'Abah & mama, kerja kuat siang malam...' – Amayan impi sambung belajar di UK, akui harta bukan pengukur kejayaan
RAMAI melihat populariti dan kemewahan keluarga Datuk Seri Aliff Syukri, tetapi di sebalik itu, anak sulungnya, Amayan atau nama sebenarnya Ammar Ahyan, memilih jalan berbeza.
Pada usia muda, dia menekankan ilmu sebagai aset terbesar, sekali gus menjadi inspirasi bahawa kejayaan tidak datang hanya dengan nama, tetapi dengan usaha dan semangat.
Di sebalik wajah polos dan telatah jujurnya yang sering menghiburkan warganet, Amayan sebenarnya seorang remaja berdisiplin dan matang dalam berfikir.

Bergelar anak kepada seorang usahawan berjaya bukanlah tiket untuk dia goyang kaki. Sejak kecil, Amayan sudah dididik, kejayaan bukan hanya diukur melalui harta, tetapi ilmu yang dimiliki.
“Abah selalu pesan, duit boleh dicari, tetapi akademik dan ilmu tidak boleh dibeli.
"Nasihat ringkas itu menjadi pegangan yang mendorong saya terus tekun menimba ilmu tanpa jemu," ujarnya.
Sebagai anak sulung daripada enam beradik, Amayan akui dia mahu membanggakan keluarga dengan pencapaian akademiknya.
“Saya nak banggakan keluarga dengan pencapaian saya dan adik-beradik hidup selesa.
"Abah dan mama, kerja kuat siang dan malam, tiada erti rehat. Mereka ini seorang pemimpin yang sentiasa ada untuk semua orang.
"Sebab itu saya nak balas jasa mereka dengan meneruskan legasi bisnes abah suatu masa nanti,” luahnya.
PENGORBANAN KELUARGA
Namun, impian Amayan bukan hanya terhenti pada keluarga. Remaja ini juga menyimpan cita-cita besar untuk masyarakat.
“Matlamat utama saya, adalah ingin membantu masyarakat capai kehidupan yang lebih bagus.
"Saya nak ubah pemikiran sesetengah pihak yang beranggapan masyarakat dari negeri A atau B itu miskin hingga ia dijadikan bahan gurauan.
"Harapan saya, tiada lagi lawak sebegini timbul, sebaliknya semua orang mampu berjaya dan meningkatkan taraf hidup masing-masing,” jelasnya panjang lebar.
Kini bergelar mahasiswa di Taylor’s Universiti, Amayan bercita-cita untuk menyambung pengajian ke luar negara.
“Sebenarnya papa sudah berkorban banyak untuk saya. Doakan saya habis sahaja foundation di Taylor’s ini, saya dapat terus ke UK.

"Doakan saya berjaya, walaupun jauh di sudut hati, saya tak mahu berjauhan daripada keluarga, sebab kebanyakan masa saya banyak dihabiskan bersama mereka.
"Pun begitu, inilah cara saya hargai pengorbanan keluarga, saya akan pulang dan raikannya bersama,” katanya yang sebelum ini menuntut di Seven Skies International School.
Meskipun namanya sudah dikenali di media sosial dan dunia hiburan, Amayan mengakui dia masih kekok dengan bidang itu.
“Sukar sebenarnya untuk saya sesuaikan diri, sebab ia bukan dunia saya. Tapi, demi abah, saya sanggup lakukannya.
"Abah mempunyai pengalaman yang luas, banyak yang saya belajar daripadanya,” kongsinya jujur.

Kisah Amayan memberi mesej jelas bahawa setiap anak mempunyai jalan dan potensi tersendiri.
Walaupun membesar dalam keluarga serba mewah, dia memilih untuk membina identiti sendiri berasaskan ilmu.
Dengan tekad, disiplin dan semangat ingin membalas jasa keluarga, Amayan membuktikan bahawa kejayaan sejati tidak datang secara mudah. Ia lahir daripada usaha, pengorbanan dan hati yang ikhlas.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

