Jangan biar bayi, kanak-kanak ketika diserang sawan. Rawatlah segera!

A
A
A

DUA tahun lalu, pelakon dan pengacara terkenal, Yana Samsudin berkongsi detik cemas apabila anaknya, Aisy Mateen Fadzil yang berusia tiga tahun hampir terkena sawan akibat demam yang terlalu panas.

Beritahu Yana, ketika kejadian beliau dan suaminya tiada di rumah. Si kecil itu dijaga oleh ibu selebriti berkenaan.

"Ibu saya menghubungi saya lebih kurang 3.30 pagi memaklumkan badan Mateen keras. Saya terus minta Mateen dibawa ke klinik 24 jam, sementara kami bergegas pula dari Johor Bahru. Nasib baik Klinik Kesihatan Yong Peng dekat. Kami sampai sana jam 5 pagi dan Mateen sudah diberikan ubat," katanya menerusi Instagramnya.

Ujar Yana, insiden Mateen yang hampir terkena sawan telah membuatkan dirinya lebih berhati-hati.

Kata pelakon pelakon filem Adnan Sempit itu: "Saya ingin nasihatkan pada semua, tak kiralah sudah ada anak, bercucu ataupun tak kahwin lagi, anda yang mahu berjalan jauh atau nak tinggalkan anak dengan penjaga, bawa ubat dan tolonglah bagi ubat ikut masa."

Itu antara salah satu kisah mendebarkan tentang masalah demam sawan. Ia menjadi lebih menakutkan sekiranya berlaku kepada bayi atau kanak-kanak.

Bagi menghuraikan secara lanjut mengenainya, SinarPlus mewawancara Pegawai Perubatan, Hospital Putrajaya, Dr Hanis Amanina Abdul Mutai.

Dr Hanis Amanina.

Ujar Dr Hanis Amanina, demam sawan merupakan sawan yang berlaku disertai demam dengan suhu badan melebihi 38 darjah Celsius. Kanak-kanak berumur di antara enam bulan hingga enam tahun terdedah kepada situasi itu. Ia lazimnya berlaku pada hari pertama atau kedua ketika si kecil berada pada fasa demam, terangnya.

Menurut thediagnosa.com, terdapat dua jenis demam sawan yang boleh tercetus kepada kanak-kanak. Berikut perinciannya:

i) Demam sawan ringkas.

  • Ia berlaku lebih kurang 15 minit dan berlaku secara keseluruhan badan.
  • Berlaku hanya satu episod sawan ketika si kecil demam. ii) Demam sawan kompleks.
  • Berlaku lebih daripada 15 minit.
  • Ia terjadi secara tertumpu (pada satu-satu bahagian badan sahaja).
  • Lebih daripada satu episod sawan ketika demam.

Demam sawan pula dapat dilihat dengan jelas apabila kanak-kanak itu demam panas, kemudian diikuti dengan beberapa gejala seperti:

i) Kekejangan otot atau tersentak-sentak (berlaku pada kedua-dua belah kaki atau tangan dan melibatkan kedua-dua belah kaki dan tangan).

ii) Mata terbeliak ke atas.

iii) Mulut berbuih atau air liur meleleh.

iv) Terkencing atau terberak.

v) Tidak sedarkan diri atau tidak memberi respons apabila dipanggil. Dr Hanis Amanina berkata, mengikut kelaziman, sawan akan berhenti sendiri selepas satu hingga tiga minit.

"Sawan pada kanak-kanak sangat jarang lebih daripada lima minit. Namun, jika ia menyerang lebih dari tempoh itu, segera bawa anak kecil bagi melakukan pemeriksaan di hospital atau klinik berdekatan," katanya sambil memberi pesanan agar pakaian anak dilonggarkan ketika demam dan diminta minum air kosong.

Tahap kecerdasan

Sementara itu, Pakar Pediatrik yang juga pensyarah perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Siti Sarah Aishah Suhaidi berkata, 2 hingga 7 peratus kanak-kanak boleh mengalami demam sawan.

Dr Siti Sarah.

