'Wanita kini bukan hanya di dapur, jaga anak' – Siti Nurhaliza terima anugerah, anggap penghormatan bukan kerana dikenali semata-mata


BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur selepas menerima Lifetime Achievement Award pada Malam Gala AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards 2025.
Dalam ucapan penuh ikhlas, Siti menekankan bahawa segala pencapaian yang diraih adalah kurniaan ALLAH.
“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada penganjur kerana memilih saya.
"Ini satu penghormatan, bukan kerana saya dikenali, tetapi berdasarkan apa yang telah saya sumbangkan dalam bidang muzik dan perniagaan,” ujar Siti.

Ibu kepada sepasang cahaya mata turut menekankan bahawa kejayaan datang daripada usaha, dedikasi, dan niat untuk memberi manfaat, bukan populariti semata.
Beliau turut berkongsi rasa bangga melihat keberanian wanita masa kini yang semakin tampil ke hadapan.
“Sebenarnya, wanita sekarang bukan lagi dipandang hanya duduk di dapur atau jaga anak.
"Ramai wanita kini berada di barisan hadapan, memegang jawatan kepimpinan dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Psds masa sama, pelantun lagu Menamakanmu Cinra itu sempat menitipkan pesanan padu kepada semua kaum Hawa.
“Tiada istilah lambat, terus kejar impian. Setiap individu mempunyai kelebihan dan anugerah tersendiri, tinggal bagaimana kita menonjolkan dan menggunakan kelebihan itu untuk memberi manfaat kepada masyarakat," ungkapnya.
Siti juga menegaskan bahawa setiap wanita wajar dihargai, tidak kira latar belakang.
“Walaupun duduk di rumah, tanggungjawab yang ditunaikan sangat luar biasa. Semoga wanita-wanita di luar sana terus dihargai kerana pengorbanan mereka sangat besar,” ujarnya.
Wanitaluarbiasa
Berbalik kepada pengiktirafan yang diterima, isteri kesayangan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa itu mengakui, dengan kudrat dan kesihatan yang baik, beliau berjanji akan terus berbakti dalam bidang seni dan perniagaan serta memberi semula kepada masyarakat, sejajar dengan semangat anugerah yang diterimanya.

Sekadar makluman, majlis TOP 50 Women of Excellence Awards 2025 meraikan 50 wanita luar biasa daripada pelbagai bidang termasuk perniagaan, sains, seni, sukan, tadbir urus dan pembangunan negara.
Antara penerima yang menonjol termasuk Tan Sri Michelle Yeoh, Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Hooi Ling, Dato’ Sheila Majid dan Pandelela Rinong. Kesemua penerima dipilih berdasarkan kepimpinan, sumbangan berimpak tinggi dan usaha memacu kemajuan serta imej Malaysia di peringkat nasional dan global.
Pengasas TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin, menegaskan bahawa platform itu dibangunkan bukan sekadar untuk meraikan pencapaian tetapi juga meninggalkan legasi jangka panjang.
“Apabila wanita cemerlang, negara turut melangkah maju. Top50 bukan sekadar anugerah, tetapi sebuah gerakan,” katanya.

Inspirasi
Acara tersebut juga selaras dengan agenda AFFIN INVIKTA dalam memperkukuh kepimpinan wanita, keusahawanan, ketahanan kewangan dan mobiliti ekonomi.
Ia turut menyokong Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025–2030, selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan penyertaan inklusif wanita dalam semua sektor.
Kemuncak malam itu tentulah penganugerahan khas kepada Siti Nurhaliza. Anugerah berkenaan mengiktiraf kejayaan beliau bukan sahaja dalam bidang seni dan keusahawanan, tetapi juga sebagai inspirasi kepada generasi muda.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
