SELAIN musim durian, rambutan juga antara buah yang banyak dijual di gerai-gerai tepi jalan atau di pusat beli-belah.

Sebenarnya, rambutan bukan sahaja boleh dinikmati begitu sahaja, malah ia telah dipelbagaikan dalam masakan.

Pun demikian, SinarPlus bukannya merujuk rambutan yang digunakan untuk pencuci mulut seperti agar-agar atau puding, tetapi untuk memasak kari!

Nampak seperti pelik dan pasti kita akan tertanya-tanya bagaimanakah rasanya, bukan?

Kepada SinarPlus, Siti Hafizah Jailani yang arif membuat masakan yang diberi nama kari kerisik rambutan itu berkata, campuran buah berkenaan dalam kari akan membuatkan sajian itu menjadi lebih enak.

Ujar beliau, mempunyai empat batang pokok rambutan di sekitar kawasan rumahnya telah memberi ilham kepadanya memberi nafas baharu kepada menu tersebut.

“Bila tiba musim, buah rambutan biasanya memang berlambak. Jadi, untuk elak buah rambutan busuk, rosak dan terbiar begitu sahaja di atas tanah, saya rasa bertanggungjawab untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.

“Selain membuat jem rambutan merah acuan sendiri, saya telah mempelbagaikannya dengan membubuh buah rambutan dalam kari kerisik kegemaran kami sekeluarga,” katanya yang menetap di Subang, Selangor.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Sitiawan, Perak itu memberitahu, kari kerisik rambutan merupakan resipi tradisi familinya sejak dahulu.

Kadangkala katanya, sajian itu turut menerima permintaan daripada rakan-rakan yang tinggal di Kuala Lumpur yang berminat untuk merasa keunikan air tangannya itu.

Mengenai cara pembuatan pula, wanita berusia 28 tahun itu berkata, segalanya sama seperti memasak kari biasa.

“Bezanya cuma pada tambahan buah rambutan. Biasanya saya akan menggunakan buah yang tidak begitu ranum kerana ia akan berair dan sedikit lembik apabila dimasak.

“Jadi, saya akan ambil rambutan yang masih segar dan berwarna kemerah-merahan lalu dikupas dan disimpan di dalam peti sejuk sebelum dijadikan kari,” tuturnya sambil memberitahu hasil rasanya yang mempunyai variasi manis dan masam.

Seperkara, tanya penulis, kenapa kari perlu ditambah kerisik? Jawabnya bersahaja: “Itulah keistimewaan masakan saya. Cubalah dulu, baru anda tahu kesedapannya.”

Iklan

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menitipkan pesan. Ujar beliau, pastikan kerisik yang digunakan segar agar kari boleh tahan lebih lama.

“Paling penting, kuantiti air yang dimasukkan juga perlu seimbang dengan bahan-bahan lain agar kuahnya tidak menjadi terlalu cair,” katanya.

PROFIL

  • Nama: Siti Hafizah Jailani
  • Umur: 28 tahun
  • Asal: Sitiawan, Perak
  • Menetap: Subang, Selangor

RESIPI KARI KERISIK RAMBUTAN

Iklan

Bahan-bahan

  • 1 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 helai daun pandan
  • 1 paket serbuk kari ikan
  • 1 paket kecil kerisik
  • 1 biji tomato
  • Sedikit air asam jawa
  • Air secukupnya
  • 15 biji rambutan
  • 2 biji ubi kentang (dipotong sederhana)
  • Sedikit garam dan gula

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah sehingga naik bau.
  2. Kemudian, masukkan bawang putih dan halia yang telah ditumbuk lumat.
  3. Selepas itu, masukkan kentang dan kacau rata.
  4. Letak serbuk kari dan sebatikan kesemua bahan sehingga garing lalu dimasukkan daun pandan, air dan air asam jawa.
  5. Setelah kentang empuk, segera masukkan rambutan dan kerisik.
  6. Akhir seklai, kacau rata dan perasakan dengan garam dan gula sebelum tomato diletakkan ke dalam kuali.
  7. Kari kerisik rambutan siap untuk dihidangkan.

Sumber Siti Hafizah Jailani

Jangan lupa follow kami di Instagram!