Hampir 1 bilion orang dewasa menderita sleep apnea. Kondisi amat bahaya, oksigen tak sampai ke otak

A
A
A

Hampir 1 bilion orang dewasa menderita sleep apnea. Kondisi amat bahaya, oksigen tak sampai otak

SETELAH menunggu buat sekian lama, rakan penulis yang mahu dikenali sebagai Ihsan, 45, akhirnya mendapat slot untuk pembedahan jantung.

Bagaimanapun, perasaan hampa kembali menghantuinya apabila doktor memaklumkan prosedur itu tidak dapat dijalankan kerana masalah sleep apnea yang dideritai beliau.

Sleep apnea adalah merujuk keadaan apabila seseorang kerap berhenti bernafas ketika tidur.

“Doktor dengan tegas menghalang. Jika saya berdegil, nyawa saya mungkin melayang ketika pembedahan sedang berlangsung,“ katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ungkap Ihsan, dirinya sama sekali tidak menyangka masalah sleep apnea yang dihidapi sejak kecil rupa-rupanya berbahaya.

“Kalau difikirkan semula, saya pernah sekali jumpa doktor fasal penyakit ini. Saya pun dah tak ingat apa nasihat mereka. Selama ini pun saya tak makan ubat dan biarkan saja gejala itu,“ ujarnya.

Lapor CNN Health, Pakar Neurologi terkemuka, Dr Diego Carvalho, mendedahkan 936 juta orang dewasa di seluruh dunia berumur antara 30 dan 69 tahun mengalami sleep apnea, namun beliau percaya lebih ramai lagi tidak menjalani diagnosis.

Bagi mengetahui lebih lanjut tentang permasalahan tidur itu, SinarPlus mendapatkan Konsultan Pakar Bedah, Telinga, Hidung & Tekak, Pantai Hospital Klang, Dr Loo Lit Yee.

Dr Lit Yee berkata, sleep apnea merupakan kondisi pernafasan yang terganggu saat seseorang tidur sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 saat.

Hal tersebut disifatkan amat berbahaya kerana tubuh terutama otak tidak memperoleh oksigen yang cukup.

Secara umumnya, masalah kesihatan tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu:

Obstructive Sleep Apnea (OSA): Keadaan ini tercetus apabila terdapat halangan berulang, lengkap atau separa pada salur pernafasan. Setiap ‘episodnya‘ ditamatkan dengan seseorang terjaga daripada tidur. Kitaran itu akan kerap kali berlaku sepanjang waktu tidur dan terjaga berulang-ulang kali tanpa disedari.

Central Sleep Apnea (CSA): Ia berlaku apabila tiada isyarat konsisten yang disalurkan daripada otak dan sistem saraf untuk tujuan bernafas. Tiada halangan sepertimana OSA.

Complex Sleep Apnea (ComSA): Gabungan OSA dan CSA.

Bagi menilai tahap keparahan sama ada normal, ringan, sederhana atau teruk, ia boleh diklasifikasikan melalui ujian tidur atau dikenali sebagai polysomnogram atau PSG, kata Dr Lit Yee.

Anak kecil tak terkecuali

Menurut pakar itu, sleep apnea yang paling biasa berlaku dalam kalangan masyarakat ialah OSA.

Ia terjadi disebabkan terdapat rintangan atau halangan pada salur pernafasan khususnya pada bahagian hidung, mulut dan tekak. Antaranya termasuklah hidung yang sempit akibat struktur yang membengkok atau alahan hidung, lidah besar (macroglossia), adenoid (tonsil farinks) dan tonsil yang besar, anak tekak yang panjang (menyempitkan salur pernafasan) terutama sekali pada waktu tidur,“ ungkapnya.

Sementara, CSA terjadi apabila tiada isyarat konsisten yang disalurkan daripada otak dan sistem saraf untuk tujuan bernafas.

Dalam satu penulisan, MayoClinic berkata, kondisi berkenaan banyak terjadi ke atas kaum Adam dengan nisbah 2:1.

“Bayi dan kanak-kanak tidak terkecuali. Situasi itu secara langsung boleh memberi implikasi kepada perkembangan otak mereka,“ kata MayaClinic.

Menambah fakta, sumber itu berkata, terdapat perbezaan jelas sleep apnea antara budak kecil dengan golongan dewasa.

“Orang dewasa akan rasa lebih mengantuk pada siang hari, manakala anak-anak cenderung terkait dengan gangguan perilaku, perkembangan kognitif dan pertumbuhan,“ ujar mereka.

Dari satu sudut, adakalanya sukar untuk pakar mengklasifikasi kategori sleep apnea kerana kriterianya sedikit lebih kurang sama. Antaranya seperti:

-Kerap berdengkur kuat dan terdapat jeda pada pernafasan saat tidur.

-Bangun secara tiba-tiba dan corak pernafasan tidak normal serta sesak nafas.

-Bangun tidur dengan mulut kering dan sakit tekak.

-Sakit kepala pada waktu pagi.

-Mengalami insomnia (masalah tidur).

-Obesiti, kurang fokus, kemurungan dan mudah marah.

-Lemah tenaga batin dan kurang daya ingatan.

Mengulas lanjut mengenai ketidakupayaan mengekalkan ereksi yang mencukupi untuk hubungan seksual, Dr Lit Yee memberitahu, kondisi OSA memberi impak kepada keseimbangan mental, mood dan emosi.

