Hobi cabar kemampuan diri

Hobi cabar kemampuan diri
Hobi cabar kemampuan diri
A
A
A

MASIH ada segelintir masyarakat yang beranggapan bahawa aktiviti bermotosikal berkuasa besar tidak sesuai dengan golongan wanita. Biarpun pelbagai persepsi dilemparkan, ia tidak pernah menjadi halangan buat sekumpulan wanita yang kental dengan minat mereka.

Lebih menarik, minat berkenaan turut dimanfaatkan dengan mencurahkan bakti kepada masyarakat melalui aktiviti bermakna seperti konvoi amal dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) .

Bagaimana pula dari segi kemahiran bermotosikal? Siapa kata wanita tidak mampu mengawal motosikal berkuasa tinggi dengan baik setanding lelaki? Sinar Turbo yang mendekati golongan terbabit menyimpulkan 1,001 jawapan.

Bad Girl Throttles

Tutur kata diungkap sentiasa tersusun rapi, raut wajah yang lembut dan sering mengukir senyuman manis, menyerlahkan lagi sifat kewanitaan yang semula jadi dimiliki. Pertemuan kali pertama dengan wanita kelahiran Pulau Pinang itu begitu mengujakan penulis. Mana tidaknya, ketika itu beliau kelihatan sangat ayu dengan imej bersahaja persis seperti seorang model. Ya, ternyata tekaan penulis tepat.

Zairana Mansor, 38, merupakan seorang model sambilan dan juga pengasas kepada kelab motosikal kuasa tinggi, Bad Girl Throttles (BGT). Namun begitu, di sebalik kelembutan dan personaliti dimiliki, wanita itu cukup berbeza ketika mengendalikan jentera kesayangannya.

Bagi siapa yang tidak mengenali latar belakangnya, pasti langsung tidak akan menyangka jiwa sebenarnya adalah pada aktiviti lasak yang gilakan kelajuan. Selain memiliki Ducati Panigale V4, Riana turut memiliki Triumph dan Honda CX500 custom cafe racer.

Beliau turut aktif dalam aktiviti berfaedah melibatkan motosikal berkuasa besar seperti melakukan aktiviti konvoi dengan jentera kegemarannya itu. Buat seketika mengenali Riana, ego lelaki penulis rasa tercabar.

Masakan tidak, melihat kesungguhan dan kecekapannya mengawal motosikal berkuasa besar, membuatkan kaum Adam angkat topi.

Riana juga merupakan wanita pertama yang memiliki jentera dua roda DNA perlumbaan, Panigale V4 di Malaysia. Hebat bukan? “Ya, realitinya ramai yang bersetuju wanita memang tidak digalakkan untuk menunggang motosikal, apatah lagi yang berkuasa tinggi atas banyak faktor. Antaranya soal keselamatan dan budaya.

Hobi cabar kemampuan diri AKSI Riana ketika di jalan raya bersama jentera Ducati V4 kesayangannya.

“Tetapi bagi kami, aktiviti menunggang seperti ini mampu membentuk dan menarik minat wanita supaya mereka tampil dengan lebih berani dan mencabar diri dalam konteks sukan permotoran wanita,” ujarnya dengan nada penuh optimis.

Ternyata, perjuangan Riana tidak sia-sia. BGT telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada penunggang wanita di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan umur.

Kini keahlian BGT mencecah lebih 60 ahli yang berdaftar secara sah dan bergiat aktif. Menurut Riana, keahlian BGT dihadkan dan hanya akan memilih ahli yang benar-benar mampu memberikan sepenuh komitmen terhadap kelab sahaja.

Hobi cabar kemampuan diri Bad Girl Throttles atau BGT dijadikan sebagai platform bagi wanita-wanita bekerjaya yang mempunyai hobi menunggang motosikal untuk melakukan aktiviti seperti berkonvoi pada hujung minggu di samping menghilangkan stres bekerja.

Baginya, kualiti lebih baik berbanding kuantiti. BGT kini dijadikan sebagai platform bagi wanita-wanita bekerjaya yang mempunyai hobi menunggang motosikal untuk melakukan aktiviti seperti berkonvoi pada hujung minggu di samping menghilangkan stres bekerja.

Berkongsi mengenai kerjaya, ternyata Riana bukanlah wanita biasa. Beliau merupakan seorang usahawan yang memerlukan dirinya sendiri bijak mengendalikan kerjayanya terutama membabitkan soal masa dan tanggungjawab.

“Saya mengendalikan perniagaan yang berasaskan barangan kesihatan. Saya aktif melakukan jualan secara dalam talian yang sememangnya memerlukan komitmen penuh untuk diberika. "Disebabkan itu, aktiviti berkonvoi saya hanya pada hujung minggu atau cuti umum,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

Ducati ada aura istimewa

Lain pula ceritanya salah seorang ahli BGT, Shazni Farhana Mohd Kamari, 36. Kisah ibu kepada tiga cahaya mata itu menarik untuk dijadikan inspirasi. Seperti Riana, beliau berjaya membuktikan wanita juga mampu melakukan perkara diminati dengan berbekalkan semangat dan kecekalan.

Siapa sangka bermula hanya dengan menunggang motosikal kapcai yang diberi bapanya, hasratnya ketika itu untuk memiliki motosikal berkuasa besar suatu hari nanti akhirnya tercapai. “Sejak kecil saya amat meminati aktiviti yang mencabar kemampuan. Menunggang motosikal berkuasa tinggi antara impian saya.

“Apabila habis belajar dan mempunyai kerjaya tetap, saya mempunyai sedikit masa terluang. Ia menjadi detik permulaan untuk saya merealisasikan impian yang sudah lama terpendam ini apabila berjaya membeli sebuah Ducati Ducati Panigale 1199 tujuh tahun dulu,” katanya.

Hobi cabar kemampuan diri Nana bersama Ducati Panegale 1129 ketika menghadiri track day di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.

Mengapa memilih Ducati? Shazni Farhana atau lebih mesra disapa Nana berkata, motosikal jenis itu mempunyai aura tersendiri dan kehebatannya disifatkan sukar ditandingi. “Ia bukan perkara mudah dan langsung tidak sama dengan menunggang motosikal biasa.

Keyakinan, keberanian dan semangat sangat diperlukan bagi memastikan saya tidak terjatuh ketika mengawal motosikal. “Syukur, selepas menjalani banyak latihan dan berkat tunjuk ajar diberikan terutama suami, kini saya mampu tersenyum puas kerana dapat menunggang motosikal dengan baik,” ujarnya.

Anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu juga menambah, selepas memiliki Ducati Panigale, beliau semakin rancak dengan aktiviti diminatinya sebelum menyertai BGT.

“Selain BGT, saya turut aktif mengikuti suami berkonvoi bagi menambah kenalan yang turut berkongsi minat sama. Kelab yang disertai ini banyak memberi manfaat dan kegembiraan kepada saya. “Saya juga berjaya mencabar kemampuan diri. Selain Panigale, saya turut menunggang motosikal RXZ135cc, namun ia tidaklah sesukar mengawal Panigale,” ujarnya.

Perlu bijak bahagi masa

Seorang lagi, Azlina Aziz, 39, pula berkata, walaupun mempunyai minat dalam menunggang motosikal berkuasa tinggi, beliau tetap menjalankan rutin hariannya sebagai isteri, ibu dan pekerja.

“Rutin harian berjalan seperti biasa, saya pergi bekerja, menguruskan suami dan anak. Saya bersyukur kerana suami memahami dan tidak memberi halangan. “Sesekali suami turut menyertai aktiviti ini sekiranya mempunyai masa terluang. Apa yang penting perlu bijak membahagiakan masa,” katanya.

Menurut Azlina, di sebalik kesibukan harian, beliau akan memastikan mempunyai masa untuk suami dan anak kerana mereka adalah segala-galanya buatnya.

Hobi cabar kemampuan diri Azlina gemar mengikuti aktiviti berkonvoi pada hujung minggu.

“Walaupun sibuk dan mempunyai masa yang agak terhad, ia tidak boleh dijadikan alasan atau halangan. Saya mahu buktikan wanita juga boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki apatah lagi pada era 2020 ini,” katanya.

Azlina yang bekerjaya seorang setiausaha dan menunggang Ducati Diavel mengakui, hobi bermotosikal berkuasa tinggi itu tercetus apabila mengikut suami berkonvoi di Terengganu Bike Week lima tahun yang lalu.

“Ketika itu saya lihat ada seorang wanita yang menunggang motosikal berkuasa besar. Saya sangat kagum dengannya. Kalau dia boleh, saya pun mesti boleh.

“Saya suka menunggang motosikal berkuasa tinggi kerana ia antara cara untuk saya melupakan masalah dan menghilangkan tekanan," ungkapnya.

Pada pandangan Azlina, wanita pada era kini layak dikagumi kerana di samping bekerja, masih tetap menguruskan soal rumahtangga. Nasihatnya, disebabkan itu setiap wanita perlu lebih menghargai dirinya sendiri.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca