MEMBAYANGKAN kemeriahan Ramadan, pasti ramai yang teruja untuk berpuasa di samping merebut keberkatan bulan mulia itu.

Akan tetapi, bukan mudah melatih anak kecil yang dalam proses tumbesaran melaksanakan Rukun Islam ketiga itu.

Pakar Pemakanan dan Dietetik Hospital Pantai Sungai Petani, Kedah, Nur Zakira Imana Mohd Fadzil tidak menafikan perkara tersebut.

NUR Zakira Imana

Bagaimanapun, kongsinya, si kecil tidak perlu dipaksa. Sebaliknya ibu bapa harus mengetahui kemampuan anak dengan bertanya kepada mereka sama ada ingin cuba berpuasa.

“Untuk permulaan, buatlah  secara berperingkat kerana dari segi fizikal, mereka tiada pengalaman.

“Mereka juga mungkin belum  memahami mengapa ibadah puasa diwajibkan,” kongsi Nur Zakira kepada SinarPlus baru-baru ini.

Secara umumnya, tiada had usia yang ditetapkan untuk kanak-kanak mula melatih diri berpuasa. Namun begitu, latihan berpuasa secara berperingkat haruslah dipantau oleh ibu bapa.

“Mengikut pendapat sebahagian fuqaha (ahli ilmu fiqah), anak yang berusia tujuh tahun boleh disuruh berpuasa jika mereka mampu. Ia sebagaimana usia yang diperintahkan untuk solat,” jelas Nur Zakira.

Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga mesti dibekalkan dengan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat. Ia bagi membantu meningkatkan daya tahan mereka semasa berpuasa.

PEMAKANAN seimbang bermaksud hidangan lengkap yang mengandungi  karbohidrat, protein, lemak dan serat.

“Antara hidangan sahur yang disarankan ialah sepinggan nasi bersama  lauk-pauk seperti ayam, ikan dan telur serta sayur-sayuran.

“Sayur dan tiga biji kurma, misalnya, amat penting semasa bersahur. Itu sudah memadai sebagai bekalan sumber serat bagi mengekalkan rasa kenyang dengan lebih lama,” terang Nur Zakira.

Dalam pada itu, jika tidak mengambil hidangan nasi, pastikan diganti dengan sumber karbohidrat lain seperti roti, bihun dan spageti bersama hidangan protein dan serat.

Berat turun mendadak

“Pengambilan segelas susu dan buah kurma amat penting untuk membekalkan tenaga yang cukup untuk anak-anak kecil berpuasa sepanjang hari,” katanya.

Masalah utama yang biasa berlaku apabila anak kecil berpuasa adalah berat badan mereka turun secara mendadak. Justeru, apakah makanan yang sesuai untuk diberikan?

Iklan

Terang Nur Zakira, sebenarnya ibu bapa harus menyediakan si kecil makanan yang tinggi kalori dan protein kerana ia dapat meningkatkan berat badan. Sebagai contoh, antara menu yang tinggi kalori adalah makanan bergoreng, susu penuh krim dan hidangan sepinggan nasi.

“Pastikan anak-anak mengambil juadah yang lengkap semasa berbuka dan bersahur.

“Selain itu, anak-anak yang berpuasa digalakkan mengambil makanan ringan sebelum tidur. Antaranya, roti, bijirin dan susu untuk menambah kalori bagi mengelakkan berat badan turun,” ujar Nur Zakira.

Sebagai ibu bapa, peranan utama kita adalah menerangkan kepada anak-anak kepentingan mengambil air kosong untuk kesihatan. Dehidrasi atau kekurangan air dalam badan boleh mengakibatkan kesan buruk kepada kesihatan.

“Jika anak-anak sudah memahami kepentingan ini, mudah untuk mereka mengikut saranan pengambilan air sebanyak lapan gelas sehari.

Iklan

“Atur jadual pengambilan air semasa berbuka puasa, dua jam selepas berbuka, sebelum tidur dan semasa bersahur. Hal itu bagi memastikan anak-anak minum air secukupnya tanpa membebankan mereka,” katanya.

Benar, bukan mudah untuk melatih dan mendidik anak berpuasa. Begitupun, lakukanlah dengan penuh hikmah.

Jika mereka tidak mampu berpuasa separuh hari ataupun sepanjang hari, jangan sesekali mengejek. Usah mengungkit atau memalukan anak yang tidak berpuasa di hadapan orang lain.

“Ingat, elakkan memaksa dengan keras. Ia boleh menyebabkan diri mereka kurang yakin dan enggan mencuba lagi.

“Apa yang penting, banyak-banyak berdoa pada ALLAH agar dipermudahkan segalanya,” kata beliau.

SAYUR dan tiga biji kurma, misalnya, amat penting semasa bersahur.