SEJAK dua minggu lalu, seorang budak perempuan yang berusia 5 tahun mengalami rasa sakit sendi akibat terjatuh. Namun, beliau masih kelihatan sihat dan ibu bapanya pula memikirkan tiada apa yang serius.

Beberapa hari selepas kejadian itu, sakit sendi kanak-kanak itu semakin menjadi-jadi. Ia bermula dari lutut kanan hingga ke buku lali kiri dan kemudian menjalar dari ibu jari ke kaki kanan pula.

Tidak tahu bagaimana untuk meluahkan, anak kecil itu kelihatan meragam, enggan makan dan demam. Ubat penahan sakit yang diberi tidak memberi kesan.

Apa sebenarnya yang terjadi budak perempuan itu? Bagi mendapatkan penjelasan, SinarPlus kemukakan permasalahan itu kepada Pakar Reumatologi Pediatrik, Dr Koay Beng Siang.

DR Koay Beng Siang.

Dr Beng Siang berkata, daripada pemerhatiannya, kanak-kanak itu menghidap sejenis penyakit dikenali sebagai artritis kanak-kanak yang merupakan istilah yang menggambarkan rasa sakit dan radang pada sendi golongan itu.

Dalam istilah perubatan, penyakit tersebut lazimnya disebut sebagai Artritis Idiopatik Juvenil (JIA) . JIA katanya, merupakan sekumpulan penyakit yang merangkumi pelbagai jenis artritis yang tidak diketahui puncanya.

“Lazimnya, penyakit ini dihidapi oleh kanak-kanak yang berusia 16 tahun ke bawah. Diagnosis amat bergantung kepada tempoh artritis itu. JIA (dikesan)  jika artritis berlarutan melebihi enam minggu dan diagnosis sepenuhnya boleh dibuat dengan pasti selepas enam bulan.

“Hal ini kerana tanda-tanda klinikal yang berkait dengan rasa sakit sendi mungkin berubah selepas beberapa lama dan akhirnya boleh digolongkan ke dalam salah satu daripada tujuh subjenis JIA,” katanya sambil memberitahu, diagnosis tidak boleh dibuat berdasarkan ujian darah yang ringkas atau imbasan seperti yang diharapkan.

Bengkak

Menurut Dr Beng Siang, salah satu simptom artritis yang paling tipikal adalah bengkak pada sendi yang tidak hilang-hilang dan tidak dapat dijelaskan.

Namun begitu, katanya, kebanyakan ibu bapa sukar untuk mengenal pasti bengkak pada sendi melainkan apabila keadaannya telah teruk.

“Saiz bengkak tidak selalunya berkait dengan tahap kesakitan iaitu bengkak yang besar tidak semestinya menyebabkan rasa sakit yang kuat kerana kanak-kanak biasanya hanya akan berasa sengal-sengal sedikit selepas bangun daripada tidur atau selepas berehat sebentar. Ada yang menggambarkan rasa sakit itu sebagai kekakuan seolah-olah sendinya ‘tertidur’,” katanya.

Ujar pakar perubatan itu lagi, sesetengah subjenis JIA mungkin diiringi dengan tanda-tanda lain seperti mata yang kemerahan (uveitis), kuku yang berlekuk-lekuk, ulser di dalam perut (enteritis) dan ruam pada kulit (psoriasis).

Mengulas mengenai uveitis, Dr Beng Siang berkata, ia merupakan satu komplikasi dikaitkan dengan JIA yang dikenali sebagai radang uvea iaitu lapisan tengah mata.

“Ia boleh berlaku walaupun sebelum artritis bermula dan boleh muncul sebagai mata yang kemerahan serta tidak menyakitkan pada mulanya, tetapi boleh membutakan mata jika tidak dirawat,” jelas Dr Beng Siang.

Lebih membimbangkan, JIA akan menyebabkan tumbesaran kanak-kanak menjadi tidak normal kerana sendi yang terganggu boleh menyebabkan tumbesaran tulang yang abnormal.

“Keadaan itu akan menyebabkan tulang menjadi tidak sama panjang dan kadangkala jika berlaku keradangan yang teruk, tulang mungkin terbantut,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, JIA turut akan menyebabkan kemusnahan dan ketidakupayaan sendi.

“Radang yang tidak terkawal pada ruang sendi boleh melarat kepada kecacatan bentuk tulang, kontraktur dan akhirnya julat pergerakan yang terhad. Ia disebabkan oleh hakisan permukaan sendi yang menyebabkan penyusutan rawan, penyempitan ruang sendi dan akhirnya berlaku pencantuman sendi. Sendi yang paling mudah terjejas ialah pada pergelangan tangan, jari, rahang dan leher,” jelasnya.

Kadar penyembuhan

Adakah pesakit JIA ada peluang untuk sembuh? Beritahu Dr Beng Siang, JIA tidak dapat disembuhkan secara kekal tetapi terdapat cara-cara mengawal perkembangan penyakit itu.

Antara rawatannya menggunakan ubat antiradang bukan steroid seperti Ibuprofen, Naproxen atau Indomethacin yang mampu mengurangkan radang sendi dan melegakan rasa sakit.

“Ubat jenis glukokortikoid seperti prednisolone tetap menjadi salah satu pilihan rawatan yang paling berkesan kerana dapat melegakan rasa sakit dengan cepat tetapi mempunyai beberapa kesan sampingan untuk tempoh yang panjang atau pada dos yang tinggi seperti tumbesaran jadi terbantut, patah tulang, osteoporosis, katarak dan lain-lain,” katanya.

Ujar beliau lagi, ubat antireumatoid yang ‘mengubahsuai’ penyakit juga boleh digunakan bagi penyakit yang berpanjangan atau jika terdapat pergantungan pada steroid.

Methotrexate pula merupakan ubat yang digunakan dengan paling meluas, namun ubat tersebut boleh menyebabkan rasa loya, rasa kurang selesa pada perut, rasa lesu atau ketoksikan hati.

Iklan

“Pengenalan ubat biologik pada awal tahun 2000 telah merevolusi rawatan dengan penggunaan steroid yang minima. Keberkesanannya amat baik, bertindak dengan cepat dan kurang kesan sampingan termasuklah Faktor Nekrosis Antitumor dan perencat Interleukin 6,” katanya.

Selain ubat, rawatan sampingan paling penting adalah pemulihan dan fisioterapi yang baik dan efektif bagi menguatkan otot dan meluaskan julat pergerakan sendi.

Sementara itu, Pakar Perunding Pediatrik dan Reumatologi, Hospital Selayang, Dr Tang Swee Ping berkata, JIA tidak sama dengan penyakit radang sendi dalam kalangan orang dewasa.

DR Tang Swee Ping.

“Nama JIA dikhaskan untuk pesakit yang mana penyakit tersebut bermula semasa pesakit berumur 16 tahun dan ke bawah. Sebagai contoh, sekiranya seorang itu mula mempunyai masalah radang sendi pada umur 10 tahun, pesakit itu masih dikatakan menghidapi JIA walaupun umurnya kini sudah menjangkau 20 tahun,” beritahunya.

Jelas Dr Swee Ping lagi, JIA juga adalah satu penyakit autoimun yang mana badan menghasilkan antibodi dan sel-sel darah putih yang menyerang sendi sendiri dan menyebabkan inflamasi pada bahagian (sendi) tersebut.

JIA ungkapnya, dikelaskan kepada beberapa subjenis mengikut jumlah sendi yang terlibat, jenis sendi atau sama ada terdapat ciri-ciri yang lain seperti ruam pada kulit (contohnya penyakit psoriasis dan ciri sistemik seperti demam, bengkak pada hati, limpa dan kelenjar limpa)

“Penyakit sistemik JIA adalah yang paling umum di Malaysia dan kanak-kanak  biasanya akan mengalami demam tinggi yang berpanjangan (biasanya satu atau dua kali deman dalam sehari dan sakit sendi). Selain mengalami ruam merah, mungkin terdapat bengkak pada hati, limpa dan kelenjar limpa,” katanya.

Jenis poliartritis juga kerap terdapat dalam kalangan pesakit di Malaysia dan jenis itu biasanya melibatkan lebih daripada lima sendi.

Iklan

Di Malaysia, tiada peratusan kanak-kanak yang menghidapi JIA yang boleh dikongsikan namun, statistik dari negara Barat memberi anggaran sebanyak 1 dalam setiap 1000 kanak-kanak.

“Kejadian itu berbeza mengikut negara-negara yang berlainan dan menunjukkan kesan genetik. Simptom awal JIA adalah sakit sendi yang biasanya lebih serius pada waktu pagi dan akan disusuli dengan pembengkakan pada sendi dan juga kekerasan pada sendi,” ungkap Dr Swee Ping yang mengulangi ulasan Dr Beng Siang.

Katanya lagi, anak kecil mungkin tidak boleh menyuarakan kesakitan tetapi mungkin mengalami kemunduran dalam tahap perkembangan seperti tidak menggunakan sebelah tangan atau kaki yang terlibat.

“Namun begitu, bukan semua pesakit JIA mengalami kesakitan dan sesetengah pesakit akan mengalami bengkak sendi sahaja serta kadangkala tempang ketika berjalan. Sebilangan kanak-kanak pula mungkin mengalami kesusahan untuk menulis ataupun lambat menulis,” katanya.

ANEKDOT

Berikut beberapa panduan mudah buat ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang menghidap Artritis Idiopatik Juvenil:

  1. Pastikan mereka sentiasa memakan ubat pada jadual yang ditetapkan.
  2. Pastikan juga mereka sentiasa aktif dan cergas.
  3. Bantu mereka melakukan aktiviti harian sekiranya memerlukan bantuan
  4. Pastikan mereka melakukan senaman untuk menguatkan otot.
  5. Pastikan mereka sentiasa menghadiri sekolah.
  6. Benarkan mereka hidup secara normal sebanyak yang boleh.

Sumber: Pakar Perunding Pediatrik dan Reumatologi, Hospital Selayang, Dr Tang Swee Ping.