PERNAHKAH anda mendengar lagu yang disangka dinyanyikan oleh wanita, tetapi rupa-rupanya vokal itu milik seorang lelaki? Dalam satu keadaan lain, anda fikirkan sedang bercakap dengan seorang kanak-kanak menerusi corong telefon. Hakikatnya, ia adalah suara lelaki berusia 30-an.

Jika ya, situasi berkenaan dinamakan sebagai puberphonia. Puber adalah daripada perkataan puberty iaitu akil baligh dan phonia adalah suara.

Menjelaskan hal itu dengan lebih lanjut, SinarPlus mendapatkan Ahli Terapi Pertuturan Bahasa, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Sherin Sokmum.

Ujar Sherin, puberphonia adalah merujuk keadaan lelaki yang masih kekal menggunakan nada suara tinggi yang tidak bersesuaian dengan jantina dan ciri fizikal mereka.

Kelazimannya berlaku dalam kalangan lelaki dan boleh terjadi kepada sesetengah kaum perempuan.

Namun demikian, kata beliau, stigma masyarakat lebih terarah kepada lelaki berbanding kaum Hawa yang sememangnya sinonim dengan suara bernada tinggi.

“Individu puberphonia ini mengalami kesukaran untuk melontarkan suara yang kuat. Mereka akan mudah merasa letih apabila bercakap dalam tempoh yang lama.

“Ini kerana kebanyakan mereka mempunyai saiz pita suara yang membesar iaitu berukuran 16 milimeter (mm) berbanding perempuan yang hanya 10mm. Semakin panjang ukuran pita suara, semakin dalam suara yang dihasilkan.

“Individu yang mempunyai puberphonia ini juga sering disalah anggap sebagai wanita semasa berbual melalui telefon. Mereka juga mengalami masalah suara serak, suara yang pecah berikutan nada suara yang tidak stabil, ketegangan otot dan kurang variasi (pada nada suara),” terangnya.

Belum bersedia jadi lelaki dewasa?

Persoalannya, mengapa dan bagaimana puberphonia boleh berlaku? Kongsi Sherin, individu dengan keadaan itu tidak menunjukkan kekurangan hormon testosteron disebabkan mereka melalui proses dan fasa akil baligh yang normal.
Terdapat banyak teori yang dibincangkan untuk mengaitkan punca puberphonia. Antaranya seperti:

1 Faktor fizikal: Individu yang mempunyai isu pendengaran (yang berkaitan dengan saraf) akan mengalami masalah untuk mendengar suara sendiri apabila bercakap. Selain itu, punca puberphonia adalah pada perubahan struktur dan fungsi pita suara seperti masalah pita suara lumpuh, nodul serta polip termasuk ketegangan pada otot larinks.

2 Faktor psikologi: Antara penyebab yang paling banyak mempengaruhi kondisi puberphonia. Kaum lelaki akan mengalami perubahan suara berikutan melalui fasa akil baligh. Ada dalam kalangan mereka yang rasa malu dengan perubahan ini. Tanpa sedar, mereka terus mengekalkan suara bernada tinggi, walaupun terdapat perubahan dari segi struktur peti suara.

3 Faktor tekanan emosi: Terdapat sebilangan lelaki yang mempunyai kesedaran diri dengan ciri kedewasaan yang baru muncul sehingga mereka menolak untuk menerimanya. Di samping itu, terdapat kajian yang membuktikan, punca berlaku puberphonia adalah kerana perlindungan daripada ibu secara berlebihan sehingga anak lelaki belum bersedia memikul peranan sebagai lelaki dewasa.

Mengulas lanjut, Sherin berkata, kebanyakan individu yang hadir ke klinik terapi suara mempunyai kesedaran dan tujuan tertentu dalam mendapatkan rawatan.

Ada di antara mereka ingin mencari jodoh, mahu menjalani temu duga bagi jawatan seperti polis, askar, guru. Ada yang ingin memegang jawatan tertentu seperti ketua kadet dan pengawas sekolah. Bagi saya, apa-apapun, kesedaran individu itu sendiri amat penting agar mereka menjadi lebih terbuka mendapatkan rawatan sewajarnya,“ katanya sambil menegaskan, puberphonia boleh diatasi dengan cara tertentu.

 

Memperihalkan lebih terperinci tentang rawatan, ahli terapi tersebut berkata, golongan berkenaan disaran menemui pakar larinks (laryngologist) bagi membuat pemeriksaan awal dengan melaksanakan prosedur yang dinamakan laryngoscopy.

“Kamera kecil akan dimasukkan melalui hidung atau mulut untuk melihat keadaan peti suara. Selain itu, dengan laryngoscopy, ia dapat menentukan sama ada terdapat sebarang isu patalogi yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Kemudian, pakar larinks akan merujuk ke ahli terapi pertuturan bahasa yang akan menjalankan penilaian suara awal,” kongsinya.

Bagaimanapun, kata Sherin, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah tentang kebimbangan individu itu sendiri mengenai suaranya dan kesedaran diri mereka untuk berubah.

“Terapi suara tidak akan berkesan sekiranya mereka tidak menginginkan perubahan (pada suara),” katanya.

Kepada satu soalan, jawab beliau, matlamat terapi suara adalah untuk individu puberphonia menilai kualiti nada yang dihasilkan dan seterusnya menetapkan kualiti (nada suara) yang ingin dicapai.

Antara teknik yang digunakan adalah teknik batuk, beritahu ahli terapi itu.

“Metodologi ini digunakan kerana apabila seseorang batuk, ia akan memberi tekanan pada bahagian halkum sehingga menjadikan kedudukan pita suara ke bawah dan seterusnya menghasilkan bunyi bernada rendah. Apabila mereka dapat menghasilkan batuk, ahli terapi akan memasukkan bunyi vokal ‘o‘ dan seterusnya beralih kepada perkataan,” katanya.

Selain itu, teknik humming turut digunakan. Kebiasaannya, individu dengan puberphonia akan diminta untuk humming bermula daripada nada rendah ke tinggi dan sebaliknya.

“Melalui pendekatan itu, mereka akan mula mengenalpasti nada pilihan yang diingini dan seterusnya berusaha mengekalkannya (nada tersebut),” katanya.

Implikasi psikologi

Sherin menambah, teknik secara kiu fizikal iaitu memegang halkum dan menggerakkannya ke bawah juga boleh dilakukan.
Tatacara berkenaan memerlukan seseorang untuk merendahkan bahagian peti suara bagi menghasilkan suara bernada rendah.

Begitu juga dengan kaedah biofeedback yang bertindak memantau perubahan nada suara secara visual dan tepat. Antara peralatan yang boleh digunakan adalah LingWaves termasuk beberapa aplikasi seperti Pitch App, Voice Analyst dan Piano App.

“Terapi suara yang dijalankan oleh ahli terapi pertuturan bahasa bertauliah hanya mengambil masa yang singkat iaitu satu hingga tiga kali sesi sahaja. Alhamdulillah, ada di antara mereka yang pergi ke sesi terapi dengan suara lain dan pulang dengan suara yang baharu,“ katanya.

Dalam pada itu, Journal of Laryngology & Voice melaporkan satu kajian yang bertajuk Voice Therapy Outcome In Puberphonia.
Menurut penyelidikan berkenaan, teknik humming dan beberapa pendekatan lain ke atas 30 individu dalam lingkungan usia 14 hingga 18 tahun yang dilakukan menunjukkan keberkesanan selepas melalui beberapa fasa yang ditetapkan.

Iklan

Dalam pada itu, menyentuh tentang implikasi di sebalik puberphonia, SinarPlus merujuk informasi yang dikongsi oleh MyHealth.

Ujar mereka, keadaan itu sebenarnya berupaya menyebabkan seseorang berdepan dengan masalah suara sekunder dan psikososial.

“Masalah suara sekunder boleh berlaku akibat penyalahgunaan pita suara, (menyebabkan) ketegangan otot dan keletihan. Ia sekali gus boleh membuatkan suara seseorang menjadi lemah dan menjadi serak,” kata MyHealth.

Pada masa sama, puberphonia juga boleh memberi tempias kepada keseluruhan imej seseorang.

“Lelaki dewasa yang kedengaran (suara) seperti perempuan pasti akan ‘menarik perhatian‘. Bagi sesetengah individu, hal itu juga mungkin menjadikan mereka berasa rendah diri atau bimbang, tetapi sudah tentunya bergantung kepada personaliti seseorang,” katanya.

Bercakap mengenai dampak psikologi, Sherin turut memberi komentarnya.

Ungkap beliau, mereka yang berada dalam kelompok itu akan merasakan diri tidak cukup kelelakian, rendah diri, kurang keyakinan, selain dipalit emosi gelisah.

Kumpulan tersebut juga berkecenderungan untuk menyendiri atau kurang bersosial kerana bimbang dengan reaksi yang diterima daripada orang lain sebaik mereka membuka mulut.

Mereka sentiasa disalah anggap sebagai wanita ketika bercakap dalam telefon. Ada juga yang menjadi mangsa buli di sekolah. Rakan-rakan mengejek dengan ejekan ‘suara perempuan, suara kartun, suara kepit, suara tidak macho‘ dan sebagainya,” katanya yang mengesyorkan individu dengan puberphonia mendapatkan rawatan seperti yang disyorkan.

 

KES: ‘Buat apa nak malu dan saya tak nampak pun ia satu kecacatan‘

Iklan

RICHARD Ng, 41, sudah lali dengan ejekan rakan-rakan sekolah, malah anak jiran tetangga turut sama mencemuhnya gara-gara memiliki suara persis wanita.

Kata Richard, pada awalnya beliau sangat marah kerana kata-kata perlian itu meremukkan hati ibu tercinta.

“Masa zaman sekolah, saya tak peduli pun apa orang nak cakap, tetapi apabila ibu saya mendengar saya dikutuk kerana suara saya macam perempuan kalau bercakap, dia akan menangis dan akan menyalahkan dirinya. Itu yang membuatkan saya tak boleh terima,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Kadangkala ujar lelaki itu yang kini seorang ahli perniagaan di Melaka, beliau kerap ditanya sama ada pernah membuat pembedahan suara.

“Bukankah itu soalan tak masuk akal? Apa yang saya tahu, tukar jantina memang ada, tapi tukar suara macam tak pernah dengar. Saya faham personaliti saya yang ‘tak berapa lelaki ini’ membuatkan pelbagai andaian timbul,” ujar anak bongsu daripada dua beradik itu.

Kemudian penulis pula bertanya. Adakah beliau pernah berhasrat untuk melakukan rawatan untuk mengatasi puberphonia yang dialaminya?

Dengan nada tenang Richard berkata: “Saya tak pernah terlintas langsung kerana dengan suara yang macam wanita inilah, saya sering dipanggil untuk menyanyi menghiburkan sekolah saya. Bila dah bekerja, saya juga yang akan ke depan. Saya sangat menghargai dengan anugerah yang Tuhan bagi. Buat apa nak malu dan saya tak nampak pun ia satu kecacatan.”

Pun demikian, beliau telah beberapa kali berdepan dengan kegagalan dalam percintaan.

“Apabila wanita suka pada saya, keluarga mereka pula menentang. Ada juga kes wanita mahu berkenalan dengan saya sebaik melihat wajah kacak saya, tapi bila bersua empat mata, mereka terus tolak saya. Itu semua kerana masing-masing terkejut bila saya buka mulut bercakap,” katanya yang akhirnya menemui pasangan yang menerima diri beliau seadanya empat tahun lalu.

Richard sangat berterima kasih kepada isteri tersayang kerana tidak peduli dengan isu tona suaranya.

Penerimaan itu mungkin kerana kakak kepada isteri saya juga berdepan dengan situasi sama yang mana suaranya agak garau seperti lelaki terutama kalau bercakap dalam telefon. Seperti yang katakan tadi, setiap manusia diciptakan berbeza-beza, jadi tak perlu nak rasa rendah diri atau tertekan. Kita semua istimewa,” katanya yang baru menyambut kelahiran anak pertama baru-baru ini.