BAGI setiap wanita, pada setiap bulan, terdapat enam atau tujuh hari ‘fasa berehat’ yang merujuk kepada fasa kedatangan haid.

Pun demikian, tidak semua wanita suka menempuh durasi berkenaan kerana ia hanya mendatangkan kesakitan iaitu masalah senggugut yang keterlaluan.

Segelintir wanita trauma berdepan dengan detik itu. Masakan tidak, ada di antara mereka yang jatuh pengsan dan berguling-guling atas katil angkara senggugut.

Mengulas mengenainya, SinarPlus mendapatkan Pakar Obsterik dan Ginekologi, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, Dr Aznizasuriati Burhan.

Dr Aznizasuriati.

Kata Dr Aznizasuriati, senggugut atau dysmenorrhea perlu diberi perhatian kerana ia boleh mendatangkan masalah besar kepada wanita.

Jelas beliau, senggugut merupakan rasa sakit dan ketidakselesaan yang dialami wanita sebelum dan semasa haid.

“Selalunya ia dialami sehari atau dua sebelum haid dan boleh berterusan hingga hari pertama atau kedua haid. Kesakitan terasa seperti sesuatu yang mencengkam dan selalunya dirasai di bahagian bawah perut, pelvis dan merebak ke kawasan paha dan belakang atau kaki.

“Hampir 60 ke 80 peratus wanita mengalami keadaan ini dan ia boleh menjadi sesuatu yang normal sekiranya tidak melampau,” ujar Dr Aznizasuriati ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Endometriosis

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Aznizasuriati berkata, kesakitan yang dialami dikategorikan sebagai sakit biasa, pertengahan dan sakit teruk.

“Senggugut yang teruk boleh mengganggu aktiviti seharian wanita tersebut sehingga perlu mengambil cuti rehat atau tidak hadir ke sekolah. Kajian menunjukkan ia terjadi dalam 20 peratus populasi remaja atau wanita,” katanya lagi.

Senggugut secara asasnya, diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu senggugut primer (primary dysmenorrhea) dan senggugut sekunder (secondary dysmenorrhea).

“Senggugut primer selalunya dialami oleh 80 peratus remaja perempuan dalam tempoh awal selepas mencapai akil baligh.

“Senggugut ini selalunya tidak menunjukkan terdapat masalah kesihatan yang serius dan ia selalunya boleh dikawal dengan pengambilan ubat tahan sakit dan rehat yang mencukupi, tetapi pengambilan hormon perancang mungkin perlu dalam kes-kes tertentu,” beritahunya.

Pun demikian, senggugut sekunder pula menunjukkan terdapatnya patologi dalam peranakan wanita dan hal itu memerlukan seseorang itu menjalani pemeriksaan lanjut dengan doktor.

Berikut antara penyebab senggugut sekunder:

i) Endometriosis.

ii) Ketumbuhan pada ovari (cyst atau tumor) dan rahim (fibroid).

iii) Jangkitan kuman pada saluran peranakan.

iv) Penggunaan alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUCD).

Selain itu, tutur Dr Aznizasuriati masalah kecacatan kongenital pada saluran peranakan yang mengganggu pengaliran darah haid juga boleh menyebabkan senggugut seperti Rahim subsepta.

Kepada SinarPlus, Dr Aznizasuriati berkata, antara rawatan ringan dan perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan rasa sakit senggugut adalah dengan mengambil ubat tahan sakit.

“Sebaiknya ubat itu diambil sewaktu sakit mula-mula dirasai dan tidak menunggu sehingga sakit yang teruk,” pesan Dr Aznizasuriati.

Pada masa sama, pakar itu menyarankan agar seseorang wanita yang mengalami masalah berkenaan mendapatkan rehat yang mencukupi, selain meletakkan botol air panas pada bahagian bawah perut dan belakang.

“Bukan itu sahaja, mereka juga diingatkan agar tidak mengambil minuman berkafein dan melakukan senaman regangan ringan bagi mengurangkan kesakitan yang dialami,” ujarnya.

Namun demikian, usul Dr Aznizasuriati, sekiranya individu tersebut masih mengalami senggugut yang teruk, ubat tahan sakit antiinflamasi (NSAIDs) dan pil hormon perancang mungkin diperlukan untuk mengawal dan mengatasi masalah tersebut.

“Pengamalan yoga, akupuntur dan berurut juga dikatakan dapat membantu mengurangkan simtom senggugut meskipun tiada bukti kajian yang kukuh untuk perkara demikian,” beritahu beliau.

Sukar hamil

Sementara itu, Doktor Kesihatan Wanita dan Kehamilan, MedTweetMY, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak turut melontarkan pandangannya.

Dr Muhammad Izzat.

Katanya, masalah senggugut perlu dilihat dari pelbagai sudut kerana ada yang normal dan ada yang sebaliknya.

Pun demikian, kata Dr Muhammad Izzat, terdapat beberapa situasi yang memerlukan wanita diwajibkan melakukan pemeriksaan doktor. Antaranya:

i) Senggugut itu bermula sebelum tempoh kedatangan haid dan berlarutan sehingga tamat kitaran haid sehingga menjejaskan aktiviti harian seseorang wanita.

Iklan

ii) Senggugut yang disertai dengan darah haid yang banyak sehingga memerlukan banyak tuala wanita dalam sehari ataupun memerlukan wanita tersebut memakai lampin pakai buang dewasa.

iii) Remaja yang belum mencapai akil baligh tetapi mengalami sakit pada bahagian abdomen hampir setiap bulan (cyclical pain).

iv) Senggugut yang mempunyai kaitan dengan hubungan kelamin dan berkait dengan masalah ketika membuang air besar.

v) Keluarga sama ada ibu atau kakak yang mempunyai masalah senggugut teruk sehingga menjejaskan aktiviti harian mereka.

Menjawab satu soalan lain, Dr Muhammad Izzat berkata, ada satu keadaan yang dinamakan endometriosis yang mana ia terjadi apabila tisu atau sel pada rahim terdapat pada luar rahim seseorang wanita itu.

“Sebenarnya, bilangan wanita yang mempunyai masalah endometriosis ini sukar untuk dipastikan kerana ada wanita yang mengalami masalah itu tetapi gejalanya ringan dan tidak menimbulkan apa-apa masalah,” jelasnya.

Pada masa sama, penyiasatan untuk menentukan seseorang wanita itu mempunyai masalah tersebut atau sebaliknya hanya perlu dilakukan jika terdapatnya simptom-simptom seperti:

i) Sakit semasa datang haid iaitu (dysmenorrhea) yang dialami biasanya bermula beberapa hari sebelum fasa haid tiba dan berpanjangan sehingga hari terakhir kitaran haid normal bagi seseorang wanita.

ii) Sakit semasa melakukan hubungan kelamin iaitu digambarkan kesakitannya jauh ke dalam (deep dyspareunia) dan ada pesakit yang masih mengalaminya selepas beberapa jam melakukan hubungan bersama pasangan.

iii) Sakit pada bahagian bawah abdomen dan pelvis iaitu kesakitan yang dialami secara berterusan meskipun tidak berada dalam fasa haid dan ia akan lebih teruk apabila tempoh datang bulan menjelma.

Iklan

iv) Wanita yang sukar hamil kerana endometriosis (tiub fallopio tersumbat dan mengganggu pergerakan telur wanita).

Ujar Dr Muhammad Izzat, sebenarnya masalah senggugut akan memberi kesan kepada perkembangan keluarga, sosial dan ekonomi seseorang wanita itu.

“Buktinya, ada pesakit yang saya jumpa mengalami masalah senggugut teruk sehingga menyukarkan beliau untuk bekerja. Lebih parah, beliau turut diberhentikan kerja angkara terlalu kerap mengambil sijil cuti sakit dan tidak boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pekerjaan beliau,” kongsinya.

Bukan itu sahaja, ujar beliau, terdapat pasangan yang bercerai-berai kerana isteri sukar mengandung.

“Masing-masing hanya mengambil jalan mudah dengan menamatkan perkahwinan tersebut sedangkan mereka tidak berjumpa dengan doktor bagi mengenal pasti masalah sebenar,” keluhnya

Justeru, pesan Dr Muhammad Izzat, jika senggugut yang dialami sangat teruk, segeralah dapatkan pemeriksaan bagi mengenal pasti puncanya.

“Ada sahaja wanita yang sudah mempunyai pengalaman bersalin pun tetap diserang masalah senggugut dan masih perlu pemeriksaan doktor. Ingat, jangan percaya cakap orang lain, sebaliknya kenal pasti masalah tersebut dan cuba merawatnya dengan sehabis baik,” katanya lagi.

ANEKDOT

AMALAN yang boleh dipraktikkan bagi wanita menentukan corak haid normal dan mengurangkan kesakitan akibat senggugut:

  1. Pemakanan yang seimbang dan sihat beserta senaman yang dilakukan secara konsisten dapat menstabilkan hormon badan.
  2. Memilih makanan yang tinggi serat seperti sayur-sayuran (brokoli, sayuran hijau), buah-buahan dan kekacang.
  3. Memakan makanan yang kaya kandungan asid lemak omega-3 seperti ikan.
  4. Memilih makanan yang mempunyai kandungan zat besi yang tinggi untuk pembentukan darah merah seperti daging dan ayam.
  5. Minum air secukupnya iaitu dua liter air dalam sehari.
  6. Mengambil suplemen multivitamin dapat menstabilkan kitaran haid seperti vitamin B6, B1, vitamin E, vitamin D, kalsium dan zink.

Sumber: Pakar Obsterik dan Ginekologi, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, Dr Aznizasuriati Burhan