selangor sejak 15 November lalu.

Enggan dirundum kesedihan, pemuda berasal dari Shah Alam, Selangor itu bangkit dengan perniagaan makanan pisang goreng.

“Masyarakat Malaysia dan pisang goreng umpama simbiosis yang tidak dapat dipisahkan. Ia menjadi kegemaran semua lapisan umur tanpa mengira latar belakang,“ ujar usahawan muda itu.

Amirul Hafiz memberitahu, di The BanCheese pelanggan ditawarkan tiga kategori iaitu pisang goreng premium, original dan klasik.

Katanya, lazimnya golongan warga emas lebih cenderung memilih pisang goreng klasik yang dihidangkan bersama sambal kicap pekat.

Resipi warisan

pisang goreng
PARA pelanggan The BanCheese berpeluang memilih sama ada set pisang goreng klasik yang hadir bersama sambal kicap, sos premium ataupun original.

Menariknya, sambal kicap terbabit merupakan resipi warisan bapanya yang berasal dari Simpang Renggam, Johor.

Sementara itu, katanya, bagi generasi muda dan remaja, cita rasa mereka pastinya pada kategori premium dan original yang mempunyai lebih 20 jenis sos (topping).

“Buat penggemar topping rasa mewah, mereka boleh memilih sos coklat nutella, milo, oreo, butterscoth, tiramisu ataupun caramel. Perisa keju, coklat, nestum, strawberi dan coklat putih pula antara perisa yang terdapat dalam kategori original,“ ujar beliau yang mengasaskan The BanCheese bersama isteri, Nurfadilah Rahman, 27.

Bercerita lanjut, setakat ini katanya, The BanCheese yang dikunjungi pelanggan sekitar Subang Jaya, Cheras,Gombak dan Sungai Buloh itu hanya menggunakan pisang abu.

“Ini disebabkan tekstur isinya lembut dan rasa bertambah manis apabila dipadankan bersama sos-sos sampingan.

“Di dalam satu kotak terdapat antara tujuh hingga lapan keping pisang goreng mengikut saiz buah pada hari tersebut.

“Dalam pada itu, kami juga menyediakan set premium istimewa yang mana dalam satu hidangan terdiri daripada pisang goreng bersos nutella, milo, oreo, butterscoth, tiramisu dan karamel,“ jelas beliau yang bercadang untuk mewujudkan The BanCheese francais pada tahun depan.

 

Jom Singgah

TIDAK dinafikan kudapan minum petang rakyat Malaysia khususnya pisang goreng antara yang menerima tempias suntikan inovasi hipster.

Iklan

Jika sebelum ini, snek gorengan itu dimakan panas begitu sahaja atau dicicah dalam sambal kicap, kini orang ramai berpeluang menikmatinya bersama sos lazat pilihan.

Oleh itu, segmen Jom Singgah minggu ini memaparkan empat lokasi menawarkan hidangan pisang goreng yang boleh dicuba.

pisang goreng

KAKP THE ORIGINAL PISANG CHEESE
Alamat: Setia Alam, Shah Alam; Selayang, Wangsa Maju, Bangi, Kelana Jaya, Putrajaya, Ampang dan Hentian R&R Ayer Keroh, Melaka
Instagram: @kakpthepisangcheese

Iklan

GORENG PISANG DENGKIL
Alamat: Jalan Anggerik, Kampung Dato Ahmad Razali, Dengkil, Selangor
Instagram: @goreng.pisang.dengkil

THE KRUPP BANCHEESE
Alamat: 1-9A, Jalan Putra Perdana, 5F, Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor
Instagram: @kruppbancheese

PISANG GORENG MAWAR
Alamat: 888, Jalan Sungai Chat, Sri Gelam, Johor Bahru
Instagram: @pisang_mawar