Duit raya anak autisme. Didik skil buat kuih jana pendapatan kendiri. 'Selagi ada permintaan, selagi itulah anak-anak ini dapat berfungsi’
BUKAN mudah untuk mendidik, apatah lagi menambah nilai kemahiran tambahan buat anak-anak autisme yang berdepan dengan pelbagai jenis tantrum. Situasi itu boleh disifatkan sebagai di luar kesanggupan manusia.
Pun demikian, insan kuat bernama Mohd Adli Yahya tetap mempasakkan keyakinan dan kepercayaan utuh bahawa anak istimewa mampu berdikari, sekali gus menjana pendapatan jika diberi peluang sewajarnya.
Kepada SinarPlus, Mohd Adli memberitahu, impiannya menggunung tinggi untuk melihat anak kurang upaya dapat meneruskan kelangsungan hidup tanpa mengharapkan ihsan orang.

“Sebab itu, saya nekad berhenti kerja dan memulakan Autism Cafe Project (ACP) sejak tahun 2016 untuk melatih potensi anak berkeperluan khas mengikut kesesuaian tahap kemahiran mereka.
“Alhamdulillah, daripada tidak pandai dan kurang fokus, kini mereka mampu membuat biskut dan menjual di khalayak ramai,” kata bapa kepada enam cahaya mata tersebut.
Tatkala ditanya bagaimana idea genius tersebut tercetus, bekas pengarah eksekutif di sebuah syarikat swasta itu mengakui, semuanya berlaku selepas anaknya disahkan menghidap autisme.

Putera keduanya, Muhammad Luqman Shariff, 26, didiagnosis menghidap gangguan spektrum autisme sejak usianya setahun, sehingga mendorong beliau untuk melakukan sesuatu di luar kotak.
Tatkala berbicara tentang zuriatnya yang manja dipanggil Luqman, nada suara bapa berusia 60 tahun itu sebak apabila mengenangkan dirinya terlalu sukar untuk menerima hakikat bahawa anaknya lain daripada yang lain.

“Sebagai bapa, saya tak pernah terfikir perkembangan Luqman berbeza berbanding abangnya. Boleh dikatakan Luqman ini tak melalui fasa merangkak dan bertatih, dia jenis terus nak berlari saja.
“Lagi buat saya hairan, dia tidak fokus dan suka berlari dalam pusingan untuk tempoh yang lama. Pada usia yang sepatutnya sudah pandai bercakap, tapi dia kurang berkomunikasi,” ceritanya satu persatu.

Meski sudah jelas simptom kelainan pada pertumbuhan Luqman dari tahun ke tahun, namun lelaki itu sedaya upaya untuk mendidiknya seperti anak normal yang lain.
“Memang agak marah bila apa yang kita suruh, walaupun arahan mudah, Luqman tidak dapat ikut. Saya akui dalam tempoh itu agak ego dan tidak mahu menerima hakikat.
“Namun, sedikit demi sedikit ALLAH lembutkan hati saya dan reda dengan ketentuan takdir. Sejak dari detik itulah, saya berusaha yang terbaik untuk Luqman.

“Mungkin ALLAH datangkan Luqman sebagai ujian buat saya. Sesungguhnya anak istimewa ini tiada dosa, bahkan dialah yang boleh menjadi asbab kami masuk syurga,” ujarnya.

Rezeki Ramadan
Berbalik kepada jualan biskut raya ACP yang kini mendapat sambutan luar biasa, Mohd Adli menzahirkan rasa syukur terhadap rezeki Ramadan buat anak autisme.

“Alhamdulillah, kami menerima tempahan lebih 700 balang untuk lima jenis perisa iaitu coklat cip, red velvet, dark chocolate, butter dan butterscotch pada harga RM26 sebekas.
“Apa yang membuat saya lebih gembira ialah melihat anak-anak autisme yang seronok bila biskut jualan mereka laku dan dihargai pembeli," katanya yang berjualan di lobi-lobi syarikat setiap minggu selain menerima tempahan kotak cenderamata korporat.

Tidak menolak sumbangan orang ramai untuk merancakkan lagi jualan ahli ACP yang terdiri daripada 14 anak autisme, Mohd Adli juga mengharapkan sokongan berterusan.
“Selagi ada permintaan, selagi itulah anak-anak ini dapat ‘berfungsi’. Bukan apa, untuk bekerja di luar sana bukannya mudah.

“Tak kisahlah mereka dibayar gaji mengikut jam, asalkan dapat belajar dan mengasah kemahiran kendiri mereka. Pada masa sama, mereka boleh berdikari mencari duit poket sendiri,” jelasnya yang beroperasi di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.
Sebelum menutup perbualan, pengasas ACP berwibawa itu juga merancang untuk membantu para ibu bapa di luar sana yang berhasrat untuk mengubah masa depan anak istimewa mereka.

Kepada orang ramai yang ingin membantu, dana ikhlas boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 562227351442 atas nama A Autism Enterprise Project.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