Berdasarkan rekod, lebih satu dalam 25 orang golongan itu akan mengalaminya sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

Ujar beliau lagi, sebahagian kanak-kanak iaitu lebih kurang 30 peratus akan mengalami sawan demam yang berulang-ulang terutamanya mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti berikut:

i) Usia muda (kurang daripada 15 bulan) semasa serangan sawan yang pertama.

ii) Sawan terjadi sejurus selepas demam bermula atau bila suhu badan normal.

iii) Sejarah sawan demam dalam kalangan ahli keluarga terdekat (ibu bapa dan adik beradik).

iv) Sejarah penyakit epilepsi dalam kalangan ahli keluarga terdekat. Epilepsi adalah gangguan otak apabila sel-sel saraf (dalam otak) kadangkala mengeluarkan isyarat yang luar biasa. Ia turut dikenali sebagai sawan babi.

v) Sawan demam yang berlarutan (melebihi 30 minit) yang tidak meningkatkan risiko sawan demam berulang.

Dr Siti Sarah menjelaskan, demam sawan jarang membuatkan seseorang menemui ajal. Ini kerana situasi itu berlaku sekali sahaja dan tidak membahayakan nyawa. "Namun, rawatan kecemasan diperlukan jika kanak-kanak tersebut mengalami kekejangan yang serius," ujarnya.

Majoriti besar demam sawan juga kata beliau, tidak membahayakan dan tiada bukti kukuh yang mengesahkan masalah tersebut boleh menyebabkan kerosakan otak.

“Kajian perubatan mendapati kanak-kanak yang berdepan dengan situasi tersebut memperoleh pencapaian yang normal di sekolah dan mempunyai tahap kecerdasan yang sama seperti individu atau adik beradik lain yang tidak mengalami masalah tersebut.

“Selain itu, dalam kes-kes yang jarang berlaku, sawan yang berlarutan sangat lama iaitu melebihi satu jam, kanak-kanak itu juga didapati boleh pulih sepenuhnya,” ujarnya.

Rawatan dan kajian Bagaimana deman sawan diubati?

Menjawab pertanyaan itu, satu laman web khas membincangkan tentang isu tersebut, https://www.epilepsy.com berkata, kondisi tersebut tidak dapat dicegah dengan hanya memandikan anak dengan air suam, meletakkan kain lembap yang sejuk pada kepala dan badan si manja atau menggunakan ubat demam seperti acetaminophen (tylenol) atau ibuprofen (advil, motrin).

"Benar, melakukan perkara-perkara tersebut boleh membuat anak demam berasa lebih baik, tetapi ia tidak mencegah demam sawan," kata laman web yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.

Laman web itu menambah, sebilangan besar kanak-kanak yang menderita hal itu tidak memerlukan rawatan harian dengan ubat sawan.

Bagaimanapun, si kecil yang mempunyai sejarah demam sawan yang berpanjangan dan mereka yang tinggal di kawasan yang kekurangan akses untuk mendapatkan rawatan perubatan, harus diberi 'ubat penyelamat' yang berfungsi untuk menghentikan sawa dengan cepat.

Contoh 'ubat penyelamat' adalah seperti gel diazepam (diastat) yang diberikan secara rektal, cecair midazolam yang diberikan melalui hidung atau diazapam (menerusi hidung atau secara oral).

Memberi si kecil diazepam (valium) ketika sakit atau demam, dapat mengurangkan risiko mengalami demam sawan.

Pun demikian, https://www.epilepsy.com mendedahkan, tiga daripada 10 kanak-kanak yang dirawat dengan diazepam mempunyai kesan sampingan seperti mengantuk, mudah marah dan koordinasi yang buruk yang mungkin berlangsung selama beberapa hari.

"Jika anak anda kerap mengalami demam, berbincanglah dengan doktor mengenai kaedah terbaik untuk mencegah atau merawat sawan," pesan mereka.

Dalam pada itu, National Institute of Neurological Disorders and Stroke (NINDS) yang melaksanakan penyelidikan mengenai gangguan dan keadaan otak, sistem saraf, epilepsi termasuk sawan terhadap risiko biologi, persekitaran dan genetik yang mungkin membuat kanak-kanak rentan terhadap serangan demam.

NINDS sedang berusaha untuk menentukan faktor-faktor yang dapat membantu meramal anak-anak yang cenderung mengalami demam sawan berulang atau berpanjangan.

"Saintis yang dibiayai oleh NINDS terus memantau kesan jangka panjang terhadap tahap kecerdasan, tingkah laku, pencapaian akademik dan perkembangan epilepsi mangsa.

"Sebagai contoh, mereka menilai kesan demam sawan terutamanya jenis yang berpanjangan pada struktur otak seperti hippocampus. Hippocampus merupakan kawasan otak yang berfungsi untuk ingatan dan pembelajaran.

"Di samping itu, saintis turut mencari cara-cara bagaimana ia mempengaruhi hubungan antara sel otak, selain berusaha menentukan kesan sawan terhadap perkembangan epilepsi dan ingatan," jelasnya.

Kanak-kanak yang berada dalam kategori demam sawan yang panjang adalah lebih kemungkinan untuk menghidap jenis epilepsi tertentu yang disebut sebagai Temporal Lobe Epilepsy (TLE) yang sukar dirawat. TLE dikaitkan dengan parut hippocampus dan biasanya terdapat pada golongan remaja.

Justeru, para penyelidik di NINDS sedang berusaha untuk mengenal pasti kanak-kanak yang berpotensi mendapat TLE bagi, sekali gus mencari rawatan terbaik untuk mencegah keadaan itu.

Contohnya, menggunakan Electroencephalogram untuk memeriksa aktiviti elektrik otak.

Alami kejang, mata terbeliak ke atas selepas suhu badan naik mendadak

PENGALAMAN anak kesayangannya diserang sawan demam membuatkan Muhammad Khairul Azhar fobia sehingga kini.

Masakan tidak, cahaya matanya masih seorang kanak-kanak yang berusia setahun dan masih belum mengerti apa itu kehidupan.

Cerita Muhammad Khairul Azhar, anaknya, Erza Olivia pada asalnya demam disusuli dengan selesema, batuk dan cirit-birit.

Erza Olivia.

"Erza masih aktif seperti biasa dan beliau masih kuat menyusu. Jadi, saya dan isteri tidak risau sangat dengan keadaannya.

"Namun, pada hari ketiga, badan anak sulung saya itu makin panas iaitu mencecah 37.8 darjah Celsius. Selepas dibawa ke klinik, doktor buat keputusan untuk melakukan ujian darah," kata penjawat awam itu sambil memberitahu pada ketika itu Ezra baru sahaja tumbuh gigi bahagian bawah dan tonsilnya sudah membengkak.

Selepas kembali ke rumah, Muhammad Khairul berkata, beliau dan isteri panik sebaik mendapati suhu badan si kecil itu meningkat lagi hampir mencecah 40 darjah Celcius. Justeru, mereka mengambil alternatif memasukkan ubat demam melalui punggung Erza.

Namun demikian, selepas 5 minit, Erza mula kejang dan matanya terbeliak naik ke atas. Lebih membimbangkan mereka, apabila dipanggil, kanak-kanak itu tidak memberi sebarang respons.

"Kami terus bawa anak ke hospital. Ya ALLAH, masa itu hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana kekalutan yang kami alami sehinggakan kami terlupa mengunci pintu rumah. Ajaibnya, semasa dalam perjalanan, Erza mula sedar. Beliau hanya kejang selama tiga hingga empat minit sahaja," beritahunya.

Kanak-kanak berkenaan ditahan selama lima hari di wad sebelum dibenarkan pulang.

Ujar Muhammad Khairul, seperti yang dikongsi oleh doktor, kanak-kanak yang pernah terkena sawan berpelung sebanyak 30 peratus diserang semula hingga umur mereka enam tahun.

Namun, demam sawan kurang dari 5 minit tidak akan membuatkan bayi cacat dari segi intelektual atau kognitif, katanya.

"Inilah antara peristiwa ngeri yang berlaku dalam kehidupan saya. Kepada ibu bapa di luar sana, pantaulah keadaan anak anda jika mereka demam, jangan biarkan begitu saja," pesan beliau.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca