PADA awalnya pesakit hanya disangkakan menghidap tibi, namun sebaliknya terjadi.

Perkara dialaminya rupanya lebih teruk daripada penyakit itu.

Suaminya akhirnya mengakui apa yang berlaku pada isterinya itu angkara perbuatannya sendiri.

Ini kisah yang dikongsi Pakar Perunding Perubatan & Paru-paru, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa:

Pagi itu, seorang wanita di awal 40-an di unit kecemasan dirujuk kepada saya kerana x-ray dadanya yang sangat teruk.

Beliau telah batuk selama dua bulan dan telah pun mengambil ubat tibi selama dua bulan, kerana kahaknya adalah positif untuk kuman tibi.

Namun begitu, kondisi kesihatannya semakin merosot dari hari ke hari sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi dan memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Pelbagai antibiotik telah diberikan kepadanya, namun begitu tiada sebarang kesan positif yang terlihat.

Ujian bronkoskopi segera dilakukan untuk mengambil sampel tisu dari paru-paru nya yang tidak normal.

Keputusan daripada sampel tisu paru-parunya itu menunjukkan bahawa ada sel kanser paru-paru yang telah merebak ke kedua-dua belah paru-parunya.

“Oleh itu, beliau kini disahkan menghidap kanser paru-paru tahap akhir,” kata Dr Nurul Yaqeen.

Sebenarnya, diagnosis tibi sebelum ini memang betul, cuma masalahnya, kanser itu pun ada juga iaitu pesakit mempunyai dua penyakit dalam satu masa, iaitu penyakit tibi dan kanser paru-paru tahap akhir. Ini adalah suatu situasi yang rumit dan sukar dirawat.

Iklan

Tambahan pula, keadaannya yang sangat tenat dan memerlukan bantuan mesin pernafasan, dan masalah tibi yang dihadapi, tidak memungkinkan untuk pesakit menjalani rawatan kemoterapi.

“Sudah dua minggu dirinya memerlukan bantuan mesin pernafasan dengan keperluan oksigen yang sangat tinggi. Keadaannya semakin tenat dari hari ke hari. Tekanan darahnya juga semakin rendah hingga memerlukan bantuan tiga jenis ubat untuk menyokong fungsi jantung.

“Kini, buah pinggang pesakit itu juga sudah menunjukkan tanda-tanda kegagalan fungsinya setelah sudah memberikan rawatan yang maksimum sepanjang dua minggu ini”, jelasnya.
Kongsi Dr Nurul Yaqeen, dirinya hanya mampu menenangkan keluarga pesakit itu.

“Dengan keadaan kanser paru-paru tahap akhir, paru-paru yang sudah rosak teruk dan tidak dapat disembuhkan lagi, jantung yang semakin lemah dan fungsi buah pinggang yang semakin merosot, mungkin sudah sampai masanya untuk merelakan pemergiannya dengan aman dan tidak memanjangkan lagi penderitaannya.

Iklan

Dalam masa yang sama, tiba-tiba sahaja suami pesakit berkata: “Saya berjanji akan berhenti merokok buat selama-lamanya. Saya betul menyesal.

“Kanser paru-paru dan tibi boleh mempunyai simptom dan gambaran x-ray atau scan yang lebih kurang sama.

“Ia juga boleh wujud secara bersama-sama dan kepakaran paru-paru amat diperlukan untuk memastikan kesahihan diagnosis kedua-duanya sekali,” ujar Dr Nurul Yaqeen.

Jadi, sudah tahu pokok pangkalnya? Tepuk dada, tanyalah selera.