Berbasikal outdoor lebih seronok berbanding bersenam di gim? Ini penjelasan Hawa Rizwana

hawa rizwana
August 10, 2020
Izyan Liyana

BERSAMA PENGACARA DAN PEMBACA BERITA HAWA RIZWANA AHMAD REDZUAN

SOALAN
JIKA diperhatikan, Hawa antara personaliti yang mengamalkan cara hidup sihat dengan melakukan aktiviti berbasikal secara outdoor.

Mengapa aktiviti tersebut menjadi pilihan berbanding sukan lain atau tidak bersenam sahaja di gimnasium? Apakah manfaat berbasikal pada kecantikan dan kesihatan badan?

JAWAPAN:
DARI segi penampilan, saya seorang yang ringkas, tetapi tidak apabila menyentuh perihal kesihatan. Biarpun bertubuh kecil, namun saya amat menitikberatkan soal pemakanan dan kecergasan.

Sebelum terlibat dalam aktiviti berbasikal, saya rajin ke pusat gimnasium bagi mengekalkan bentuk badan, stamina dan bertenaga. Bagaimanapun, saya mula berasa bosan, apatah lagi perlu bersenam sendirian dan statik di atas mesin yang sama dalam tempoh tertentu.

Benar, saya semakin fit dan sihat. Berat badan pula dapat dikekalkan pada bacaan ideal. Namun begitu, lama-kelamaan mood mula berkurangan hari demi hari.

Justeru, bagi mengelakkan semangat bersenam itu luntur, maka saya beralih mencari solusi lain.

Keghairahan bersenam kembali memuncak selepas kawan-kawan memperkenalkan aktiviti berbasikal secara outdoor. Ini bermakna, saya tidak perlu lagi mengayuh di tempat yang sama.

Semasa mula-mula menceburkan diri dalam sukan berbasikal, saya meminjam basikal milik seorang sahabat sebelum memilikinya sendiri.

Tidak dinafikan, pada awalnya saya gusar kerana perlu berkayuh di jalan raya dan kawasan berbukit, namun perlahan-lahan jadi sebati selepas mempelajari teknik yang betul.

hawa rizwana

Sampai satu tahap, saya ketagih sehingga setiap minggu hendak keluar berbasikal. Seronok sebenarnya berbasikal kerana kita dapat menghirup udara segar sebaik merentasi kawasan yang dikelilingi pepohon hijau pada waktu pagi.

Lagipun cahaya matahari membekalkan sumber vitamin D percuma yang baik untuk kulit.

Selain membantu meningkatkan stamina dan pernafasan, berbasikal juga salah satu senaman terbaik untuk membakar kalori dengan cepat.

Jika dilakukan secara konsisten, badan akan kekal langsing dan perut pun kempis.

Tahukah anda, aktiviti riadah berkenaan juga ada kelebihan lain iaitu membantu menyuntik semangat dan pemikiran positif.

Ini disebabkan komuniti sukan itu sendiri terdiri daripada individu pelbagai latar belakang, karier dan kepakaran. Ia memberi peluang untuk saling bertukar pendapat dan idea.

Pun begitu, selain aktif berbasikal, saya juga mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang.

Paling utama, kurangkan makanan manis dan kalori tinggi bagi mengelakkan berat badan naik mendadak sekali gus mengehadkan pergerakan khususnya ketika berkayuh mendaki bukit.

basikal
SELAIN Hawa, aktiviti berbasikal turut menjadi kegilaan ramai selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Jiwa (kiri), Nabila Razali (kanan) dan Tiz Zaqyah.

Artikel berkaitan: Saya dipilih bukan sebab persis Neelofa