SUATU hakikat yang perlu diakui pada hari ini ialah wabak Covid-19 telah mengubah kehidupan semua orang.

Perubahan itu melibatkan  aspek kesihatan, rutin kerja, dinamika keluarga pada fasa pergerakan terhad sehinggalah kepada isu yang lebih global seperti ekonomi dan makanan.

Sudah tentu, apa jua perubahan dalam kehidupan akan memberi kesan kepada psikologi manusia.

Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata, setiap individu menanggapi wabak Covid-19 dengan cara yang berbeza-beza, bergantung kepada sejauh mana wabak akibat virus zoonotik itu menjejaskan kehidupan mereka.

DR Rozanizam Zakaria.

“Sama ada mereka terlibat sebagai pesakit ataupun terkena tempias tidak langsung penyakit berkenaan, sebahagiannya pasti terkesan secara emosi. Antaranya mengalami perasaan gelisah dan cemas, tertekan, murung dan mudah panik.

“Ada juga yang terkesan dari segi tingkah laku. Tidur dan selera makan terganggu, mudah letih, hilang semangat untuk bekerja, gangguan perhubungan sosial dan juga kemampuan untuk fokus di tempat kerja.

“Semua perubahan emosi, fikiran dan tingkah laku itu adalah normal apabila berhadapan suasana yang menekan,“ kata Dr Rozanizam yang juga Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).

Menurut beliau, perubahan persekitaran pada fasa tersebut akan diterjemah oleh otak sebagai ancaman psikologi, lantas mencetuskan perubahan fisiologi yang dipanggil tindak balas ‘fight and flight‘.

Perubahan yang dipandu oleh hormon adrenalin itu adalah bagi memastikan diri mampu mengadaptasi perubahan semasa.

Akan tetapi, sekiranya keadaan itu berlarutan, ia boleh mengganggu kestabilan kesihatan mental. Masalah lebih serius seperti penyakit mental yang memerlukan rawatan klinikal juga boleh tercetus.

Perkara asas yang perlu dipenuhi ketika tempoh pergerakan terhad akibat wabak:

1. Pastikan rutin terjaga

Pertama sekali, semua orang perlu memastikan rutin seharian yang sihat terjaga walaupun dalam persekitaran yang terhad, kata Dr Rozanizam.

Hal itu termasuk tidur yang mencukupi, makanan yang seimbang, rehat yang berpatutan dan riadah yang sesuai.

Biarpun nampak remeh, namun gangguan rutin atau pengabaian terhadap aspek berkenaan akan menyebabkan seseorang lebih mudah tertekan.

“Sebagai contoh, jika kita mengubah rutin tidur disebabkan jadual kerja yang berubah, ia boleh mengganggu ritma sirkadian dalam otak sekali gus mampu mengakibatkan gangguan emosi,“ katanya.

2. Teknik relaksasi

Antara teknik relaksasi yang mudah dan praktikal untuk diamalkan ialah teknik bernafas, regangan otot, menulis, melukis, bermeditasi dan pelbagai lagi kaedah yang boleh dipelajari dari pelbagai sumber dalam talian.

“Teknik relaksasi penting bagi meredakan tekanan. Cuba lakukan aktiviti ini bersama keluarga. Pelbagai kaedah relaksasi yang sesuai untuk kanak-kanak juga boleh diajarkan kepada mereka,“ kongsi Dr Rozanizam lagi.

Iklan

Pastikan juga perhubungan dengan orang tersayang dikekalkan.Elakkan daripada menyendiri dan menyembunyikan keresahan dengan cara mencari teman untuk berkongsi dan berbual meskipun melalui medium maya.

3. Jauhi berita tidak benar

Seterusnya, jangan terlibat dengan berita-berita atau maklumat palsu, negatif dan tidak sihat.

“Hadkan masa yang dihabiskan untuk membaca atau leka melayan  media sosial yang boleh menjejaskan emosi. Sebaliknya, gantikan dengan saluran-saluran berita dan maklumat yang lebih tepat dan positif,“ cadang Dr Rozanizam.

Menurutnya, fikiran juga harus sentiasa dikawal daripada anasir negatif, berat sebelah dan tidak membina. Perkara itu sering terjadi apabila seseorang berada dalam keadaan cemas dan tertekan.

Iklan

Pastikan setiap kali dihantui  perasaan negatif, kenal pasti puncanya dan cubalah cari perspektif yang baharu.

4. Cari peluang bantu orang lain

Akhir sekali, carilah peluang  untuk memberi manfaat kepada orang lain.

“Tindakan proaktif seperti menderma, membantu aktivis sosial dari rumah, bertanya khabar pada jiran sebelah dan mengajar anak mengaji adalah antara cara untuk menggantikan kekusutan emosi dengan tingkah laku yang lebih positif,“ terang Dr Rozanizam.

Kekuatan spriritual seperti sifat sabar, reda dan bersyukur juga sangat penting kerana ia akan membantu memberi kekuatan dalaman.

“Sama-sama amalkan tip-tip yang dikongsikan ini demi memastikan kesejahteraan mental kita bersama,“ ujar Dr Rozanizam.