Bersama Pakar Gastroenterologi dan Perubatan Am, Pantai Hospital Sungai Petani, Dr Azril Haris Yafee.

Soalan 1
Anak saya berusia 15 dan 19 tahun, tabiat mereka menikmati makanan pedas semakin menjadi-jadi. Tahap kepedasannya pula bukan biasa-biasa. Setakat sambal cili padi merah, mereka sudah imun. Saya bimbang melihat keadaan itu walaupun masing-masing telah remaja. Apakah implikasi daripada tabiat tersebut?

RISAU ANAK MAKAN PEDAS,
Norhidayah Musa, 41, dari Negeri Sembilan.

Jawapan:
SEJAK kebelakangan ini, kita dapat melihat pelbagai ‘challenge’ menikmati sajian pedas menerusi laman sosial melibatkan mi segera, sos pedas dan sebagainya.

Lazimya makanan tersebut merupakan keluaran dari negara Korea atau Jepun yang mengandungi tahap kepedasan melampau sehingga menjadi trend dan kegilaan anak-anak muda sekarang.

Untuk pengetahuan pihak puan, setakat ini, tiada sebarang kajian spesifik dijalankan atau dirumus tentang kesan menikmati makanan pedas terhadap kesihatan manusia.

Bahan pedas sebenarnya berasal dari Capsaicin iaitu komponen aktif cili yang memberikan rasa pedas dan panas pada lidah. Rasa pedas pula terbahagi kepada tiga kategori iaitu ringan, sederhana dan sangat pedas.

Jika diambil secara sederhana, ia memberikan kesan baik seperti antioksidan, antikerengsaan, membantu masalah sakit saraf dan sendi serta diabetes.

pedas
MENIKMATI hidangan yang terlalu pedas boleh menyebabkan tindak balas wajah menjadi merah, sakit perut, rengsa perut, cirit-birit dan sakit ulu hati.

Pun begitu, jika diambil secara berlebihan, ia akan menjejaskan kesihatan. Segala tindak balas Capsaicin menjadi terlalu berlebihan dalam tubuh badan kita.

Sementara itu, reaksi setiap orang terhadap makanan pedas pula adalah tidak sama. Ia bergantung pada jumlah atau tahap pedas yang dinikmati.

Pengambilan makanan yang terlalu pedas boleh menyebabkan tindak balas wajah menjadi merah, sakit perut, rengsa perut, cirit-birit dan sakit ulu hati.

Lebih memudaratkan, kesan makanan terlalu pedas mendorong pengeluaran asid yang banyak dalam perut sekali gus mengakibatkan gastrik dan cirit-birit. Masalah tersebut semakin teruk bagi golongan pesakit gastrik sedia ada.

Nasihat saya, makanlah secara sederhana.

Pada masa sama, jangan terlalu ghairah mengikut trend cabaran menikmati variasi makanan Korea yang pedas melampau.

Soalan 2
Doktor, saya tidak pasti sama ada situasi yang saya alami ini pelik ataupun sebaliknya. Setiap kali saya makan, dalam tempoh masa kurang setengah jam, saya pasti membuang air besar. Jika lima kali saya makan, maka lima kalilah saya akan ke tandas. Walaupun hanya menikmati dua keping kuih, saya tetap membuang air besar. Keadaan itu berlaku sejak saya remaja dan berlarutan sehingga kini pada usia 34 tahun. Adakah situasi tersebut normal atau saya mengalami masalah kesihatan?

TAKUT SAKIT,
Mohd Halim Hamdan, 38, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Jawapan:
Situasi yang dialami oleh tuan yang bertanya bukan ada kaitan dengan masalah rengsa usus atau irritable bowel syndrome (IBS).

Iklan

Tidak dinafikan, IBS lazimnya berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi tidak ramai ambil peduli sehingga ada yang sanggup menahan ‘sakit perut‘.

sakit perut

Berdasarkan kenyataan pesakit, berkemungkinan sepanjang tempoh berdepan masalah terbabit, telah berlaku perubahan atau tabiat makanan, lalu gejala itu menjadi lebih teruk.

Jadi, untuk memastikan tiada masalah lebih berbahaya seperti radang usus atau kanser usus, pesakit perlu menjalani pemeriksaan darah, endoskopi dan biopsi. Tujuannya bagi mengetahui masalah berkenaan disebabkan jangkitan kuman atau radang pada usus berpunca kerana autoimun.

Jika keputusan tidak menunjukkan sebarang tanda membahayakan, berkemungkinan besar pesakit mengalami rengsa usus atau IBS.

Perkara itu disebabkan oleh sistem saraf dan sistem perjalanan usus yang tidak normal.

Iklan

Sebagai contoh, bayi setiap kali usai makan akan membuang air besar selepas setengah jam. Ini dikatakan normal refleks gastrokolik dan normal bagi bayi berumur bawah dua tahun.

Bagaimanapun, bagi orang dewasa, ia tidak normal kerana sepatutnya sistem saraf mereka lebih matang. Lazimnya, selepas makan, sistem pencernaan melakukan proses (pencernaan) dan selebihnya akan disimpan di dalam usus besar. Usai air diserap secukupnya, barulah kita mula ke tandas. Proses itu selalunya mengambil masa antara enam hingga lapan jam. Individu akan ke tandas mungkin sekali atau dua kali sehari.

Dalam soalan yang diajukan, keadaan pesakit adalah tidak normal kerana perutnya begitu sensitif seolah-olah reflex gastrikolik sangat aktif. Sehubungan itu, langkah terbaik, pesakit perlu menjalani pemeriksaan dan diagnosis.

Selain, perubahan gaya hidup juga boleh membantu melegakan gejala IBS. Antaranya pemakanan serat tinggi, minum air secukupnya, senaman dan mengurangkan tekanan. Pesakit juga perlu segera merujuk kepada doktor apabila mengalami ketidakselesaan pada perut yang berpanjangan.