MESKIPUN sudah berkali-kali diingatkan bahawa pemakaian tali pinggang keledar penting untuk dipakai sebaik sahaja tayar bergolek, masih ramai lagi yang masih endah tidak endah sahaja.

Terlalu banyak contoh kecederaan teruk yang dilaporkan oleh mangsa gara-gara tidak memakai alat penting dalam kenderaan itu.

Ingat, tali pinggang keledar wajib dipakai oleh sesiapa pun walau bagaimana keadaan kita sekalipun, termasuk ibu hamil.

Baca juga Mengandung lagi selepas lima hari hamil, wanita lahirkan dua bayi bukan kembar serentak

Bercakap mengenainya, SinarPlus berkongsi entri Facebook yang dikongsi Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Imelda Balchin.

Ujar Dr Imelda, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pemandu wanita yang hamil lebih berisiko jika mengalami kemalangan jalan raya berbanding wanita yang tidak hamil.

Beliau yang memetik artikel Reuters Health berkata, hasil penyelidikan menyaksikan, purata kemalangan sebelum hamil ialah 4.6 kes daripada 1,000 wanita, manakala 7.7 kes kemalangan daripada 1,000 wanita dilaporkan berlaku ketika trimester kedua.

Ujar Dr Imelda Balchin, kemalangan tersebut mungkin disebabkan wanita hamil mempunyai masalah seperti loya, keletihan, tidak cukup tidur atau tidak selesa.

“Punca-punca itu menyebabkan wanita hamil mempunyai tindak balas yang lebih lambat untuk mengelakkan kemalangan.

“Oleh itu, penting untuk melindungi wanita hamil dengan memberi maklumat untuk memakai tali pinggang keledar ketika memandu waima menjadi penumpang sekalipun,” jelasnya.

RISIKO TERCAMPAK KELUAR

Menyambung perkongsiaannya, pakar perubatan terkenal itu berkata, adalah amat penting untuk wanita mengandung memakai tali pinggang keledar di dalam kereta dengan cara yang selamat.

“Ibu hamil juga berisiko untuk tercampak keluar dari kereta dan mengalami dashboard injury ketika kemalangan seperti orang lain sekiranya tidak memakai tali pinggang keledar,” terangnya.

Untuk mencegah seat-belt injury atau kecederaan akibat tali pinggang menekan rahim wanita hamil apabila kereta tiba-tiba berhenti, terdapat beberapa cara yang selamat untuk memakai peralatan berkenaan seperti yang diketengahkan Dr Imelda.

i. Cara pertama
– Tali pinggang bahagian atas hendaklah berada di antara payudara ibu hamil dan kemudian tarik ke tepi rahim.
– Pastikan ia tidak menekan hadapan rahim, tetapi dibawa ke tepi rahim.
– Ia bertujuan menghentikan dada ibu hamil daripada terhumban ke hadapan.

ii. Cara kedua
– Tali pinggang di bahagian bawah hendaklah berada di bawah rahim ibu hamil dan menyentuh pehanya.
– Pastikan ia tidak menekan rahim di bahagian hadapan.
– Ia bertujuan menghentikan pinggul ibu hamil daripada terhumban ke hadapan.

Iklan

Beliau berkata, ibu hamil juga boleh membeli pencangkuk tali pinggang bagi memastikan tali pinggang di bahagian bawah ditarik oleh satu pencangkuk di celah kedua-dua peha. (rujuk gambar)

TIP LAIN

Prihatin dengan golongan itu, Dr Imelda turut berkongsi petua-petua lain untuk ibu hamil yang memandu kereta. Antaranya:

i. Pastikan tidak terlalu letih, mengantuk dan loya untuk memandu kereta. Jaga keselamatan diri dan kandungan. Elakkan memandu jika tidak boleh menumpukan perhatian kepada jalan raya.

Iklan

ii. Elak memandu kereta bersendirian ke hospital jika sudah merasa kesakitan untuk melahirkan. Jika suami atau ahli keluarga yang lain tiada, lebih selamat jika meminta bantuan jiran, kawan-kawan atau menghubungi ambulans.

iii. Jarakkan kedudukan kerusi dengan stereng kereta jika berasa tidak selesa.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Banyak sungguh ilmu yang dikongsikan oleh Dr Imelda.

Justeru, kepada ibu hamil sekalian, pastikan keselamatan anda dan bayi menjadi keutamaan.

Tidak salah untuk memandu, tetapi terdapat cara-cara yang selamat. #kitajagakita