Hatta Dolmat kongsi realiti ibu hidap alzheimer, takut suatu hari nanti tak dikenali – ‘Mak bagi bekal, ambil je’

No Image Caption
A
A
A

PEREKA fesyen terkenal, Hatta Dolmat, baru-baru ini menyentuh hati ramai apabila berkongsi pengalaman peribadinya berdepan realiti apabila ibunya disahkan menghidap Alzheimer.

Perkongsian jujur yang dimuat naik menerusi hantaran di Threads bukan sekadar luahan peribadi, sebaliknya menjadi cerminan realiti yang dilalui ramai anak apabila ibu bapa semakin dimamah usia dan kesihatan mula berubah.

Dalam nada tenang tetapi sarat emosi, Hatta berkongsi pengalaman menjaga ibu tercinta.

Menurut Hatta, perubahan pada ibunya mula disedari sekitar tahun 2023 ketika dia pulang ke kampungnta di Melaka.

Pada awalnya, situasi itu kelihatan biasa, namun lama-kelamaan mula menimbulkan rasa risau.

“Mak saya bukan di tahap yang teruk, cuma akan ulang tanya soalan sama dalam situasi yang baru berlaku.

"Contohnya, kalau dia suruh makan, dan saya dah makan. Tetapi, dia akan tanya dan suruh makan lagi. Kalau saya cakap dah, dia tanya bila masa saya makan.

"Perkara begini saya perasan berlaku sejak 2023 bila saya pulang ke kampung,” katanya.

Soalan yang diulang-ulang itu mungkin tampak kecil, tetapi bagi seorang anak, ia adalah tanda awal perubahan besar.

Lebih menyentuh hati apabila Hatta menyedari ibunya juga kerap bertanya tentang adiknya dalam tempoh masa yang singkat.

Dari situlah dia mula memahami bahawa apa yang berlaku bukan sekadar rindu, tetapi berkait dengan ingatan yang semakin merosot.

Sebagai anak, perasaan sedih dan takut tidak dapat dielakkan. Hatta mengakui, antara perkara yang paling merisaukan ialah memikirkan kemungkinan suatu hari nanti ibunya tidak lagi mengenali anak-anak sendiri.

Namun, kesedihan itu tidak dibiarkan berpanjangan tanpa usaha.

Bakat  melukis

Bersama ahli keluarga lain, pemilik nama sebenar Muhammad Hatta Dolmat memilih pendekatan positif dengan mengisi masa ibunya dengan aktiviti yang digemari dan pernah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

Antaranya aktiviti santai seperti mengait, menulis dan berkebun, bukan sekadar untuk mengisi masa, tetapi sebagai usaha mengekalkan rutin dan daya ingatan.

“Saya nak sarung bantal, dia siapkan dua dan sangat cantik. Saya minta pula dia tulis resipi makanan kegemaran saya.

"Saya cakap nak belajar masak tetapi sebenarnya nak dia sentiasa menulis,” luahnya jujur.

Aktiviti menulis itu mengembalikan kenangan lama, apabila ibunya suatu ketika dahulu gemar menyalin resipi dan mempunyai buku resipi sendiri.

Walaupun tulisannya kini tidak lagi secantik dahulu, Hatta tetap bersyukur kerana ibunya masih mampu menulis dan melakukan perkara yang disukainya.

Kenangan zaman kecil turut kembali bermain di fikiran. Hatta mengakui bakat melukis yang dimilikinya hari ini banyak dipupuk oleh ibu dan ayah yang sentiasa memberi sokongan.

“Saya pandai melukis pun sebab mak dan ayah sokong. Tetapi, faktor umur dan situasi mak sihat tetapi tak seperti dahulu,” katanya, penuh makna.

Namun, antara momen paling meruntun perasaan ialah setiap kali pulang ke kampung, ibunya tetap akan memasak dan menyediakan bekal untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.

Beliau yang pernah melakar sejarah sebagai pereka fesyen lestari pertama dengan koleksi lestari di Malaysia dan tercatat dalam Malaysia Book Of Records mengakui, itu adalah rutin yang tidak pernah ditolak, walau sesederhana mana sekalipun lauk yang disediakan.

“Biasanya saya memang tak akan tolak bekal atau lauk-lauk ringkas mak masak.

"Sampai satu hari, dia masak dan saya makan sebelum balik. Saya rasa rendangnya dah tak seperti dahulu,” ceritanya.

Saat itulah Hatta sedar, ibunya sebenarnya sudah tidak mampu memasak seperti dulu.

Namun naluri seorang ibu tetap kuat, tetap mahu melakukan sesuatu untuk anaknya, walaupun tenaganya semakin terbatas.

“Masa itu saya tahu, mak dah tak boleh masak, tetapi dia tetap nak tunjuk sesuatu untuk anaknya,” katanya lagi.

Walaupun situasi itu membuatkan air mata menitis, pemuda berusia 43 tahun itu tidak pernah menyesal kerana tidak menolak setiap bekal yang diberikan sebelum ini.

Baginya, tiada siapa tahu bila kali terakhir kita akan menikmati masakan dan air tangan seorang ibu, sesuatu yang sering diambil ringan ketika masih ada.

Mencipta  sejarah

Dalam pada itu, Hatta turut menitipkan pesan yang cukup dekat di hati, terutama buat anak-anak bujang dan mereka yang tinggal jauh daripada ibu bapa.

Pesanan itu lahir daripada pengalaman dan penyesalan kecil yang kini menjadi pengajaran besar.

“Mungkin saya kesal sebab tak belajar masak daripadanya.

"Jadi, anak-anak bujang yang jauh dari keluarga, kalau mereka bagi bekal yang dimasak ambil sahaja.

"Kalau tiada perkara penting di luar, luangkanlah masa dengan ibu bapa,” pesannya.

Dalam perkembangan kerjayanya, Hatta Dolmat sebelum ini mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Pereka Fesyen Pertama menghasilkan busana couture diperbuat daripada kek, menerusi persembahan conceptual fashion show yang menggabungkan industri fesyen dan kulinari.

Keunikan itu dipersembahkan sempena pelancaran koleksi khas untuk acara Kahwinfest pada 25 April 2025, sekali gus membuktikan keberaniannya meneroka idea luar kotak dengan menggunakan kek sebenar serta bahan kemasan penghasilan kek sebagai elemen utama rekaan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang