Dari 2A SPM ke double major & anugerah tertinggi kejuruteraan di AS, Zul Hakim harumkan nama Malaysia. Inspirasi!
MENCAPAI keputusan yang cemerlang dalam pelajaran adalah pencapaian yang diidam-idamkan oleh semua yang bergelar pelajar.
Lebih membanggakan lagi apabila kejayaan itu diukir di luar negara, sekali gus membuktikan bahawa anak Malaysia juga setanding di peringkat antarabangsa.
Baru-baru ini, pelajar Malaysia, Zul Hakim Zulhaimi dari Purdue University, West Lafayette, Indiana, melakar kejayaan apabila dianugerahkan Golden Honor Cord, lambang kecemerlangan akademik tertinggi di universiti berprestij itu di Amerika Syarikat.
Lebih mengagumkan, kejayaan tersebut dicapai oleh anak muda yang dahulunya merupakan pelajar aliran Sastera semasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun kini muncul sebagai jaguh dalam bidang kejuruteraan dan berjaya menamatkan pengajian dengan dua pengkhususan (major) dalam bidang tersebut.

Kisah kejayaan Zul Hakim dikongsikan menerusi laman sosial MARA USA dan kemudiannya dimuat naik semula oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sekali gus memberikan inspirasi kepada warga maya.
"Bermula sebagai pelajar aliran Sastera dengan hanya memperoleh 2A dalam SPM serta gagal dalam semua permohonan ke universiti awam, beliau tetap bersemangat menyambung pengajian di German-Malaysian Institute (GMI) pada tahun 2018.
"Walaupun datang daripada latar belakang bukan sains, beliau tekad mencabar diri dalam bidang Diploma Kejuruteraan Teknologi Mekatronik yang penuh cabaran.
"Usaha gigih itu membuahkan hasil apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang pada tahun 2021," titipnya.
Susulan kejayaan tersebut, Zul Hakim melangkah lebih jauh apabila menerima tajaan MARA untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dan memilih Purdue University di Amerika Syarikat, sebuah universiti terkemuka dalam bidang kejuruteraan.

Di sana, beliau terus menggilap potensi diri dan terlibat secara aktif dalam pelbagai projek berimpak tinggi seperti pembangunan prototaip exoskeleton pintar yang dilengkapi sensor daya dan sudut bagi tujuan pembelajaran serta aplikasi industri sepanjang pengajiannya di Purdue University.
"Beliau turut menjadi pembantu pengajar (Teaching Assistant) bagi kursus Lean Six Sigma serta mewakili kumpulan dalam Tech Expo Purdue untuk membentangkan hasil inovasi kepada pihak industri dan akademik.
"Akhirnya, dengan penuh dedikasi, beliau berjaya menamatkan pengajian lebih awal pada semester Spring 2025 dan dianugerahkan Golden Honor Cord, lambang kecemerlangan akademik tertinggi."
Ternyata, bukan permulaan yang menentukan segalanya, tetapi bagaimana kita mengakhirinya.
Perkongsian kejayaan Zul Hakim membuktikan bahawa permulaan yang sederhana bukan penghalang untuk mencapai kejayaan luar biasa.
Dengan semangat, kesungguhan dan keyakinan diri, tidak mustahil masa depan boleh diubah. Tahniah!
Sumber: MARA USA, Dr Asyraf Wajdi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

