Sentuhan magis Nurin Alya. Meski tak boleh bercakap dan mendengar, pencapaian Rinleed Batik jadi inspirasi ramai
MESKI tidak sesempurna insan lain, namun Nurin Alya Halid tidak pernah merasai kekurangan diri sebagai tembok konkrit yang menghalang potensinya untuk berjaya.
Pada usia 24 tahun, Nurin Alya atau mesra disapa Nurin sudah memiliki perusahaan batik sendiri dengan jenama Rinleed Batik yang berpangkalan di Kampung Melayu Raya, Sagil, Johor.
Kepada SinarPlus, anak jati Tangkak itu berkata, dirinya yang kelainan upaya pertuturan dan pendengaran tidak mampu mencapai kejayaan tersebut tanpa dorongan padu ibu bapanya.
“Sebenarnya, bukan mudah untuk capai apa yang saya kecapi sekarang, daripada tiada apa-apa dan ada masalah untuk berkomunikasi sampailah orang kenal jenama Rinleed Batik.
“Namun alhamdulillah, semuanya dipermudah dan ibu ayah banyak membantu sebagai tulang belakang untuk berurusan bersama pihak agensi kerajaan dan perseorangan,” beritahunya menerusi aplikasi WhatsApp.
Tatkala ditanya mengenai kondisi kesihatan yang dialami sejak lahir itu, anak kepada pasangan Halid Ahmad, 57, dan Noor Sa'Adah Mashuddi, 54, tersebut mengakui, dirinya kerap bertanyakan hal tersebut kepada ibunya.
“Ya, saya selalu tanya ibu boleh dengar tak sebab saya tak boleh dengar dan tak boleh cakap. Tipulah tak sedih tapi ibu selalu pujuk dan kata semua itu berlaku sebab ALLAH sayang.
“Ibu selalu pesan, jangan sedih kerana ini adalah anugerah. Sebab itu, saya selalu letakkan ALLAH dalam hati dan ingatlah ALLAH sentiasa bersama kita,” tulisnya.
Cerita bekas penuntut Politeknik Ibrahim Sultan Pasir Gudang itu, doktor yang merawatnya sebelum ini pernah mengesyorkan prosedur pemasangan cochlear implant sebagai alternatif untuk mendengar semula.
Kredit: fyfa09
Namun, disebabkan kos terlalu tinggi hingga mencecah RM90,000 dan keluarga pada waktu itu menghadapi kekangan kewangan membuatkan mereka reda dengan ketentuan takdir.
“Doktor ada sarankan untuk memohon bantuan daripada mana-mana persatuan, tapi ibu dan ayah rasa memang tak mampu. Saya juga percaya semua ada hikmahnya.
“Ada juga yang mengejek bisu dan pekak masa zaman sekolah, tapi saya okay saja dan tetap jalani hidup dengan ceria sebab tak dengar pun apa yang orang kata semua itu,” tulisnya dengan penuh optimis.
Rezeki bakat
Benarlah kata orang, usaha tidak pernah mengkhianati hasil.
Begitu jua dengan Nurin apabila minat melukis mendorongnya untuk lebih mendalami ilmu mencanting batik sejak sekolah rendah lagi, sekali gus membuka rezeki yang tak disangka-sangka.
“Kalau diikutkan, melukis merupakan terapi buat saya kerana boleh meluahkan perasaan melalui karya sendiri. Ayah pula rajin hantar saya ke kelas melukis pada hujung minggu.
“Nak dijadikan cerita, saya dapat sambung belajar untuk jurusan seni pembuatan batik di Kolej Vokasional Shah Alam ketika tamat tingkatan tiga dan alhamdulillah banyak teknik dapat dipelajari,” kongsinya yang kemudian melanjutkan pelajaran dalam jurusan rekaan fesyen tahap tiga.
Saat berkongsi bagaimana idea Rinleed Batik tercetus, Nurin memberitahu, ibu bapa berat untuk melepaskannya keluar bekerja di bandar selepas tamat belajar.
“Boleh dikatakan rezeki semasa Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun 2021 bila lukisan pada kasut, beg dan poster yang dipamerkan di galeri kecil di rumah menjadi perhatian agensi kerajaan termasuk Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
“Asbab itu, kami diterima untuk mendaftar di bawah Kraftangan Malaysia dan menerima bantuan peralatan dan geran untuk pembinaan bengkel untuk projek penghasilan batik,” tulisnya.
Kreativiti Nurin bersama keluarganya yang memperkenal desain signatur canting dan blok bermotifkan lada hitam, bunga gambir, tradisional dan geometri membawa mereka terbang lebih jauh.
Lebih membanggakan, usaha keras tersebut mendorong Nurin merangkul beberapa anugerah termasuk Anugerah Tokoh OKU Negeri Johor 2023.
Anak ketiga daripada enam beradik itu juga penerima Ikon Insan Madani 2023 anjuran ICU JPM dan Anugerah Sumber Inspirasi sempena majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas 2024.
Melihat portfolio membanggakan berkenaan, pengasas Rinleed Batik itu turut berhasrat untuk memperkenal label sendiri untuk pasaran lokal dan luar negara dengan produk eksklusif.
Mana tidaknya, sentuhan magis beliau diperakui dan diberi kepercayaan untuk menghasilkan batik untuk golongan ternama seperti Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anuar Ibrahim bersama isteri.
Nurin sempat menitipkan pesanan buat mereka yang senasib dengannya supaya sentiasa yakin dan minat dengan apa jua yang ingin dilakukan.
“Yakin dan sentiasa fokus. Percayalah, bakat yang kita ada mampu mengubah kehidupan dan paling penting, letak ALLAH dalam hati.
“Jangan putus asa kerana kegagalan sekali dua itu adat biasa. Kita perlu bangkit berusaha hingga berjaya. Jangan berhenti belajar dan mudah puas hati. Sentiasa mencari ilmu baharu dan tajamkan bakat melalui pelbagai program kemahiran,” pesan gadis cekal itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang