69 tahun bergelar isteri Tun Mahathir, Tun Dr Hasmah titip doa sempena ulang tahun kelahiran ke-100, toleransi resipi keutuhan cinta
HARI ini, 10 Julai 2025 genaplah usia mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ke-100.
Genap seabad usianya hari ini, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali menitip doa penuh kasih buat suami tercinta, Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tun M agar dikurniakan kesihatan yang baik dan terus diberi kekuatan untuk merealisasikan hasrat mulia demi agama, bangsa dan negara.
"Suami saya, Mahathir Mohamad, saya ucapkan selamat hari lahirnya dan memohon kepada Tuhan lanjutkan usianya tanpa apa-apa lagi penyakit ataupun masalah dan sampaikanlah matlamatnya yang mulia bagi agama bangsa negara," kongsinya menerusi temu ramah Sinar Harian.
Menggamit kenangan, pasangan romantis itu bertemu ketika di Kolej Perubatan Edward VI di Singapura (kini sebahagian National of Singapore) pada tahun 1947 dan berkahwin pada tahun 1956.
Imbas kembali dalam wawancara eksklusif oleh The Third Age Media Association dan Bernama News Channel (BNC), pemimpin tertua dunia itu berkongsi bahawa toleransi, mempertimbangkan perasaan pasangan dan anak-anak juga faktor penting yang menjadi kunci kepada hubungan mereka indah dan manis.
Ujar Tun M, tiada siapa akan mampu mengubah pasangan mereka, sebaliknya mereka saling menerima keadaan masing-masing sebagai cara untuk menjalin hubungan yang sihat dan seimbang.
Sentiasa terkenangkan kehidupan indah sewaktu muda bersama-sama Dr Hasmah, Tun Mahathir mengakui suri hatinya itu adalah tulang belakang kejayaan.
"Ya, isteri saya selalu berkata di belakang suami yang berjaya ialah seorang isteri, bukan sekadar wanita.
"Pada awalnya sudah pasti, semasa kami masih muda, ada perbezaan, ketegangan dan semua itu.
"Tetapi apabila anda bertambah tua, anda sedar bahawa tidak boleh mengubah banyak diri pasangan dan beliau juga tidak boleh mengubah banyak diri saya dan kami belajar untuk saling menerima dan itulah diri sebenar seseorang itu," katanya.
Tatkala beliau menghabiskan banyak masa dalam politik, Dr Hasmah sentiasa menemaninya walaupun tidak terlibat.
"Beliau menemani saya dan jika terpaksa tinggalkannya kerana ada kerja, beliau bertolak ansur dengan saya. Begitu juga saya, akan bertolak ansur dengannya bagi perkara tertentu yang beliau lakukan, jadi saya fikir perlu ada toleransi," katanya.
Tun M turut menekankan akan perlunya menimbangkan perasaan anak- anak kerana adalah satu bencana bagi keluarga apabila ibu bapa berpisah dan berkahwin lain.
"Anak-anak tidak akan mempunyai kehidupan yang baik. Jadi anda perlu prihatin terhadap anak-anak anda," katanya.
Ketika genap 72 tahun perkenalan Tun M dan Dr Hasmah, anak kelima pasangan itu Datuk Seri Muhkriz mendedahkan perkenalan ibu ayahnya menerusi permainan Scrabble.
“72 tahun yang lalu, pertama kali ‘Uda’ melafazkan cintanya kepada ‘Dara’ ILOVEYOU – dieja ketika bermain Scrabble dengan Dara yang telah menawan hatinya.
"Tetapi bila hendak pulang malam itu, Uda terpaksa pinjam RM5 daripada Dara. Tujuh tahun kemudian, mereka bergelar suami isteri. Cinta mereka terus mekar,” kongsi Mukhriz.
Sekadar info, Dr Mahathir pertama kali menjadi Perdana Menteri pada 1981 hingga 2003.
Beliau kemudian kembali memegang jawatan itu pada tahun 2018 hingga 2020.
Perkahwinan Dr Mahathir dan Dr Hasmah diserikan dengan empat orang cahaya mata terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan iaitu Datin Paduka Marina, Mirzan Mahathir, Tan Sri Mokhzani dan Datuk Seri Mukhriz.
Selain itu, mereka juga mengambil tiga orang anak angkat.
Sumber: Sinar Harian, Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

