'Bukan mudah, tapi berbaloi' – Catriona Ross syukur anak autistik kini 13 tahun, dedah perjalanan penuh air mata & harapan

No Image Caption
A
A
A

SECEPAT kilas angin, masa berlalu tanpa kita sedari. Hari demi hari, tahun demi tahun, dan kini, anak kecil yang suatu ketika dahulu didukung penuh harapan dan debar, telah pun menginjak usia remaja.

Baru-baru ini, pelakon dan hos, Catriona Ross memuat naik perkongsian di media sosial miliknya, bersempena hari lahir anak lelakinya, Jammal Raess.

Pemilik nama sebenar, Catriona Noorhayati Bahrin memberitahu, anak keduanya itu kini genap 13 tahun.

Dalam hantaran tersebut, dia mengakui segelintir keluarga, menganggap ulang tahun mungkin sekadar sambutan tradisi, namun tidak bagi mereka sekeluarga.

Ini kerana, ia merupakan satu detik luar biasa yang sarat dengan makna, air mata, dan syukur yang tak bertepi.

No Image Caption

"Hari ini genap 13 tahun… dan saya masih tertanya-tanya, bagaimana masa berlalu begitu pantas. Dalam sekelip mata, kini ada seorang lagi remaja di dalam rumah," ungkapnya sebak.

Akuinya, perjalanan membesarkan anak autistik bukanlah satu jalan yang mudah.

Bermula pencarian tanpa henti untuk pusat intervensi terbaik, malam-malam panjang tanpa lena, serta hari-hari yang dipenuhi persoalan tanpa jawapan. Ia bukan perjuangan satu hari dua, tetapi perjuangan hidup yang penuh kasih dan tekad.

"Masih segar dalam ingatan saat kami diberitahu dia autistik. I remember the endless search for the right centre, the sleepless nights, the questions with no answers. But fast forward 13 years, here we are.

"Kata dunia, mungkin dia kurang mampu berbuat segalanya. Tapi bagi kami, dia cukup sempurna.

“Hanya yang pernah melaluinya akan faham betapa sunyi, keliru dan pedihnya peringkat awal. Tapi lama-kelamaan, kita mula nampak jalan.

“Melalui kaca mata manusia biasa, mungkin sukar memahami seseorang yang tidak berbicara. Tapi Alhamdulillah… for those who truly know him, we understand each other, in ways words could never express.

“Happy 13th birthday, sayang. You are our miracle in motion,” luah Catriona dalam satu perkongsian menyentuh hati di media sosial.

No Image Caption

Hari ini, mereka berdiri megah bukan kerana segala-segalanya telah sempurna, tetapi kerana berjaya melalui setiap cabaran dengan jiwa yang tabah.

Catriona turut berkongsi sambutan hari jadi Jammal Raess di sekolah bersama rakan-rakan dan guru-gurunya.

Suasana mungkin ringkas, tetapi cukup untuk menggambarkan betapa dia kini membesar dalam dunia yang memahami dan menyayanginya seadanya.

No Image Caption

"Our "Handsome Leader" (Jammal Raess) celebrated his 13th birthday in school with his schoolmates & teachers.

"Mohon Aunties & Uncles doakan our no 2. Semoga anak kami sentiasa dalam lindungan kasih sayang ALLAH… dikasihi, dirahmati.

"Semoga terus membesar sebagai lelaki budiman yang menawan hati, just as he is, always," ungkap ibu tabah itu penuh makna.

Kisah Jammal bukan sekadar catatan peribadi sebuah keluarga. Ia adalah pengingat buat semua bahawa dalam dunia yang mengejar kesempurnaan, masih wujud keindahan dalam ketidaksempurnaan.

Kasih yang tidak bersyarat, sabar yang tidak bertepi, dan pengorbanan yang diam, semua itu hidup dalam detik-detik membesarkan anak istimewa seperti Jammal.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang