Hari Seni Sentosa pamer kreativiti dan kemahiran OKU, Shiela Majid hadir meriahkan majlis, titip nasihat pentingnya keyakinan diri dan disiplin

No Image Caption
A
A
A

APABILA seni bersatu dengan alam, terbit rasa tenang dan harmoni buat peserta dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) apabila Sentosa Janda Baik Resort (SJB) menjadi lokasi bagi program Hari Seni Sentosa pada 13 Julai lalu.

Menurut penganjur acara serta pemilik SJB, Omar Ariffin, kawasan ini menjadi pilihannya disebabkan oleh tapak lokasi ini bersesuaian dengan OKU iaitu dilengkapi dengan landasan turun, laluan lapang serta bilik air khas OKU.

"Kami berusaha untuk melibatkan dan membina komuniti OKU melalui seni, untuk mewujudkan rasa inklusif. Di sinilah ruang untuk mereka berekspresi seni dan berinteraksi dengan rakan-rakan lain yang berada dalam situasi yang sama," kata Omar.

OKU dan seni lukisan

Antara aktiviti seni lukisan yang ada pada hari tersebut adalah aktiviti mewarna fabrik dengan teknik ikatan (bundle dye) dari Puan Masitah Babjan yang mana beliau menggunakan pewarna dari tumbuh-tumbuhan. Pada sesi ini, peserta diberi beg kain untuk mereka warnakan dengan pelbagai corak yang unik.

No Image Caption

No Image Caption

“Saya dapati sesi ini sangat menyeronokkan kerana kami dapat melukis dan mewarna dalam suasana yang indah dan tenang. Ini kali pertama saya mengambil bahagian dalam aktiviti seperti ini," kata Low Mee Li yang merupakan salah seorang peserta bengkel.

No Image Caption

Nada bunyi bawa ketenangan

Pada masa yang sama, terdapat juga bengkel bunyi yang dijadikan sebagai platform terapi dipimpin oleh Zarul Albakri dari OurBodySound.

Ketika sesi ini, peserta diminta menutup mata dan memberi fokus kepada bunyi-bunyi yang berbeza.

Dengan alat-alat yang dibawa, beliau menghasilkan bunyi loceng angin, seruling, teknik vokal yang unik serta deruan angin.

“Kita semua terdiri daripada molekul dan ia bertindak balas terhadap getaran bunyi,” kata Zarul yang berjalan menggunakan papahan tongkat disebabkan polio sejak beliau berusia setahun.

Dalam mencari kesembuhan, beliau terokai kaedah holistik termasuk terapi bunyi.

“Bukan semua orang memiliki kesihatan mental yang baik, terutama apabila berhadapan dengan tekanan dan trauma dalam hidup mereka.

“Kadang-kadang kita memerlukan sedikit bantuan, seperti healing menggunakan getaran bunyi. Sebagai contoh, cuba tutup telinga dan tarik nafas serta lepaskan nafas perlahan-lahan. Anda boleh meneliti dan mendengar bunyi pernafasan anda. Itu juga menenangkan," tambahnya.

Karung guni menjadi seni

Seterusnya, menggunakan karung guni sebagai kanvas dan lapik asas merupakan keunikan yang ada pada Raja Iskandar Raja Mansur.

Raja menamakan projek seninya Inisiatif Karung Guni. Beliau merasakan satu pembaziran jika guni terpakai dibuang begitu sahaja.

“Guni dibuat dari material yang kuat dan boleh terurai secara alami (biodegradable). Mereka menggunakannya sebagai fabrik asas untuk dijadikan kain pelapis, tikar lantai, dan bantal hias.

No Image Caption

"Inisiatif karung guni ini mencerminkan perjalanan hidup saya sendiri sebagai OKU. Saya mengalami strok lapan tahun lalu. Sewaktu melawan keadaan lumpuh, saya mengalami depresi yang sangat teruk.

“Alhamdulillah, melalui seni, saya menemui platform yang mengubah jiwa secara dalaman. Dengan sedikit kreativiti, saya dapati bahawa seni boleh membawa nafas dan identiti baharu kepada sesuatu yang pada zahirnya nampak kurang sempurna, sama seperti sehelai karung guni yang digubah,” katanya.

Dalam pada itu, majlis juga diserikan lagi dengan kedatangan penyanyi tersohor, Sheila Majid dalam sesi bertemu peminat. Beliau sempat menyanyikan lagu hitsnya, 'Sinaran' bersama peserta yang hadir pada hari tersebut.

No Image Caption

Beliau juga turut berkongsi dengan penonton tentang perjalanan kariernya dalam industri muzik sekaligus menekankan betapa pentingnya keyakinan diri dan disiplin.

No Image Caption

Hari Seni Sentosa tidak akan berjalan lancar tanpa rakan kerjasama iaitu Zhariff Ariffin dari Festival Janda Baik yang merupakan sebuah badan seni dan muzik di Janda Baik serta Amani Shahrin dari Nak Seni iaitu sebuah pertubuhan dengan objektif meningkatkan status OKU melalui seni.

Turut menyumbang kepada acara ini adalah Armin Iliyas untuk video content, Cero PJ untuk visual audio, Wan Ramlah Wan Hussein untuk hidangan bagi OKU di Rasa Sentosa Café, serta Sri Pengantin Resort untuk diskaun penginapan bagi penganjur acara dan sukarelawan bengkel.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang