'ALLAH nak jentik sikit jer'. Bekas atlet berbasikal disahkan kanser prostat tahap 4, kekal optimis dan yakin mampu berjalan semula
SIAPA yang sanggup diuji dengan penyakit yang cukup menggerunkan?Demikian juga dengan Hasnee A Rahman. Dunianya berubah sekelip mata apabila disahkan menghidap kanser prostat tahap empat pada Februari lalu.
Lebih memilukan, bekas atlet berbasikal yang terkenal pada tahun 1980-an itu terpaksa mengetepikan impian besar untuk bergelar Powerman Malaysia 2024.
Apatah lagi, lelaki berusia 60 tahun itu sedang sibuk berlatih berlari dan berbasikal untuk bersaing dalam acara duathlon terbesar di Putrajaya sebelum dikatakan tidak mampu berjalan secara tiba-tiba.
Kepada SinarPlus, anak jati Melaka itu memberitahu, dirinya panik apabila tidak semena-mena kedua-dua kakinya lemah sebelum dirujuk ke hospital berhampiran.
Apa yang membuatkan beliau terduduk tatkala doktor pakar memberitahu dirinya menghidap kanser prostat dengan tumor yang sudah menghimpit tulang belakang.
“Ketika itu, doktor beritahu sel kanser sudah merebak ke kawasan tulang rusuk dan pada masa sama ketumbuhan sudah menghimpit saraf sehingga menyebabkan lumpuh dari perut hingga ke kaki.
“Tidak mahu masalah berlarutan, satu pembedahan dilakukan untuk membuang sel tisu yang mengeras itu dengan segera,” katanya yang menetap di Studio Kandang @Lui, Kampung Gaban, Jalan Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.
Ujar bapa kepada empat cahaya mata itu, dirinya tidak menyangka kencing tidak lawas yang dialaminya rupa-rupanya petanda awal kanser yang sering dikaitkan sebagai pembunuh senyap nombor satu kaum Adam.
“Biasalah kita orang lelaki anggap masalah itu kecil sahaja dan boleh pulih dengan sendiri, tapi tak sangka ia lebih mudarat sampai tak boleh jalan dibuatnya.
“Cuma sekarang ini saya perlu bergantung kepada ubat kemoterapi setiap hari, selain terapi suntikan untuk menyekat pertumbuhan sel kanser dalam kelenjar prostat dalam tempoh tiga bulan sekali,” ceritanya.
Selain itu, lelaki tabah berkenaan juga menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM atau sebelum ini dikenali Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan Institusi Sukan Negara.
Bantuan
Optimis dengan musibah penyakit yang menimpanya, Hasnee percaya setiap yang berlaku pasti memiliki hikmah tersendiri yang mungkin didatangkan dengan nikmat lebih baik.
Berpegang dengan pendirian itu, beliau tidak sedikit pun menyalahkan takdir dan beranggapan ujian yang menimpa orang lain barangkali lebih teruk hingga tidak tertanggung deritanya.
“Mungkin ALLAH nak jentik iman saya untuk lebih dekat dengan-NYA, tidak mustahil sebelum ini leka dan lupa diri. Semua ini akan menguji iman kita sama ada terus kuat atau sebaliknya.
“Sakit ini kalau stres lagi teruk sebenarnya keadaan kita nanti. Justeru, jangan murung dan berkurung dalam rumah. Buatlah apa yang kita suka walaupun keadaan tak sama seperti dulu,” nasihatnya kepada semua.
Berbual lebih lanjut dengan pelukis otai yang popular dengan karya berunsurkan sukan itu, beliau kini sebenarnya hanya bergantung sepenuhnya dengan hasil seni yang dijual di media sosial.
Akuinya lagi, jualan nashkah agak kurang memberangsangkan, ditambah masih menanggung empat anak yang masih bersekolah membuatkannya sedikit buntu.
“Di samping menanggung kos rawatan yang masih panjang, lagi pula terpaksa berkerusi roda membuatkan kudrat agak terhad. Jadi, hanya mampu berkarya demi cari makan nak sara hidup sekeluarga.
“Alhamdulillah kawan-kawan banyak bantu ringankan beban. Isteri yang juga tukang urut sekarang ini sepenuh masa menjaga saya yang masih berikhtiar untuk rawatan tradisional,” ujarnya yang berharap dapat berjalan sendiri satu hari nanti.
Kepada orang ramai yang ingin membantu Hasnee sekeluarga, dana sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 162209952815 atas nama Hasnee A Rahman.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang