Redza Syah Azmeer dipuji isteri, bersama urus enam anak hingga raih sarjana. 'Husband yang power, terima kasih suamiku'
TAHNIAH diucapkan buat isteri Redza Syah Azmeer Mohd Radzuan, Nur Hafiza Mohd Salim yang selamat menamatkan pengajian peringkat sarjana.
Berkongsi berita gembira di Instagram, Nur Hafiza meluahkan rasa syukur dengan dorongan dan bantuan suami kejayaan diraih di penghujung perjalanan.
"Sesekali difikirkan, saya sendiri tidak pasti bagaimana menguruskan segalanya.
"Dengan tuntutan kerja yang berat, membuka komputer riba pada tengah malam, malah bekerja pada hujung minggu; namun, semua tugasan tetap dihantar tepat pada waktunya.
"Bahkan, ketika sedang berseronok bersama rakan-rakan dalam perjalanan keluar, komputer riba tetap dibawa, berhenti seketika untuk menghantar tugasan sebelum jam 12 tengah malam.
"Pernah juga saya mengambil cuti semata-mata untuk menyelesaikan empat tugasan secara serentak," titipnya.
Malah Nur Hafiza juga mendedahkan segalanya mungkin dengan sokongan daripada Redza yang menolong dalam menguruskan anak-anak dan hal-hal berkaitan rumah tangga.

"Banyak urusan perjalanan, alahan mengandung, berpindah rumah, menghantar dan menjemput anak-anak ke sekolah, menghantar Projek Tahun Akhir ketika berpantang, pulang dari kerja perlu menghadap komputer riba, kadang kala bangun jam 4 pagi untuk belajar dan mengulang kaji sebelum ke pejabat.
"Orang sentiasa bertanya bagaimana saya mengimbangi kerja, pelajaran, dan enam orang anak. Dengan anak-anak kecil yang bersekolah, dari mengandung hingga melahirkan saya sentiasa memberikan jawapan yang sama.
"Kerana saya mempunyai seorang suami yang power.
"Rumah tetap bersinar, lantai masih berkilat. Pakaian sentiasa tersedia, terurus, dan terlipat.
"Suami pergi kerja tetap berbusana lengkap, kemas, dan segak.
"Hidangan malam tersedia di meja setiap hari, tidak pernah terlepas, tidak pernah terlewat. Ayat berirama ini tercipta sendiri kerana memang semua itu tampak mudah di tangannya," kongsinya.

Mengakui Redza sebagai tulang belakangnya, Nor Hafiza meluahkan rasa syukur berjaya mengimbangi pelbagai tanggungjawab hasil sokongan penuh dan pengorbanan suaminya.
"Dia adalah sandaran utama, ketenangan di tengah kekalutan dan kekuatan saya. Dialah yang menjadikan perjalanan yang mencabar ini terasa mampu untuk dilaksanakan. Saya mungkin yang nampak sibuk berkejar ke sana sini, namun dialah sebabnya mengapa segalanya kekal teratur.
"Terima kasih suamiku atas sokongan yang diberikan dan tidak pernah meminta balasan.
"Sentiasa memikul beban agar saya dapat mengejar impian saya dan menjadi kekuatan di sebalik penghantaran tugasan, malam yang lewat dan setiap kejayaan. Awaklah wira sebenar dalam kisah ini," kongsinya.
Sekadar info, Redza mengumumkan perkahwinannya dengan Nur Hafiza pada April 2024.
Imbas kembali, lelaki tersebut terdahulu mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan pengacara Irma Hasmie pada 2012 namun berpisah pada Oktober 2024.
Hasil perkongsian hidup, Redza dan Irma dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syed Irfhan, 12, dan Irma Nur Naylie, 11.
Sumber: Instagram
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

