MENERUSI perbualan penulis bersama rakan-rakan dari Thailand, Mexico, Switzerland hingga ke Maldives, mereka memperihalkan tentang keresahan mengharungi pandemik Covid-19 di negara masing-masing.

Kata mereka, manusia di setiap penjuru dunia sedang berperang dengan halimunan. Senjata paling ampuh melawannya ialah topeng muka selain pelindung muka atau face shields yang digunakan oleh petugas barisan hadapan.

Rakan penulis di Mexico misalnya, terpaksa membelanjakan sejumlah wang untuk membeli pelindung muka ekoran perasaan fobia terhadap peningkatan kes Covid-19 di negaranya yang sudah melepasi 120,000 kes dengan lebih 14,000 kematian.

Kami berdiskusi tentang keberkesanan kedua-dua alat berkenaan. Disebabkan tiada ilmu perubatan yang konkrit, perbualan itu berakhir begitu sahaja.

Perasaan ingin tahu membuatkan penulis menghadam beberapa artikel terbitan luar negara. Rupa-rupanya hal yang sama turut diperdebatkan oleh pakar perubatan dari seluruh dunia.

Business Insider yang memetik tulisan dalam Journal of the American Medical Association (JAMA) melaporkan, sekumpulan tiga doktor dan pakar kesihatan awam dari Iowa City, Amerika Syarikat berpendapat, pemakaian pelindung muka merupakan perisai yang lebih efektif berbanding topeng muka.

Tidak membantu

Keyakinan itu, kata jurucakap JAMA, Dr Eli Perencevich telah membuatkan jenama gergasi dunia seperti Apple, Nike, Ford dan pihak Universiti Harvard menghasilkan pelindung muka secara besar-besaran.

Ujarnya, meskipun kekurangan bukti, satu penyelidikan simulasi pada tahun 2014 menunjukkan alatan itu dapat mengurangkan 96 peratus pendedahan terhadap virus daripada seseorang yang batuk dari jarak kurang 0.48 meter.

Sarjana dari Pusat Keselamatan Kesihatan, Universiti Johns Hopkins, Dr. Amesh Adalja juga sependapat dengan Perencevich.

Pelindung muka, ujarnya, dapat membantu melindungi daripada virus sementara pakar lain berusaha untuk menentukan keberkesanan topeng muka.

“Pelindung muka dapat berfungsi sebagai penghalang fizikal terhadap zarah-zarah yang terhasil ketika bernafas, begitu juga jika seseorang batuk atau bersin,“ kata Adalja kepada Medicenet.com.

Pun demikian, Business Insider sendiri berpendapat, topeng muka bukanlah jaminan seseorang boleh terhindar daripada virus.

Hujah itu diketengahkan selepas portal bisnes berpengaruh di dunia itu mendapatkan pandangan 15 pakar kesihatan yang menjawab tentang keberkesanan penggunaan topeng muka sama ada ia idea yang baik bagi melindungi diri daripada virus atau sebaliknya.

Iklan

Malangnya, tiada jawapan konsensus yang diperoleh Business Insider.

Portal itu berkata, ramai bimbang topeng muka hanyalah satu ‘tanggapan perlindungan palsu‘ untuk mendorong masyarakat lebih dekat antara satu sama lain berbanding pergaulan tanpa topeng muka.

Senada dengan Business Insider ialah seorang penyelidik dari Universiti Hong Kong, Ben Cowling yang arif dalam bidang penyakit berjangkit. Ujar beliau, topeng muka bukanlah pendekatan yang sempurna dalam menyelesaikan masalah jangkitan koronavirus.

“Kita perlu pertimbangkan kaedah baharu untuk melindungi diri ketika berada di luar,“ katanya.

Iklan

Sementara itu, pensyarah Hal Ehwal Antarabangsa di Universiti Yale, Shan Soe-Lin berkata, pelindung muka yang biasanya diperbuat daripada plastik tidak perlu dipakai orang awam di luar keadaan kritikal.

“Memakai topeng muka dan melakukan penjarakkan sosial, itu sudah memadai. Pelindung plastik tidak akan menapis udara namun sekadar menghalang titisan daripada terkena wajah,“ tuturnya kepada Today.com.