Inginkan kediaman kelihatan mewah? Boleh cuba gaya dekorasi Inggeris
KEPADA anda yang baru sahaja memiliki kediaman baharu dan tercari-cari konsep yang sesuai, barangkali boleh mempertimbangkan idea hiasan dalaman bercirikan stail Inggeris.
Ia bukan sahaja memberi refleksi eksklusif kepada pemilik, malah gaya tersebut turut memperlihatkan kekemasan susun atur dan ketenangan saat melangkah masuk ke dalam rumah.
Namun, terdapat beberapa perkara perlu diambil kira dan difahami terlebih dahulu sebelum memilih konsep hiasan tersebut agar tidak menyesal pada kemudian hari, kata Pengurus Urusan A&R Creative Design, Anis Syuhada Azmi Najib.
Baca juga: Gaya scandinavian serlah identiti kediaman teres dua tingkat
Baca juga: Tak tahu nak tentukan pilihan warna langsir berikut ada caranya agar tidak tersilap
Ujar Anis Syuhada, rekaan berkenaan yang juga dikenali sebagai gaya Eropah berupaya menyerlahkan personaliti dan memainkan peranan dominan bagi mempamerkan identiti kediaman.
Antaranya pemilihan gaya penutup dinding jenis wainscoting atau shiplap termasuk pemilihan warna lembut atau semula jadi yang bakal memukau setiap mata yang memandang.
“Rona sebegini juga akan membuatkan kediaman kelihatan lebih luas dan kena dengan tema. Selain itu, pemilihan warna perabot terutama sofa jenis chesterfield, reka bentuk chandelier termasuk pemilihan siling sama ada coffered atau cornist juga perlu disepadankan antara satu sama lain,“ terang beliau.
Tidak dinafikan, ilham untuk merealisasikan idea rekaan dan hiasan ala Inggeris memerlukan kos yang tinggi. Ini termasuk ubah suai dinding dan siling serta pemilihan perabot.
Bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut, Anis Syuhada menasihatkan orang ramai agar melakukan rekaan dinding seperti wainscoting atau shiplap secara sendiri.
“Kaedah lain untuk menjimatkan wang adalah dengan cara membeli perabot secara satu persatu berbanding membeli sekali gus dalam satu masa. Situasi ini bergantung kepada bajet dan tahap kewangan masing-masing,“ tambahnya.
Bagaimanapun, pada pendapat penulis, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
Apa kata, binaan tersebut dilakukan oleh tenaga profesional agar lebih tahan lama dan memuaskan. Tidak salah untuk berbelanja lebih demi mendapatkan binaan berkualiti dan tidak mengecewakan.
Jangan ‘terlebih muatan‘
Mengulas lanjut mengenai hiasan dalaman, beberapa kesilapan sering dilakukan oleh pemilik rumah. Antaranya seperti seleksi warna yang terlalu terang dan jenis perabot terlalu besar sehinggakan menyebabkan ruangan menjadi sempit dan padat.
Justeru, kata Pengarah Urusan LD Gallery Houz Sdn Bhd, Amelia Mohd Shafer, solusi kepada masalah tersebut adalah menggunapakai warna pastel atau rona lembut, selain menggantung bingkai gambar bersaiz sederhana atau kecil.
Seperkara, rona dan saiz permaidani juga secara tidak langsung mempengaruhi kesan ilusi agar kelihatan lebih luas, katanya.
“Rekaan wainscoting atau shiplap juga seharusnya tidak terlalu sarat dengan corak kerawang. Penggunaan cermin juga boleh memperlihatkan ruang kelihatan lebih luas,“ ujarnya
Memandangkan gaya Inggeris terbahagi kepada dua konsep iaitu klasik dan desa, warna dan hiasan berasaskan kayu, kulit serta warna bumi seperti coklat, kelabu dan hijau gelap akan menyerlahkan personaliti gaya Inggeris berunsur klasik.
Berbeza dengan konsep desa, ia memerlukan penataan lebih ringkas dan polos. Maka, warna putih atau hijau olive amat disarankan.
“Pilihan hiasan seperti pasu bunga, bingkai gambar atau penggunaan bunga segar akan memberikan suasana berbeza dan menyerlahkan elemen kontemporari Inggeris. Meskipun sederhana, namun hasilnya tetap elegan,“ ungkapnya.
Amelia berkata, pemilik kediaman juga perlu menitikberatkan tahap keluasan rumah dan sumber pencahayaan semula jadi agar tidak merosakkan proses hiasan dalaman.
“Manfaatkan setiap ruang yang ada agar tidak dibiarkan kosong atau ‘terlebih muatan‘.
“Satu yang ingin diinggatkan, gaya Inggeris tidak mempunyai elemen besi mahupun aluminium sebagai aksesori.
"Sebaliknya, sofa chesterfield atau tufted button digandingkan bersama wing chair dan chandelier dapat menguatkan lagi konsep tersebut,“ terang Amelia.
Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang