SETIAP kali tibanya musim perayaan, ramai yang ‘lupa diri’ terutama sekali dalam mengamalkan pemakanan sihat.

Natijahnya, pelbagai penyakit mula mendekati. Salah satunya adalah gout yang sememangnya cukup sinonim dengan ‘pesta makan-makan’ ketika hari raya.

Memandangkan juadah yang disediakan begitu mengamit selera, apatah lagi hanya dijumpai setahun sekali itu, justeru ada segelintir yang memilih untuk pejam mata dan menikmati hidangan tanpa mempedulikan impaknya.

Bukan senang untuk menikmati juadah seperti rendang daging, sup tulang dan lontong. Namun, akhirnya menyebabkan keupayaan untuk menjalani aktiviti harian jadi terjejas.

Pun begitu, benarkah makanan punca utama seseorang mengalami gout?

Untuk mengupas topik ini dengan lebih lanjut, SinarPlus menemu bual Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Reumatologi, Hospital Pakar KPJ Rawang, Profesor Madya Dr Hajah Azlin Ahmad.

Menurut Dr Azlin, gout merupakan salah satu jenis keradangan sendi dan berlaku disebabkan oleh pengumpulan asid urik yang berlebihan.

“Keadaan itu menyebabkan sendi yang menghubungkan antara tulang dan tulang menjadi bengkak dan sakit.

“Lazimnya keradangan berlaku pada buku lali, lutut dan jari kaki,” ujarnya memulakan bicara ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Jelas beliau, pengumpulan asid urik terhasil daripada makanan yang tinggi kandungan bahan kumuhan itu atau bahan kimia semulajadi yang dipanggil purin.

Ia sepatutnya dicerna oleh tubuh dan diproses dalam buah pinggang sebelum disingkirkan melalui air kencing.

“Pengumpulan asid urik yang berlebihan akan membentuk kristal dan mendapan dalam buah pinggang akan menyebabkan masalah batu karang.

“Gout pula adalah situasi mendapan pada bahagian sendi,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Azlin berkata, sebenarnya penyakit tersebut boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa melihat faktor jantina atau umur.

“Gout boleh berlaku kepada lelaki dan wanita tidak kira muda atau tua, malah kanak-kanak juga berisiko untuk mendapatnya.

Dr Azlin kemudiannya menjelaskan faktor-faktor seseorang berisiko mengalami permasalah tersebut.

Antaranya: Golongan lelaki yang lebih berusia dan wanita menopaus. Keturunan dan genetik daripada ibu bapa yang mempunyai gout. Masalah obesiti dan gaya hidup seperti merokok dan pengambilan alkohol.

Kesan pengambilan ubat-ubatan seperti ubat darah tinggi, tibi dan kemoterapi kanser.

Menyambung hujahnya, diet yang tinggi kandungan purin dan protein juga penyumbang kepada permasalahan tersebut.

“Daging merah, organ dalaman haiwan dan makanan laut bercengkerang seperti lala dan kepah adalah contoh makanan yang tinggi kandungan urik asid.

“Jangan lupa juga kekacang termasuk soya, tempe dan sayur-sayuran seperti kacang panjang dan kacang botol,” katanya.

Pun begitu, kata beliau, segala-galanya bergantung kepada tubuh seseorang.

Kawal pengambilan makanan

Justeru, ketika musim perayaan, pesakit disaran supaya mengawal pengambilan makanan dan minuman yang berisiko menyebabkan penyakit itu menyerang.

“Menjadi tanggungjawab kepada pesakit itu sendiri untuk tahu kesan dan akibat sekiranya mereka makan juadah tersebut tidak kira di rumah atau semasa berkunjung ke acara rumah terbuka.

“Hal ini kerana seseorang yang mendapat serangan gout akan mengalami kesakitan dan bengkak pada sendi.

“Ia sekali gus menyebabkan pergerakan menjadi terhad dan akhirnya tidak dapat berkunjung ke rumah saudara-mara,” jelasnya.

Tambah beliau, sendi yang bengkak boleh mengundang jangkitan kuman dan mereka yang kurang minum air pula boleh mengalami dehidrasi. Paling membimbangkan adalah pesakit berisiko mendapat kerosakan buah pinggang.

Sementara itu, bagi menjelaskan bagaimana penyakit tersebut dikesan dan kaedah perawatannya, SinarPlus telah mewawancara Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Reumatologi, Hospital Pakar KPJ Selangor, Dr Lim Shiau Li.

Ujar beliau, gout boleh dikesan jika pesakit menunjukkan gejala serangan artritis iaitu sendi bengkak, panas dan merah terutamanya selepas mengambil makanan yang tinggi kandungan purin.

“Kesakitan sendi maksimum akan berlaku dalam tempoh 24 jam pertama dan akan reda atau hilang dalam tempoh kurang 14 hari.

“Diagnosis gout juga dibuat selepas konsultasi bersama doktor berkenaan risiko penyakit termasuk diet, sejarah keluarga, pengambilan ubat-ubatan dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan terperinci oleh doktor juga meliputi ujian darah, pengimejan radiologi seperti ultrasound sendi dan X-ray.

Sampel cecair sendi yang bengkak (synovial fluid) juga akan diambil menggunakan jarum halus untuk prosedur analisis di bawah mikroskop bagi mengesan kristal asid.

Pembentukan tophi

Dr Shiau Li turut menjelaskan penyakit tersebut dikategorikan berdasarkan empat tahap.

Ia terdiri daripada: Asimptomatik

-Tidak menunjukkan sebarang simptom walaupun bacaan asid urik lebih tinggi daripada normal.

Akut

– Serangan keradangan sendi yang muncul tiba-tiba dengan kesakitan maksimum dalam tempoh 24 jam dan reda dalam beberapa hari ke satu minggu.

Interkritikal

– Pesakit tidak mempunyai serangan sakit gout yang boleh berlangsung dari bulan ke tahun namun perlu ingat, fasa ini akan menjadi lebih pendek jika pesakit tidak mendapat rawatan.

Kronik

-Serangan sakit gout yang kerap dan menyebabkan kerosakan, kecacatan dan ketidakupayaan fungsi sendi.

Pada tahap ini, kristal asid urik yang tinggi boleh menjadikan ketulan dipanggil tophi dan boleh berkumpul pada pelbagai tempat contohnya sendi pangkal ibu jari, buku lali, telinga, siku dan bawah kulit.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rawatan untuk serangan akut akan dilakukan dengan merehatkan sendi yang sakit.

“Penggunaan ais dapat mengurangkan keradangan dan ubat-ubatan seperti NSAIDs atau COX-2 inhibitor dan prednisolone boleh diberikan atas nasihat doktor,” katanya sambil menambah pesakit juga perlu mengetahui pentingnya hidrasi bagi tubuh.

Tambah beliau, rawatan jangka panjang pula akan dilakukan untuk menurunkan bacaan asid urik sekali gus mengelak berlakunya serangan sendi.

Pada pesakit yang mempunyai tophi pula, pengurangan urik asid dalam badan akan mengurangkan saiz ketulan tersebut di samping mengelak pembentukan tophi baharu.

“Pesakit akan diberikan ubat-ubatan seperti Allopurinol, Febuxostat, Probenecid.

“Mereka juga hendaklah mengelak daripada mengambil permakanan tinggi purin,” katanya.

Buah ceri antara makanan yang boleh diambil untuk mencegah goutMenjawab kepada satu persoalan ketika ditanya adakah kanak-kanak berisiko menghidap penyakit itu dan apakah jenis rawatan untuk yang sesuai, beliau mengakui ia boleh dilakukan dengan mengurangkan berat badan, pengambilan makanan seimbang dan perubahan kepada gaya hidup.

 

“Gout dalam kalangan si kecil adalah jarang berlaku dan kajian berkenaan rawatan pengubatan untuk golongan itu adalah terhad.

“Mereka lazimnya akan diberikan ubat seperti Allopurinol atau Febuxastat,” tuturnya.

Seseorang hendaklah mencapai bacaan kurang daripada 360 micromol/L bagi mereka yang mengalami gout tanpa tophi manakala pesakit gout dengan tophi pula perlu kurang daripada 300 micromol/L.

Meneruskan hujah, kata Dr Shiau Li, penyakit gout boleh dikawal dengan ubat-ubatan dan gaya hidup yang sihat.

Pengesanan dan rawatan awal gout dapat mencegah kerosakan sendi kekal yang mana ia boleh menjejaskan fungsi sendi dan kehidupan pesakit.

Justeru, dalam kegembiraan untuk meraikan hari raya ini, pesakit diingatkan supaya mematuhi jadual pengambilan ubat.

“Pastikan pengambilan air yang mencukupi dan paling penting, kawal permakanan supaya tidak memudaratkan kesihatan,” katanya.

Iklan

MAKANAN yang perlu dielakkan pesakit gout:

Bir dan minuman keras.

Daging merah.

Organ dalaman haiwan seperti hati dan paru.

Makanan laut seperti udang, udang galah, kerang, ikan bilis dan sardin.

Produk fruktosa tinggi seperti soda dan beberapa jus, bijirin, ais krim, gula-gula dan makanan segera.

MAKANAN terbaik untuk diet pesakit gout:

Produk rendah lemak dan bukan tenusu seperti yogurt dan susu.

Buah-buahan segar. Kacang, mentega kacang, dan bijirin.

Lemak dan minyak. Kentang, nasi, roti, dan pasta.

Telur (pengambilan secara sederhana).

Daging seperti ikan, ayam dan daging merah adalah baik secara sederhana.

Sayur-sayuran.

Sumber : WEBMD

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!

 

 

 

 

Iklan