Dulu jurutera, kini usahawan sambal – Nana Korobi, Ya Oki! jadi semangat OKU ini bangkit lepas koma
KEMALANGAN ngeri yang berlaku tujuh tahun lalu bukan sahaja hampir meragut nyawa Amir Mohsin Mohd Bahrudin, bahkan masa depan yang pernah dirancang rapi dengan karier stabil sebagai jurutera di Jepun.
Sejak detik itu, kehidupan bapa kepada dua anak itu tidak lagi sama. Beliau disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) selepas mengalami kecederaan traumatik otak dan kerosakan serius pada lutut.

“Saya sebenarnya tak sangka boleh bangkit daripada koma selepas mengalami pendarahan teruk pada otak.
“Bahkan doktor pun menjangkakan saya akan terlantar seumur hidup,” ungkapnya kepada penulis tatkala mengimbau kembali detik hitam yang mengubah seluruh hidupnya.
Meski ingatan tentang tragedi itu kabur, namun satu memori tetap utuh dalam sanubarinya apabila mengenangkan detik bahagia menimang cahaya mata pertama sebelum segala-galanya berubah dalam sekelip mata.
Kepada SinarPlus, Amir Mohsin memberitahu, ketika kejadian beliau sebenarnya sedang bercuti selama seminggu untuk menjaga putera sulungnya yang ketika itu baru berusia 20 hari.
“Saya pulang dari Jepun semata-mata mahu jumpa anak dan isteri yang sedang berpantang. Tetapi, tak sangka ditimpa ujian sebegini dan koma selama enam bulan.
“Saya ditempatkan di unit rawatan intensif selama 42 hari sebelum dibawa pulang. Sepanjang koma, isteri banyak membantu membuat fisioterapi untuk elak komplikasi seperti ketegangan otot,” katanya.
Cerita anak jati Kelantan itu, beliau hanya berupaya mendengar, tetapi tidak mampu menggerakkan badan, waima sebatang jari sekalipun.
“Barangkali ALLAH masih sayang, saya tersedar daripada koma selepas bermimpi pergi ke Makkah. Dalam mimpi itu, saya tertidur di dalam masjid sebelum ada seseorang kejutkan saya untuk ambil wuduk solat Zuhur.
“Entah macam mana saya tiba-tiba bangun dan cuba berjalan, tapi jatuh dari katil. Dengan kudrat yang ada, saya cuba mengesot ke bilik air. Pada saat itulah isteri perasan saya sudah sedar,” kongsinya dengan nada sebak.

BISNES SAMBAL
Tempoh pemulihan diri bukanlah mudah, namun berkat kerja keras suri hati tersayang, Siti Hawa Mohd Nasir akhirnya Ikon Usahawan OKU Selangor 2024 itu berupaya berjalan sendiri tanpa bantuan.
“Isterilah tulang belakang saya dan tanpa rasa penat memberi dorongan. Saya memang tak kuat sebenarnya, tapi dia banyak memberi semangat.
“Dalam fasa itu, saya juga cuba untuk keluar dari zon selesa walaupun tidak sihat sepenuhnya,” ujarnya yang kemudian berniaga nasi lemak kecil-kecilan di Alam Jaya, Puncak Alam.
Pun demikian, bisnes Nasi Lemak OKU yang diusahakan anak kedua daripada lima beradik itu hanya mampu bertahan hampir setahun sahaja rentetan kecederaan lutut yang ditanggung.
“Masa itu, saya mula buat jualan makanan sejuk beku sebelum berani membuat stok sambal sedia dimakan dengan label Dapur Pak Amir. Saya olah resipi sambal selama enam bulan sebelum dapat rasa betul-betul padu.
“Alhamdulillah daripada sambal nasi lemak, kini sudah ada lapan produk secara keseluruhan. Antara pilihan laku keras seperti sambal tempoyak bilis petai, sambal ikan bilis garing, sambal penyet dan sambal petai bilis,” ungkapnya.
Walaupun dengan kekangan fizikal yang terhad, Ikon Lokal TV9 itu bersama isteri tersayang gigih menyiapkan tempahan pelanggan yang diterima melalui platform TikTok dan Shopee.
“Inilah rezeki kami dan alhamdulillah ALLAH permudahkan segala-galanya. Semua tempahan dibuat dari rumah saja dan jika diizinkan ALLAH, saya mahu buka kedai jualan dalam masa terdekat,” kata Hero Sambal TV3 itu.

Tidak mahu mengalah dengan ketentuan takdir, Amir Mohsin yang juga penerima Anugerah Liga Usahawan OKU Selangor turut berpesan kepada mereka yang senasib di luar sana supaya jangan sesekali putus asa.
“Saya berpegang dengan falsafah Jepun, nana korobi, ya oki! Maksudnya jatuh tujuh kali, bangkit lapan kali. Percayalah di sebalik semua ujian, akan hadir pelangi hikmah yang tak disangka-sangka.
“ALLAH tak akan uji melebihi kemampuan kita. Jadi, berhentilah menyalahkan nasib dan bangkitlah untuk jana pendapatan sendiri demi orang yang kita sayang,” nasihatnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