Elemen berkenaan ditambah lagi dengan tahap stres yang tinggi dan latar belakang penyakit diabetes, obesiti, darah tinggi termasuk penyakit jantung turut menjadi penyumbang kepada kemelut kesihatan itu.

Kepada satu soalan, ujar Dr Lit Yee, kelenjar tiroid yang besar akibat hypothyroidism (kelenjar tiroid menjadi kurang aktif) mungkin berupaya memicu OSA kerana salur pernafasan boleh terjejas dari segi strukturnya secara hipotesis.

 

14 komplikasi utama

Dalam wawancara tersebut, Dr Lit Yee turut ditanya tentang pengalaman Ihsan yang terpaksa membatalkan hasratnya untuk melakukan pembedahan jantung.

Berikut jawapan beliau: “Ia boleh dilakukan, tetapi berisiko lebih tinggi dan memerlukan pemantauan sebelum dan selepas (pembedahan yang rapi). Risiko dan faedah pembedahan mestilah diterangkan dan dipersetujui sebelum langkah seterusnya diambil. Kejayaan pembedahan juga memerlukan kerjasama semua pakar yang berkaitan.“

Menyentuh soal komplikasi, SinarPlus merujuk kepada artikel daripada WebMD yang menyenaraikan 14 implikasi utama.

Sleep apnea secara umumnya akan mempengaruhi tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kegagalan jantung, strok, diabetes jenis 2 (80 peratus atau lebih daripada pesakit mungkin mempunyai OSA), pertambahan berat badan, sindrom metabolisme, asma dan kabut otak (brain fog).

Selain itu, seseorang akan mengantuk pada siang hari, hilang ingatan, depresi berlanjutan dan boleh berlaku kemalangan.

Menurut WebMD, kelazimannya, penderita OSA lebih berkemungkinan mendapat serangan jantung.

“Puncanya mungkin oksigen yang rendah. Strok dan atrial fibrillation (degupan jantung yang laju dan bergetar) juga dikaitkan dengan keadaan ini. Penyakit ini sememangnya mengganggu ‘cara badan pesakit mengambil oksigen‘ yang menyukarkan otak untuk mengawal bagaimana darah mengalir dalam arteri dan otak itu sendiri,“ jelas penulisan itu.

Begitu juga dengan strok. OSA boleh mengurangkan aliran darah ke otak, sekali gus boleh meletakkan seseorang mendapat strok iskemia.

BACA JUGA: Sebelum pulang ke kampung, pastikan tidur kena cukup, elak microsleep. Sesaat terlelap boleh bawa padah

BACA JUGA: Aplikasi paling dipercayai ramai, BetterSleep bantu tambah baik tabiat tidur lebih berkualiti

Jenis pembedahan

Bagaimana pula dengan perawatan? Adakah ia sampai melibatkan pembedahan? Dr Lit Yee menerangkan tatacaranya secara berperingkat.

Ujar beliau, biasanya, soalan saringan akan dikemukakan kepada pesakit. Ia disusuli dengan pemeriksaan hidung, mulut dan tekak dilakukan, di samping ujian darah.

Jika simptom atau saringan pemeriksaan mencurigakan, ujian tidur dikenali sebagai PSG akan dilakukan.

Senaman mulut dan tekak juga boleh membantu meningkatkan otot-otot di sekeliling saluran pernafasan untuk mengurangkan bunyi dengkur dan berkesan dalam rawatan OSA ringan serta sederhana, terang pakar itu.

Drug Induced Sleep Examination boleh dijalankan untuk melihat struktur salur pernafasan secara lebih tepat. Kemudian, pesakit perlu memakai alat bantu nafas Positive Airway Pressure (PAP) sewaktu tidur,“ katanya.

Jikalau alat bantu memerlukan tekanan yang terlampau tinggi, pembedahan yang biasa dilakukan adalah jenis adenotonsillectomy, pharyngoplasty dan septoplasty.

Ia (pembedahan) bertujuan melancarkan pengaliran udara. Bagi pesakit tertentu, pemakaian oral appliance boleh mengekalkan posisi lidah dan rahang supaya tidak menghalang saluran pernafasan ketika tidur,“ katanya.

Kongsi Dr Lit Yee lagi, di luar negara, terdapat percubaan untuk memasang implan stimulasi saraf hypoglossal (Hypoglossal Nerve Stimulation Implant) bagi pesakit yang menghidap OSA teruk dan gagal menyesuaikan diri dengan PAP.

Implan tersebut antara lain merangsang saraf hypoglossal secara berirama dan serentak dengan corak pernafasan pesakit. Rangsangan itu membantu memastikan saluran pernafasan tidak terhalang.

Saraf hypoglossal adalah saraf motor yang berfungsi memberi rangsangan beberapa otot lidah termasuk (rangsangan) menolak lidah ke hadapan dan menarik ke belakang. Ia juga berfungsi untuk memendek, melengkung atau menyempitkan lidah.

Bagi kanak-kanak, jika adenoid dan tonsil didapati besar dan miliki gejala, pembedahan adenotonsillectomy akan disyorkan tanpa menggunakan alat bantu nafas PAP.

“Namun, simptomnya (gejala) perlu diperhatikan sepanjang tumbesaran mereka,“ katanya.

Foto PEXELS

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca