Bangganya, tanjak warisan kini tembusi pasaran United Kingdom, ini nasihat usahawan wanita OKU penuh inspirasi

No Image Caption
A
A
A

INSIDEN mengerikan yang menimpa Nor Zaidah Ab Rahman pada tahun 2010 benar-benar mengubah 360 darjah hidup wanita berjiwa kental tersebut.

Daripada seorang usahawan makanan dan jahitan yang sentiasa bergerak aktif berkongsi rezeki dengan komuniti ibu tunggal, asnaf dan golongan memerlukan, beliau terpaksa berkerusi roda selepas disahkan seorang kurang upaya (OKU).

Mengimbau semula detik menakutkan itu, Nor Zaidah memberitahu, dirinya tidak menyangka masih hidup meskipun berdepan kemalangan yang hampir meragut nyawanya.

Masakan tidak, kenderaan jenis Proton Iswara yang dipandu ketika dalam perjalanan untuk mengambil anak di sekolah secara tiba-tiba dihimpit oleh tayar belakang sebuah treler sehingga mengakibatkan kedua-dua kakinya terhenyak teruk.

No Image Caption

“Bayangkan masa saya tersepit, orang ramai cuba tolong termasuklah suami tapi tak boleh sebab kaki sudah patah teruk selepas termampat oleh tayar treler yang tersangkut di bonet depan. Dari jauh, saya nampak suami tak tentu hala dan menjerit nama saya.

Artikel Berkaitan:

“Saya sedar masa itu dan cuba untuk turunkan kerusi kereta sebab dada sakit terhentak pada stereng kereta. Memang darah penuh dekat muka dengan kesan luka akibat cermin pecah,” katanya yang kemudian dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dibawa ke Hospital Kuala Pilah.

No Image Caption

Cerita ibu anak lima itu lagi, beliau berdepan kecederaan parah apabila tulang paha kanan patah empat, manakala pergelangan kaki kiri kritikal disebabkan impak kemalangan tersebut.

Sebanyak 17 prosedur pembedahan terpaksa dilalui Nor Zaidah untuk menyambungkan semula tulang yang patah sepanjang tempoh tujuh tahun rawatan di hospital sama.

Pun demikian ujar wanita berusia 49 tahun itu, tidak semua pembedahan berjaya lantaran berdepan masalah tulang tak bersambung sehingga 'menolak' besi yang dimasukkan pada tulang paha.

“Tipulah kalau saya tak serik melalui pembedahan demi pembedahan menyakitkan itu sampaikan pada satu tahap, saya minta ALLAH tamatkan nyawa saya jika itu yang terbaik.

“Lagi membuatkan saya jatuh terduduk bila kedai jahitan yang menjadi satu-satunya sumber rezeki musnah dalam satu kebakaran pada tahun 2014,” katanya penuh sebak.

No Image Caption

Hilang bisnes dan menanggung kerugian lebih RM200,000 dengan 10 mesin jahit industri musnah sekelip mata, ditambah keadaan masih belum pulih diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga.

No Image Caption

Tidak mahu terus hanyut dalam kemurungan, Nor Zaidah akui dirinya kerap mendekatkan diri dengan ILAHI dan mendapatkan nasihat daripada para ustaz yang dikenali.

“Saya fikir sampai bila nak bersedih macam ini. Bila lihat wajah anak-anak yang masih kecil masa itu, terus saya bersemangat dan bangkit semula walaupun kaki dah tak seperti dulu.

No Image Caption

“Alhamdulillah, ALLAH bukakan jalan dan menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, saya sertai Program 2 Years Exit untuk bina semula perniagaan,” katanya yang berpangkalan di No 33, Lot 1403, Jalan Besar Tanjong Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Tanjak warisan

Benarlah orang kata, usaha keras tidak pernah mengkhianati hasil. Berkat kegigihan dan kreativiti jahitan akhirnya berjaya membawa pemilik jenama Zai Collection berkenaan menembusi pasaran United Kingdom dengan produk tanjak.

No Image Caption

Cerita penerima Anugerah Khas OKU 2016 itu penuh semangat, hasil berguru selama sembilan tahun akhirnya beliau dapat menguasai skil membikin lebih 200 berbanding 400 jenis tanjak warisan.

“Kebanyakan hasil kerja tangan saya diletakkan di Galeri Istana Lama Seri Menanti, Negeri Sembilan dan Galeri Seri Endon di Pasar Seni Kuala Lumpur.

“Pada masa sama, saya juga menghasilkan 20 jenis tanjak kreasi sama ada untuk kain tersedia seperti songket, batik atau bercorak yang boleh disiapkan dalam tempoh 25 minit sahaja,” ujarnya.

No Image Caption

Kejayaan demi kejayaan yang dikecapi mendorong penerima Anugerah Khas Majlis Belia Kuala Pilah 2017 itu meraih pelbagai penghargaan sehingga tersenarai sebagai penerima Pingat Jasa Kebaktian Negeri Sembilan pada tahun 2018.

Untuk rekod, Nor Zaidah juga terpilih sebagai johan Ikon Usahawan Say Lead Pro anjuran Selangor Youth Community dan Ikon RISE Maybank Foundation pada tahun lalu.

No Image Caption

Melihat semua helaian portfolio cukup membanggakan tersebut, suri hati kepada Saifulrizal Zahri itu percaya, ia tidak akan berlaku tanpa dorongan suami dan anak-anaknya.

“Masa saya jatuh dulu, wajah anak-anaklah penguat semangat. Sebab saya fikir selagi masih bernyawa, kita ada lagi tanggungjawab yang perlu dipikul termasuklah balas jasa emak dan ayah.

“Saya juga sering nasihatkan kepada ibu tunggal dan golongan asnaf yang mengikuti kelas jahitan atau mana-mana program motivasi, jangan sesekali putus asa walau diuji bah besar sekalipun kerana ALLAH ada.

No Image Caption

“Jika tiada tangan, kita masih ada kaki untuk bergerak. Jangan beri alasan tak mahu ubah nasib kerana ditimpa musibah. Percayalah, setiap ujian yang datang sebenarnya memberi 1,000 hikmah,” nasihatnya.

No Image Caption

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang