Oleh SITI FARAH ELIANI SOLLEH

SEKILAS pandang, kuih sopang yang merupakan juadah tradisional Negeri Sembilan mirip dengan kuih badak berendam.

Ironinya, kedua-dua sajian tradisional terbabit menggunakan bahan-bahan utama seperti santan dan inti kelapa.

Pun demikian, selepas menghubungi salah seorang pembikinnya, Ruzitah Md Said, beliau memberitahu, terdapat sedikit kelainan yang perlu diberi perhatian.

“Paling ketara adalah dari segi bentuk dan proses pembuatannya. Kalau kita lihat, kuih badak berendam berbentuk bulat, manakala kuih sopang pula sedikit leper seakan-akan karipap, namun biasanya tak dikelim,” terang anak jati Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

Ujar Ruzitah, beliau mula berjinak-jinak menjual kuih sopang sejak Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan pada Mac dua tahun lalu.

“Saya jual kuih sopang pada harga RM6 sebekas. Saya tak sangka permintaannya sangat memberangsangkan sehingga perlu mengehadkan pesanan pada setiap hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum sahaja kerana pada masa sama, saya perlu memberi fokus kepada pembelajaran lima orang anak saya,” ungkapnya.

Menyentuh tentang tip untuk mendapatkan kuih yang enak dan bertahan lama, Ruzitah tidak lokek berkongsi petua khusus.

“Pertama, pastikan santan yang digunakan segar. Selain itu, semasa proses memasak, gunakan api sederhana. Adunan juga perlu sentiasa dikacau agar tidak meruap dan berketul-ketul.

“Inti kelapa yang digunakan pula tidak boleh terlalu manis kerana akan menyebabkan seseorang itu cepat muak ketika memakannya. Jadi, saya lebih cenderung menggunakan gula kabung.

“Untuk mendapatkan inti yang lembut pula, sebaik-baiknya kelapa dikukur sendiri di rumah jika berkesempatan,” ujarnya yang mempelajari menu yang jarang didengari oleh masyarakat hari ini daripada ibu tersayang.

Iklan

Selari dengan selera anak muda sekarang, sesetengah pembikin kuih akan membubuh pewarna biru atau merah jambu pada kuih itu bagi menarik minat orang ramai untuk menikmatinya.

RESIPI KUIH SOPANG

Bahan-bahan
500 gram tepung beras pulut
4 biji kelapa parut (dijadikan inti)
2 kilogram santan segar
1 sudu kecil garam
1 1/2 cawan air masak
1/3 cawan minyak masak

Iklan

Cara penyediaan:

1. Tepung pulut dibancuh dengan air sehingga tidak melekat pada tangan.
Kemudian, masukkan air sedikit demi sedikit dan uli tepung sehingga bancuhan tepung menjadi tidak lembik dan tidak keras.
2. Seterusnya, alaskan dengan plastik. Letakkan sedikit minyak lalu bentukkan bancuhan tepung tadi menjadi bulat.
3. Letakkan inti kelapa dan bentukkan semula seperti karipap (tanpa kelim).
4. Selepas itu, oles bekas dengan sedikit minyak dan letakkan di dalam bekas sama ada loyang atau bekas plastik untuk dikukus.
5. Untuk santan, masak dengan menggunakan api sederhana dan kacau sentiasa. Jangan lupa masukkan sedikit garam ke dalamnya.
6. Kacau sehingga santan sedikit pekat dan boleh tutup api. Biarkan seketika.
7. Pastikan air kukusan betul-betul mendidih sebelum mengukus kuih sopang dalam 5 hingga 6 minit.
8. Kemudian, buka periuk kukusan dan letakkan satu senduk besar santan yang telah dimasak tadi. Proses mengukus disambung lebih kurang 3 hingga 4 minit.
9. Akhir sekali, kuih sopang siap untuk dihidangkan bersama teh atau kopi O.

Sumber Ruzitah Md Said