SEMPENA BULAN KESEDARAN KESIHATAN LELAKI SEDUNIA

DI MALAYSIA, kanser prostat merupakan barah ketiga yang kerap berlaku dalam kalangan kaum Adam selepas kanser kolorektal dan kanser paru-paru.

Setiap tahun, sebanyak 2000 pesakit baharu yang didiagnosis dengan kanser prostat dan bilangan kes setiap tahun masih makin meningkat. Buat masa ini, lebih kurang 800 kes kematian akibat kanser prostat setiap tahun di Malaysia.

Apa yang menakutkan tentang penyakit berkenaan adalah kekurangan gejala atau simptom pada tahap awal dan simptom hanya belaku pada tahap akhir apabila rawat tidak lagi berkesan.

Mengulas lanjut mengenai kanser prostat, Pakar Urologi dan Laparoskopi dan Robotik, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Loh Chit Sin berkata, kanser itu tercetus akibat ketumbuhan tidak normal yang bermula dalam kelenjar prostat.

DR Loh Chit Sin.

“Ia selalunya menyerang lelaki berusia lebih 50 tahun dan lebih 80 peratus didiagnosis pada umur 65 tahun dan ke atas,” ujarnya.

Beritahu Dr Chit Sin, pengambilan daging merah yang tinggi telah dianggap sebagai menyumbang terhadap perkembangan barah. Selain itu, mereka yang menderita diabetes dan obesiti juga berpotensi mendapat kanser jenis itu. Kira-kira 10 peratus barah prostat juga disebabkan oleh genetik keluarga, ungkap Dr Chit Sin.

Pakar berpngalaman itu berkata, kes kanser prostat boleh dikesan melalui ujian darah PSA (Prostate-specific antigen, antigen khusus prostat) yang banyak ditawarkan di makmal-makmal patologi termasuk di beberapa klinik swasta dan kerajaan.

“Ujian tersebut mempunyai nilai ramalan daya yang sangat tinggi ketika normal. Hasil normal (kurang daripada 4 ng/ml) adalah baik. Sebagai contoh, jika ujian lelaki A, nilainya kurang daripada 1 ng/ml, ia menunjukkan risiko terkena barah yang sangat rendah untuk beberapa dekad akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, beritahu pengamal perubatan itu lagi, kesedaran membuat ujian darah berkenaan berbeza dengan mereka yang duduk di bandar dan luar bandar. “Orang luar bandar mempunyai kesedaran paling rendah kerana kebanyakan mereka hanya mendapatkan rawatan pada peringkat akhir barah,” katanya.

Teknologi baru biopsi, robotik

Dr Chit Sin meneruskan penerangannya. Ujar beliau, kanser yang dialami oleh seseorang hanya boleh disahkan melalui ujian biopsi (sampel tisu barah diambil untuk pemeriksaan mikroskopik).

Selari dengan pendekatan teknologi yang semakin maju, teknologi pengimejan dan pengesanan (imbasan Pengimejan Resonans Magnet (MRI) Multiparametrik mengikut protokol PIRADS) diperkenalkan.

Kemudahan tersebut sudah boleh diakses di beberapa hospital di Lembah Kelang.

“Apabila teknologi telah bertambah baik, ujian biopsi kini dipandu oleh gambar-gambar dan tidak dilakukan secara rawak lagi.

Seperti di beberapa negara barat, biopsi gabungan MRI dan Ultrasound Scanning (USS) yang menggunakan peralatan yang direka khas telah meningkatkan kadar pengesanan kanser seseorang,” katanya. Teknologi biopsi baru ini sekarang pun turut terdapat in berberapa hospital di Lembah Kelang.

Artikel berkaitan: Nazir Razak terbuka kongsi pengalaman ‘berperang’ dengan kanser prostat

Bagaimana seseorang boleh melindungi diri mereka daripada penyakit berkenaan? Jawapannya, pengambilan tomato, brokoli, teh hijau dan makanan berasaskan soya boleh membantu mencegahnya.

Beberapa data juga menunjukkan bahawa kehidupan seks yang aktif dapat melindungi kanser prostat, katanya.

“Selain itu, terdapat beberapa kajian lain yang mendapati penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti finasteride dan dutesteride dikatakan boleh mencegah perkembangan barah prostat, tetapi hasil kajian berkenaan bercampur-campur dan tiada pakar yang mengesyorkannya (ubat-ubatan itu),” katanya.

Sekiranya seseorang sudah berdepan dengan penyakit itu, apa langkah seterusnya akan diambil oleh pihak hospital?

Lazimnya, kata Dr Chit Sin, prosedur seperti pembedahan, radioterapi, penanaman biji-biji benih radioaktif (radioactive seed implant), Ultrasound Berfokus Intensiti Tinggi (HIFU) atau dengan kaedah krioterapi (satu prosedur medik yang digunakan untuk membeku pelbagai jenis tumor dengan menjatuhkan suhu tumor sampai menjadi ais).

Berdasarkan rekod, sebanyak 80 peratus kanser prostat awal dirawat dengan pembedahan kerana keberkesanannya berada pada tahap awal.

Namun, komplikasi akibat pembedahan tetap ada seperti pesakit akan berdepan dengan masalah disfungsi ereksi dan juga risiko pembocoran air kencing. Walaubagaimana pun, pengunaan teknologi  baru semasa pembedahan, khasnya teknologi robotic Da Vinci© telah dapat mengurangkan komplikasi-komplikasi  pembedahan itu.

Di negeri-negeri Barat, pembedahan robotik telah menjadi rawatan lazim untuk kanser prostat kerana keberkesanan dan kekurangan komplikasi-komplikasi.

Iklan

“Pembedahan robotik merupakan bentuk pembedahan lubang kunci yang maju. Ia mengurangkan rasa sakit, mengurangkan perdarahan dan mempercepatkan pemulihan.  Teknologi itu sangat memberi faedah kepada pesakit. Sebab itu, makin ramai pesakit kanser prostat memilih kaedah rawatan ini.

Pun begitu, kosnya teknologi itu sedikit tinggi iaitu lebih kurang tabahan RM20,000,” katanya sambil menambah, sistem robotik berkenaan turut terdapat di beberapa buah hospital di Lembah Klang termasuk hospital Kuala Lumpur.

Pengesanan awal

Dalam pada itu, Pakar Perunding Urologi, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Datuk Dr Selvalingam Sothilingam berkata, sambutan dingin untuk menjalani saringan kesihatan dalam kalangan kaum lelaki menjadi antara punca jangka hayat mereka rendah.

DATUK Dr Selvalingam Sothilingam.

Selain itu, kurangnya perbincangan secara terbuka dan amalan kesihatan yang lemah menyumbang kepada kadar kematian lebih cepat.

Berdasarkan statistik 2017, jangka hayat lelaki di Malaysia pada tahun berkenaan adalah hampir lima tahun lebih pendek berbanding wanita di negara ini.

Sebanyak 68 peratus adalah disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit, penyakit berjangkit (20 peratus) dan kecederaan (12 peratus).

Sementara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga merekodkan, kaum Adam yang menjalani saringan kesihatan hanya mencecah 4.7 peratus berbanding 5.8 peratus dalam kalangan wanita.

Melihat situasi itu, pakar itu berkata, KKM memperkenalkan satu pelan Tindakan Kesihatan Lelaki Kebangsaan (2018 hingga 2023) untuk memberi penekanan terhadap kepentingan memberi tumpuan dan perhatian khusus kepada isu-isu kesihatan lelaki.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Selvalingam berkata, masalah kesuburan adalah satu perkara yang dikhuatiri terutama dalam kalangan lelaki dalam kumpulan usia reproduktif atau istilah lebih mudah, merujuk kepada pasangan muda yang hendak mendirikan sebuah keluarga.

Mengapa pakar itu mengutarakan pandangan berkenaan? Ini kerana data menunjukkan terdapat satu peningkatan kes barah urologi dalam golongan lelaki yang lebih muda. Urologi adalah cabang ilmu perubatan yang berkaitan dengan fisiologi, penyakit dan rawatan saluran kencing.

”Hal ini berlaku berkemungkinan besar disebabkan oleh pilihan gaya hidup seseorang. Justeru, sekali lagi saya tekankan bahawa betapa pentingnya kita menjalani saringan kesihatan dengan kerap. Pengesanan awal adalah kunci untuk mengurangkan serangan penyakit ini,” katanya.

ANEKDOT

PROSTAT ialah kelenjar bersaiz walnut terletak di belakang dasar penis, di depan rektum, di bawah pundi kencing dan di sekeliling uretra. Fungsi utama prostat adalah untuk menghasilkan cecair air mani.

Berikut adalah ciri-ciri pesakit kanser prostat:

  • Umur: Kebanyakannya setelah berumur 65 tahun ke atas, jarang dalam kalangan mereka yang berumur kurang daripada 40 tahun.
  • Kaum: Di Malaysia, etnik Cina paling kerap didiagnosis kanser prostat, diikuti oleh India dan Melayu.
  • Kedudukan geografi: Ia kerap berlaku kepada penduduk Amerika Utara, barat laut Eropah, Australia dan Kepulauan Caribbean tetapi kurang berlaku di Asia, Afrika, Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
  • Sejarah keluarga dan genetik: Seseorang lelaki yang mempunyai ayah atau abang menghidap kanser prostat, berisiko dua kali ganda mendapat penyakit tersebut berbanding lelaki biasa.
  • Diet: Diet kurang sayur-sayuran dan buah-buahan serta pengambilan daging merah dan produk tinggi lemak didapati menjadi risiko yang tinggi untuk mendapat kanser prostat dalam kalangan lelaki.
  • Obesiti: Kegemukan merupakan risiko yang tinggi untuk kanser prostat.

Sumber: myhealth.gov.my