Pelajar autisme raih PNGK 4.0 STPM! Ulang kaji awal pagi, tahajud & al-Quran rahsia Alam Haikal cemerlang
NAMA Alam Haikal Jansari Anuar, 20, menjadi bualan warga maya selepas kejayaannya meraih semua A serta Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan pada Selasa.
Siapa sangka pemuda dilahirkan dengan autisme yang sebelum ini sering mengoyak buku dan hanya pandai membaca pada usia 10 tahun muncul pelajar cemerlang!
Lapor wartawan Sinar Harian, Alam Haikal yang merupakan salah seorang daripada 78 calon STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang muncul sebagai pelajar cemerlang sekolah tersebut biarpun dia calon tunggal kategori orang kurang upaya (OKU).
Pemuda dari Kampung Air Berlaga, Machang itu sempat berkongsi setiap hari dirinya akan meluangkan masa enam jam untuk mengulang kaji pelajaran iaitu bermula jam 4 hingga 7 petang dan 3 hingga 6 pagi.

Alam Haikal yang bercita-cita sebagai guru tidak pernah meninggalkan solat sunat Tahajud dan menjadikan membaca al-Quran sebagai rutinnya setiap hari.
"Selain itu, untuk memahami sesuatu subjek, saya menggunakan teknik belajar yang berbeza-beza dan hanya fokus kepada satu mata pelajaran sahaja bagi satu hari,” katanya kepada Sinar Harian.
Anak kepada pesara tentera itu juga membuktikan kekurangan dirinya bukan penghalang untuk bersaing dengan pelajar normal lain dengan fokus, usaha dan berdoa untuk terus cemerlang.

Ibunya, Norlaila Ismail, 54, memberitahu bahawa jika Alam Haikal berjaya memasuki universiti, dia merupakan anak pertama dalam keluarga yang akan ke menara gading.
Malah, ibu suri rumah itu juga mendedahkan Alam Haikal bukanlah satu-satu anak OKU dan sentiasa mendoakan kejayaan anak ketiga daripada enam beradik itu.
"Sebagai ibu, saya dan ayahnya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Alam Haikal.
"Kami mempunyai tiga anak OKU termasuk Alam Haikal. Ini tidak mematahkan semangat kami untuk melihat anak-anak berjaya," katanya.
Tahniah buat Alam Haikal atas kejayaan ini dan membuktikan autisme juga boleh berjaya. Semoga terus cemerlang pada masa hadapan!
Sumber: Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
