DI MALAYSIA, penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian dalam kalangan orang dewasa, menurut Jabatan Statistik Malaysia, Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2019.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (2019) pula, kolesterol tinggi merupakan faktor risiko utama penyakit jantung dan telah menjejaskan lapan juta atau 40 peratus orang dewasa di negara ini.

Dunia yang serba pantas dan mencabar kini dikatakan menjadi sebab orang ramai terutama golongan ibu bapa berhadapan dengan masalah tersebut (kolesterol).

Mengulas lanjut mengenainya, Perunding Kardiologi, Institut Jantung Negara, Dr Beni Rusani berkata, gaya hidup yang tidak sihat seakan-akan menjadi kebiasaan dalam kalangan ibu bapa generasi baharu kini.

Dr Beni Rusani.

“Tabiat makan yang kurang elok, merokok, peningkatan tahap stres seperti jadual kerja yang sibuk mendedahkan ibu bapa muda kepada risiko kolesterol tinggi dan penyakit kronik tidak berjangkit (NCD),“ kata beliau kepada SinarPlus baru-baru ini.

Ujarnya, penyakit jantung lazimnya dikesan dalam kumpulan usia 50-60 tahun. Namun begitu, NCD bukan penyakit yang berlaku dalam masa sehari tetapi berpunca akibat tabiat buruk yang berlarutan selama kira-kira 20 tahun.

Lebih membimbangkan, kata pakar itu, pesakit jantung di Malaysia adalah yang termuda berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara.

Justeru tegas beliau, sememangnya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

“Cara itu sebenarnya lebih murah. Jika ibu bapa sukar untuk mendapatkan motivasi, lakukanlah demi anak-anak kerana mereka cenderung meniru tingkah laku ibu bapa mereka. Jadi, tunjukkanlah teladan yang lebih baik seperti mengamalkan diet yang seimbang dan bersenam secara konsisten. Dengan cara itu, kita dapat putuskan kitaran (pemakanan) yang negatif,“ katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Dietetik, Pusat Pakar Universiti Malaya, Rozanna M Rosly berkata, beliau tidak menafikan bahawa selera makan rakyat Malaysia sememangnya luar biasa ditambah dengan khidmat penghantaran makanan yang semakin berkembang.

Rozanna M Rosly.

“Namun, terdapat beberapa perubahan gaya hidup positif berikutan Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini seperti amalan memasak di rumah.

“Hal ini meyakinkan saya bahawa kita sebenarnya mampu menjadikan tabiat makan yang sihat suatu kebiasaan baharu,” katanya.

Menurut beliau, diet sihat jantung tidak rumit untuk diamalkan dan tidak memerlukan perubahan yang drastik.

Berikut saranan cara menjaga jantung yang boleh dipraktikkan secara konsisten oleh setiap orang seperti yang dicadangkan:

i) Mulakan dengan Pinggan Sihat Malaysia iaitu konsep suku-suku, separuh

Suku pertama diisi dengan protein seperti ikan, ayam, daging dan kekacang, manakala suku kedua diisi dengan karbohidrat seperti nasi, mi, roti dan bijirin. Separuh yang selebihnya pula terdiri daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.

ii) Fokus pada konsep ‘separuh’

95 peratus orang dewasa di Malaysia tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat, vitamin dan mineral seperti yang disyorkan setiap hari. Diet yang tinggi dengan serat makanan dapat membantu mengurangkan risiko NCD termasuk kolesterol tinggi.

iii. Pertimbangkan makanan yang diperkaya dengan sterol tumbuhan

Sterol tumbuhan mempunyai struktur yang serupa dengan kolesterol dan berfungsi mengurangkan penyerapan (kolesterol) ke dalam darah.

Walaupun boleh didapati secara semula jadi dalam semua tumbuh-tumbuhan, amat sukar untuk seseorang mendapat sterol tumbuhan yang mencukupi.

Justeru, sterol tumbuhan boleh ditambah ke dalam pelbagai produk makanan seperti susu yang diperkaya di Malaysia. Kajian menunjukkan pengambilan harian 2 hingga 3 gram sterol tumbuhan dapat menurunkan kolesterol tidak baik setinggi 10 peratus termasuk mereka yang menghidap kolesterol tinggi.

iv) Petua ‘pertukaran’ makanan

Peraturan umum petua itu adalah mengurangkan makanan berminyak atau bergoreng, makanan yang tinggi garam dan memberi perhatian kepada jumlah pengambilan kalori.

v) Amalkan tabiat snek yang sihat

Makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

vi) Daging yang diproses dan makanan segera juga harus dikurangkan.

ANEKDOT

10 makanan terbaik untuk  jantung sihat:

1. Oat

Kaya dengan asid lemak omega-3, folat dan kalium. Ia juga terkandung serat yang dapat membantu menurunkan kadar kolesterol jahat lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan mencegah pembentukan plak pada dinding arteri.

2. Salmon

Iklan

Ikan yang kaya asid lemak omega-3 efektif untuk menurunkan tekanan darah dan mencegah pembekuan darah. Makanlah dua keping salmon seminggu.

3. Avocado

Makanan yang kaya lemak tunggal tidak tepu ini mampu menurunkan kadar kolesterol jahat LDL dan meningkatkan kadar kolesterol baik dalam tubuh badan.

4. Minyak zaitun

Pengganti baik kepada mentega.

5. Kekacang

Nikmati kekacang seperti walnut dan almond.

6. Berries

Blueberi, rasberi dan strawberi bersifat antiradang. Buah-buahan itu berfungsi mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser.

7. Kacang pea

Iklan

Makan kacang jenis berkenaan seperti kacang merah dan kacang hitam.

8. Bayam

Bayam kaya dengan pelbagai komponen sihat seperti lutein, folat, kalium dan serat.

9. Biji rami

Biji rami kaya dengan serat dan omega-6. Biji rami ideal dimakan dengan mencampurkannya dengan oat.

10. Kacang soya

Kacang soya membantu menurunkan kadar kolesterol kerana ia rendah lemak.

Sumber: Laman web Hospital Kuala Penyu, Sabah.

Penulis: Mazlina Abdul Majid