BERDASARKAN Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, seramai 6.4 juta rakyat Malaysia dewasa ini menghidap penyakit darah tinggi atau hipertensi, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini.

Memetik kenyataan Dr Noor Hisham menerusi sebuah akhbar tempatan, beliau berkata, angka itu sangat menakutkan pihaknya.

DR Noor Hisham.

“Peratusan hipertensi juga meningkat mengikut umur.

“Dalam kalangan individu berumur 60-an, lebih tiga daripada lima individu menghidap hipertensi, namun tiada perbezaan peratusan antara lelaki dan wanita,“ kata beliau Julai lalu.

Mohamad Suhaizi Sazali, 39, misalnya, ialah salah seorang penghidap penyakit itu.

Beliau pernah melalui detik kelam sebaik disahkan pakar bahawa dirinya menghidap penyakit darah tinggi sejak lima tahun lalu.

Impaknya sangat terkesan sehingga kini, kata lelaki itu.

“Saya diserang strok hingga tangan kiri gagal berfungsi seperti biasa. Itulah antara nikmat diri yang ‘ditarik‘ gara-gara saya terlalu ambil mudah hal makan, semua saya ‘baham‘ saja.

“Seingat saya, hampir tiga bulan lamanya saya terlantar di hospital,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus tempoh hari.

Mohammad Suhaizi yang kini semakin sihat berkata, beliau sedang dalam fasa ‘berpantang‘ dalam bab makan dan mengakui dirinya mungkin terpaksa bergantung kepada tiga jenis ubat sepanjang hayatnya.

Mengulas mengenai penyakit berkenaan, Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Foo Yoke Loong berkata, hipertensi boleh dikategorikan sebagai pembunuh senyap kerana ada antara pesakit tidak merasai gejalanya.

DR Yoke Loong.

Kenyataan yang dilontarkannya selari dengan NHMS 2019 seperti dibentangkan Dr Noor Hisham. Bayangkan, tiga juta individu tidak tahu bahawa mereka ada penyakit berbahaya itu!

Sebagai panduan, penyakit darah tinggi merujuk kepada tekanan darah melebihi 140/90 milimeter merkuri (mmHg).

Kata Dr Yoke Loong, lazimnya, pesakit yang mengetahui diri mereka menghidap penyakit itu sudah pun terlambat kerana telah terdedah kepada komplikasi.

Selain itu, katanya, ada individu menghidap tekanan darah tinggi melibatkan paru-paru yang dinamakan sebagai hipertensi pulmonal.

“Hipertensi pulmonal adalah satu keadaan apabila bacaan tekanan darah di dalam paru-paru mencapai 25mmHg ketika rehat ataupun 30mmHg ketika melakukan aktiviti fizikal.

“Tekanan darah yang normal di dalam paru-paru adalah 8 hingga 20mmHg ketika berada dalam keadaan yang tenang,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Berdasarkan pengamatannya pula, pesakit hipertensi terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun ke atas, namun ada juga yang didiagnosis seawal umur 18 tahun.

Pakar itu berkata, antara gejala awal yang dapat dirasai pesakit adalah pening kepala, sakit leher, mata menjadi kabur, kencing berbuih, loya dan muntah.

Tak boleh sembuh

Mengulas lanjut, Dr Yoke Loong memberitahu, perkhidmatan kesihatan mendapati, hipertensi dipecahkan kepada risiko boleh ubah dan kekal.

Risiko kekal merujuk kepada umur, jantina, bangsa dan sejarah keluarga manakala risiko yang dapat diubah adalah tabiat merokok, gemar minum minuman keras, obesiti, senaman dan kawalan diet.

“Semua risiko yang disenaraikan memberi impak kepada tubuh sekali gus boleh meningkatkan tahap tekanan darah.

“Akhirnya wujudlah komplikasi deretan penyakit seperti mata kabur dan berpotensi jadi buta, serangan jantung serta buah pinggang akan rosak.

“Jika gagal dirawat segera, pesakit ibarat di ambang maut,“ terangnya.

Namun, lebih membimbangkan jika pesakit darah tinggi mendapat strok mengejut.

“Apabila tekanan darah melebihi 180/100, pesakit berisiko diserang strok yang akan mengakibatkan badan menjadi lemah, percakapan tak teratur dan mata jadi kabur,“ katanya.

Justeru, Dr Yoke Loong menyarankan agar pesakit segera modifikasi cara hidup seperti melakukan senaman, mengurangkan stres, tidak merokok dan memilih makanan yang berserat tinggi.

Ujar beliau, terdapat beberapa jenis ubat darah tinggi yang membantu menurunkan risiko komplikasi seperti perencat ACE, penghalang reseptor angiotensin, penghalang alfa dan beta, penyekat saluran kalsium dan diuretik.

Pandangan Dr Yoke Loong itu selari dengan Pegawai Perubatan Penyakit Tidak Berjangkit, Klinik Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Nur Athira Muhamad Yunus. Ujarnya, meskipun hipertensi tidak boleh sembuh, namun hampir semua kes dapat dikawal.

Perumpamaan yang menyebut mencegah lebih baik daripada mengubati merupakan jalan penyelesaian terbaik untuk semua penyakit termasuk hipertensi, kata Dr Nur Athira.

“Oleh itu, saya anjurkan agar saringan awal wajib dilakukan,“ ujarnya.

Demikian panduan saringan yang dicadangkan Dr Nur Athira:

  • Individu yang berumur 25 tahun dan ke atas dicadangkan membuat saringan awal setiap dua tahun.
  • Individu yang berumur 40 tahun dan ke atas atau mereka yang mempunyai sebarang penyakit perlu membuat saringan setiap tahun.

“Bagi kaum hawa, dicadangkan juga untuk menambah pemeriksaan lain seperti saringan payudara dan serviks,“ katanya.

Bagaimanapun, tabiat pemakanan yang baik merupakan perkara paling signifikan dalam mencegah semua penyakit tidak berjangkit termasuk darah tinggi dengan mengetahui jumlah garam yang dihadam setiap hari.

Seperti kata Dr Noor Hisham, setiap individu perlu memahami hakikat bahawa hipertensi boleh dicegah dan dirawat jika setiap daripada kita mengambil berat kesihatan diri dan keluarga. Justeru, kawal nafsu makan ketika beraya!

ANEKDOT

Kelas hipertensi dan rawatan:

  • Pesakit prahipertensi 120-139/80-89mmHg yang boleh merendahkan tekanan darah melalui perubahan gaya hidupJika termasuk dalam kategori ini, seseorang perlu berjumpa doktor setiap enam hingga 12 bulan. Sekiranya mempunyai diabetes, penyakit buah pinggang kronik atau penyakit jantung, ubat-ubatan perlu dimulakan jika bacaan melebihi 130/80mmHg.
  • Hipertensi tahap 1 – (140-159/90-99mmHg). Pada tahap ini, doktor akan membuat keputusan untuk memulakan rawatan dengan ubat berdasaran risiko kardiovaskular pesakit. Jika risiko pesakit sederhana atau tinggi, rawatan dengan ubat akan dimulakan.
  • Hipertensi tahap II dan III (>160/100mmHg). Rawatan dengan ubat akan dimulakan dengan segera. Pesakit biasanya akan diberi kombinasi dua atau lebih ubat, digabungkan dengan perubahan gaya hidup.

Sumber: myhealthmylife.com.my/

Jangan ambil garam lebih satu sudu teh setiap hari

Pesakit darah tinggi harus mengehadkan pengambilan garam atau sodium pada setiap hari, saran Pakar Dietetik, Hospital Islam Az-Zahrah, Siti Hajar Mustaffa.

Itu merupakan salah satu pendekatan paling signifikan bagi mengurangkan tekanan darah tinggi dalam kalangan pesakit.

SITI Hajar Mustaffa.

Kepada SinarPlus, Siti Hajar menjelaskan, kuantiti maksimum garam yang boleh diambil hanya 5 gram atau 2,000 miligram sodium sehari bersamaan dengan satu sudu teh.

“Justeru, tabiat mengira berapa banyak garam dalam diet, membaca label makanan dan memilih alternatif makanan dengan sodium yang rendah diperlukan.

Iklan

“Sekiranya memasak, kurangkan penggunaan monosodium glutamate (MSG), sos, kiub perasa atau perasa makanan yang tinggi garam. Sebaliknya, gantikan dengan perasa semula jadi seperti penggunaan daun limau purut, lada hitam, bawang putih, kunyit atau halia,“ katanya.

Berdasarkan satu kajian meta analisis menunjukkan Pendekatan Pemakanan untuk Hentikan Hipertensi (DASH) secara signifikannya boleh menurunkan bacaan tekanan darah sistolik secara purata 11 milimeter merkuri (mmHg) dan bacaan tekanan darah diastolik secara purata 5.5 mmHg.

PEKA dengan setiap makanan yang dimakan selain kerap melakukan senaman bagi memastikan kesihatan berapa pada tahap yang baik.

Berikut beberapa tip bagi memulakan pelan diet DASH yang boleh dipraktikkan untuk mengurangkan tekanan darah:

i) Lebihkan hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk makan tengah hari dan makan malam. Jadikan hidangan buah-buahan untuk menggantikan snek. Pesakit digalakkan mengambil makanan yang tinggi serat sekurang-kurangnya empat hingga lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan.

ii) Mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi lemak tepu, kolesterol dan lemak trans.

iii) Makan lebih bijirin penuh, ikan, ayam dan kacang.

iv) Makan kacang tanpa garam, kismis, rendah lemak atau yogurt bebas lemak.

v) Kurangkan pengambilan daging merah.

“Satu kajian kohort yang melibatkan populasi rakyat Malaysia yang tidak mempunyai penyakit kardiovaskular (penyakit jantung dan strok) menunjukkan pengambilan buah, sayur-sayuran dan kekacang yang tinggi dapat merendahkan risiko kardiovaskular,“ jelas Siti Hajar.

ANEKDOT

8 Cara sederhana turunkan tekanan darah

Menurut artikel yang disiarkan oleh portal perubatan HaloDoc, berikut adalah pendekatan yang boleh diamalkan untuk membantu mengurangkan tekanan darah:

1. Berjalan kaki

Mengikut laman web Prevention, apabila penghidap darah tinggi berjalan kaki, ia boleh menurunkan tekanan darah hampir 8mmHg. Aktiviti itu walaupun sederhana boleh membantu jantung untuk menggunakan oksigen dengan lebih efisien. Cukup 30 minit setiap hari selama seminggu.

2. Teknik pernafasan

Iklan

Berdasarkan jurnal American Journal of Hypertension, teknik pernafasan teratur membantu menurunkan tekanan darah. Jom pelajari teknik (pernafasan) senaman yoga, taichi atau qiqong.

3. Kurangkan makanan segera

Piza, kerepek dan makanan ringan lain kalau boleh diabaikan terus. Makanan yang berlabel rendah lemak juga perlu diawasi kerana kadangkala kandungan garam dan gula sangat tinggi. Tekanan darah boleh turun jika kita makan lebih buah-buahan.

4. Kurangkan berat badan

Menurut Healthline, sekiranya penghidap darah tinggi tergolong dalam kategori obesiti, mereka diminta mengurangkan berat badan antara 2 hingga 5 kilogram. Ia bakal membantu menurunkan tekanan darah antara 2 hingga 5mmHg.

5. Makan coklat hitam

Menurut kajian Harvard Medical School, dengan makan sedikit coklat hitam dengan kandungan koko 60-70 peratus, ia boleh membantu. Kandungan flavonoid di dalamnya berupaya melebarkan pembuluh darah.

6. Kurangkan karbohidrat dan gula

Banyak penelitian menunjukkan, membatasi gula dan karbohidrat boleh menolong menurunkan berat badan dan tekanan darah.

7. Berhenti merokok

Menurut American Heart Association, perokok adalah kelompok yang paling berisiko tinggi menghidap hipertensi. Kandungan tembakau dan nikotin di dalamnya boleh menyebabkan lonjakan tekanan darah. Jadi, jangan berlengah, hentikan tabiat buruk itu.

8. Kurangkan alkohol dan kopi

Apabila dikonsumsikan secara berlebihan, kedua-dua minuman itu meningkatkan tekanan darah sekali gus memicu masalah kesihatan lain.