SELAIN kuih-muih, bubur antara menu yang seringkali dihidangkan sebagai juadah minum petang.

Terdapat pelbagai aneka bubur yang boleh dimasak. Jika tekak sudah muak dengan bubur ayam atau bubur kacang hijau, apa kata cuba pula menikmati bubur pulut hitam atau bubur jagung. Namun, sekiranya anda memiliki kerajinan yang lebih, boleh ‘berperang‘ di dapur dengan memasak bubur lambuk.

Pada segmen Resipi Orang Kita kali ini, penulis ingin mengetengahkan satu lagi jenis bubur yang jarang didengari, tetapi rasanya sangat enak.

Hidangan tersebut ialah bubur anak lebah dan dikatakan sangat terkenal dalam kalangan masyarakat keturunan Rawa yang tinggal di Kuala Kangsar dan Perak Tengah, Perak.

SinarPlus bernasib baik kerana berjaya menemui seorang pembikin manisan tersebut, Aznirozima Khasri yang tidak lokek untuk bercerita lanjut tentang sajian yang memiliki nama yang cukup unik itu.

Aznirozima.

Ujar Aznirozima, menu tersebut dipanggil sedemikian rupa kerana adunan tepung perlu disagat di atas alatan khas yang akhirnya mengeluarkan bentuk seakan-akan anak lebah.

Bercerita lanjut, kata beliau, pada zaman dulu, bubur anak lebah adalah menu wajib yang akan disajikan ketika majlis lepas berpantang, majlis berendoi dan cukur jambul.

Iklan

“Namun, sayangnya disebabkan tidak ramai yang berkebolehan untuk membuatnya, makanan itu jarang sekali dapat dijamu. Untuk memasaknya pula, ia memerlukan kudrat dan kemahiran mengadun, menguli dan menyagat adunan,“ ujar suri rumah itu.

Beritahu Aznirozima lagi, ketika memasak bubur anak lebah, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya penggunaan santan segar yang pekat.

“Kalau boleh, sebaik-baiknya elak menggunakan santan jenis kotak kerana ia akan mengubah rasa asli menu itu,“ tambah beliau.

Selain itu, bubur anak lebah juga perlu dimasak dengan kawalan api yang sederhana dalam tempoh masa 45 minit.

Iklan

“Meskipun ia memakan sedikit masa, sebenarnya lagi lama bubur dimasak, ia mampu bertahan berhari-hari jika disimpan di dalam peti sejuk.

“Paling penting, jangan gunakan pewarna hijau, sebaliknya guna sumber asli seperti jus daun pandan. Bila guna bahan semula jadi, bubur anak lebah akan lebih beraroma dan sangat harum,“ ujarnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!