'Suami sistem sokongan paling besar.' Mashy buktikan hilang penglihatan bukan penghalang kejar impian, melakar kejayaan
PATAH pipi kanan, retak pipi kiri, patah hidung, rahang tanggal, retak kepala sebelah kanan, saraf mata tersepit menyebabkan buta dan patah kaki kanan serta pelbagai kecederaan lain.
Itu antara situasi yang dialami oleh Masitah Mohd Afandy selepas terlibat kemalangan dengan kereta dan lori di Ayer Keroh, Melaka pada tahun 2023.
Dengar sahaja sudah ngeri apatah lagi yang menanggungnya.
Siapa sangka, perjalanan pulang dari Sabak Bernam menuju ke Johor Bharu selepas tamat tugasan meninggalkan pengalaman pahit yang tidak dapat dilupakan oleh wanita itu.
Selepas 24 hari berada di hospital, wanita yang mesra disapa sebagai Mashy begitu tenang apabila mengetahui dirinya hilang penglihatan sepenuhnya.
“Bila tahu saya menjadi buta, saya hanya berkata okay. Saya berperanan menjadi ‘topi’ kepada orang sekeliling terutama keluarga dan rakan-rakan dengan memujuk dan tenteramkan perasaan mereka pada ketika itu.
"Jarang berlaku orang menjadi buta selepas kemalangan.
“Ujian saya hanya hilang penglihatan sahaja. Banyak lagi nikmat lain yang masih ada untuk saya hargai. Mengapa perlu saya tangisi ujian yang hanya satu ini,” katanya.
Dilahirkan sihat walafiat tetapi ALLAH mengujinya menjadi individu istimewa ketika berusia 32 tahun.
“Sebelum kemalangan, suami yang banyak bantu buat kerja rumah kecuali memasak. Saya diletakkan di barisan hadapan untuk menguruskan perniagaan. Masuk ke pejabat bertemu pekerja, menghadiri mesyuarat dan seminar kemudian pulang ke rumah.
“Bila jadi begini, tak banyak sangat perubahan berlaku dalam jadual harian saya. Namun, dari segi cabaran memang ada kekakangan yang perlu saya hadapi terutama bila berhadapan dengan orang lain.
“Suami banyak memberikan dorongan dan motivasi untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Musibah yang berlaku secara tiba-tiba itu tidak mematahkan semangat Mashy untuk terus berjuang dalam meneruskan kehidupan.
Sedikit demi sedikit beliau belajar tentang kekurangan diri. Pada mulanya, anak kelahiran Johor itu mencuba konsep mengingati selain belajar tentang suara.
Walaupun cuba menggunakan aplikasi, namun tidak sesuai dengan jiwanya.
Cabaran yang paling besar sudah tentu bagaimana untuk mendapatkan kepercayaan orang sekeliling terutama pekerja sendiri, pelanggan dan pembekal.
Namun, masalah ini langsung tidak mematahkan semangat Mashy untuk buktikan kepada mereka bahawa cacat bukanlah pengakhiran buat dirinya.
Ikon wanita
Berbekalkan pengalaman dalam bidang perniagaan selama 14 tahun, Mashy tidak lokek ilmu untuk dikongsikan bersama orang lain.
Beliau juga menubuhkan pasukan sendiri dalam menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial kepada komuniti seperti anak yatim, golongan gelandangan, ibu tunggal, dan golongan kurang bernasib baik.
Berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat miliknya, beliau bercita-cita memacu syarikatnya menjadi peneraju industri menjelang 2030.
Syukur alhamdulillah, wanita hebat ini dikurniakan suami, Nik Nazri Abidin yang banyak membantu dari segi mental dan fizikal.
“Suami seorang yang optimis. Selalu bantu dan ajar untuk fokus pada apa yang kita masih ada. Fikirkan apa yang perlu dilakukan selepas ini. Jangan cepat putus asa dan kena bangkit.
“Beliau sentiasa mencari aktiviti yang boleh menggembirakan kami seperti membaca buku, bertemu anak angkat dan juga berjalan-jalan untuk tempoh masa yang lama.
"Bukan itu sahaja, beliau juga menjadi sistem sokongan yang paling besar dalam kehidupan saya” katanya menutup perbualan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang