Institut Kanser Negara, AstraZeneca perkenal teknologi AI untuk saringan awal paru-paru
INSTITUT Kanser Negara (IKN) dan AstraZeneca baru-baru ini menjalin kolaboratif dengan memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI) X-ray di kemudahan saringan awal paru-paru di klinik dan hospital kerajaan menerusi program Projek Saringan Awal Paru-Paru (SAPU).
Inisiatif itu menyaksikan IKN menjadi institusi kerajaan pertama negara ini yang menerapkan penggunaan teknologi hebat berkenaan.
Sebelum itu, pada dua tahun lalu, AstraZeneca melalui program AstraZeneca Lung Ambition Alliance telah menjalin kerjasama dengan klinik swasta (peringkat primer) dan tiga lagi hospital swasta (peringkat tertier).
Sejak agenda itu dimulakan pada tahun 2021, hampir 19,000 pesakit disaring untuk kanser paru-paru dan lebih 400 pesakit berisiko tinggi dirujuk ke hospital terpilih untuk pemeriksaan lanjut.
Di Malaysia, kanser paru-paru merupakan antara penyakit yang paling kerap dideritai dengan nisbah 19:1 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.
Lebih membimbangkan, 80 peratus diagnosis menyaksikan pesakit sudah berada pada tahap empat iaitu apabila kanser merebak ke bahagian badan lain.
Situasi itu sekali gus membuktikan kepentingan saringan awal untuk mempercepatkan diagnosis dan rawatan kepada pesakit.
Menurut Presiden AstraZeneca Malaysia, Vinod Narayanan, pihaknya menyifatkan usahasama dengan IKN amat signifikan bagi membolehkan mereka menyediakan pengalaman baharu untuk pengamal kesihatan menerusi teknologi termaju AI yang melangkaui sekadar pengesanan kanser paru-paru.
"Pendekatan ini diharapkan mampu memberi jangkaan dan hasil lebih baik kepada pesakit. Mereka juga mendapat manfaat daripada teknologi saringan awal tercanggih pada kos lebih rendah dan berpatutan," katanya.
BACA JUGA: Derita kanser limfoma tahap 4, ibu tunggal anak 5 dari Kedah risau kalau-kalau terpaksa ‘pergi dulu’
Sementara itu, Pengarah IKN, Dr Mohd Anis Haron@Harun berkata, pihaknya sentiasa ingin memberi penekanan kepada penjagaan kesihatan paru-paru yang lebih meluas kepada orang awam meliputi pengesanan dan rawatan penyakit awal.
Saringan awal juga mampu menaikkan peratusan kelangsungan hidup pesakit, selain meringankan kos rawatan kanser yang tinggi.
“Justeru, kerjasama kami dengan AstraZeneca adalah langkah tepat mengurangkan bebanan penyakit tidak berjangkit di negara ini. IKN mengakui kepentingan menerapkan teknologi AI ke dalam penjagaan kesihatan, sekali gus mentransformasikan masa depan diagnosis kesihatan negara,” katanya.
Selain saringan kanser paru-paru, projek SAPU turut memanfaatkan teknologi AI dalam menilai imbasan X-ray, membantu pengamal kesihatan mengesan lebih 30 penyakit berkaitan paru-paru atau patologi seperti Covid-19, batuk kering dan fibrosis paru-paru.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang