Oleh SHAFIQ TINO

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu membuka lembaran baharu dalam peradaban manusia apabila masyarakat kini mula menyedari peri pentingnya kesihatan dan pencegahan awal dalam menghadapi wabak.

Dalam tempoh itu juga, sebahagian besar masyarakat negara ini sudah mula peka mengenai tubuh badan mereka, malah menjadikan saringan kesihatan sebagai satu keperluan untuk mengelak daripada diserang sebarang penyakit.

Saringan kesihatan seperti pemeriksaan jantung, tekanan darah, paras kolesterol, mahupun gula antara yang sering menjadi perhatian utama orang ramai. Namun yang menjadi permasalahan kini adalah pemeriksaan berkaitan organ seksual masing-masing.

Berbeza dengan wanita, kaum lelaki dikhabarkan lebih sukar untuk berbincang mengenai kemelut yang dialami mereka. Ini menjadi bukti dan antara sebab mengapa penyakit berkaitan organ seksual mereka hanya dikesan ketika berada pada fasa akhir.

Pakar Perunding Urologi, Hospital Gleneagles Medini Johor, Dr Allen Sim berkata, berdasarkan pengalamannya dalam bidang itu, dua penyakit utama yang kerap dihidapi lelaki adalah Benign prostatic hyperplasia (BPH) dan paling berbahaya, kanser prostat.

Mengulas lanjut mengenai penyakit tersebut, pembengkakan prostat yang bukan kanser (BPH) adalah keadaan yang mana kelenjar prostat membengkak dan sering berlaku kepada kaum lelaki yang berumur lebih 50 tahun.

Ia merupakan penyakit yang serius kerana menyebabkan masalah kencing, sekali gus akan mengganggu kehidupan dan tidur seseorang lelaki.

“Kebiasaanya BPH akan dihadapi oleh 50 peratus lelaki yang usianya mencecah 50 tahun ke atas di seluruh dunia.”

“BPH boleh dikesan apabila seseorang berasa aliran air kencing tidak lancar, meneran semasa kencing, rasa susah untuk mulakan kencing, pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya selepas kencing dan aliran air kencing terganggu,” katanya.

Ujar Dr Allen, kanser prostat juga berpotensi dihadapi oleh golongan lelaki di atas usia 50 tahun yang mempunyai tabiat merokok atau memiliki sejarah penyakit keturunan.

Apabila seseorang itu mempunyai BPH, mereka akan merasa sukar untuk kencing kerana terdapat halangan (blockage).

Kanser prostat selalunya tidak bergejala. Kebiasaannya, pesakit mula menyedari petanda tersebut apabila ia sudah pada peringkat akhir, kata beliau.

“Ini kerana sel-sel prostat yang dijangkiti kanser itu sudah mulai merebak ke seluruh badan.

“Jadi, untuk mengesannya pesakit perlu melakukan ujian darah Prostate Spesific Antigen (PSA) dan ujian Digital Rectal,” jelas beliau lagi.

Periksa organ seksual
MESIN Mona Lisa mempunyai keupayaan untuk mengesan kanser prostat dengan lebih tepat dan selamat. Melalui peralatan itu, Dr Allen dapat memahami keadaan pesakit dengan jelas dan biopsi gabungan boleh disasarkan dengan lebih tepat.

Sensitiviti

Menurut Dr Allen, perbincangan mengenai penyakit berkaitan organ seksual merupakan perkara yang sensitif dan lelaki kebiasaannya merasa malu untuk mendedahkannya.

Malah katanya, ada pesakit mengambil keputusan untuk berdiam diri dan masalah menjadi sukar apabila penyakit tersebut berada pada tahap akhir dengan peratusan untuk sembuh sepenuhnya rendah.

“Kita faham mereka bimbang dengan gaya hidup terutama melibatkan aktiviti seks mereka. Mereka juga biasa dimomokkan tentang isu tidak boleh melakukan seks atau tidak berupaya mendapat anak, hal ini menyebabkan mereka takut menjalani ujian.

“Sebenarnya, fahaman sebegini perlu dielakkan dan masyarakat seharusnya peka dengan kesihatan mereka.

“Isu tidak boleh melakukan seks adalah tidak benar, mereka masih boleh melakukannya tetapi mendapat zuriat itu bergantung kepada kesihatan dan tahap kanser prostat dialami,” katanya sambil menambah pesakit kanser prostat yang berusia bawah 50 tahun merupakan kes terpencil dan agak jarang berlaku, namun pencegahan awal diperlukan.

Baca juga Kanser testis paling kerap menerpa orang muda. Ini langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi pengesanan awal

Kaedah rawatan

Iklan

Berbeza daripada penyakit kritikal lain, pesakit BPH atau kanser prostat masih berpeluang dirawat dan boleh sembuh sepenuhnya jika dapat dikesan di peringkat awal.

“Biasanya, mereka yang mempunyai simptom boleh dirawat menerusi ubat-ubatan atau mungkin dengan pembedahan. Hospital Gleneagles Medini Johor mengesyorkan rawatan yang tidak perlu pembedahan dan dikenali sebagai Microwave Thermodialitation.

“Prosedur ini akan dijalankan sebagai pesakit luar dan tidak memerlukan anestetik kepada pembedahan badan. Apa yang penting, prosedur ini mempunyai risiko yang minimum,” katanya.

Bagi kanser prostat, ia lebih sukar dan bergantung kepada tahap penyakit sama ada dikesan di peringkat awal atau sebaliknya.
Pada masa lalu, pakar perunding urologi perlu bergantung pada imbasan CT dan MRI untuk kanser prostat, tetapi imbasan jenis itu tidak dapat menunjukkan bahagian mana yang terjejas dengan kanser.

“Namun, dengan teknologi termaju kini, kami mempunyai pengimejan resonans magnetik multi-parametrik (MP-MRI) yang lebih tepat.

“Sebarang kelainan atau yang mencurigakan akan dikesan oleh MRI dan ia perlu menjalani biopsi,” jelasnya.

Iklan

Ujar Dr Allen, kaedah berkenaan bukan sahaja lebih tepat dalam mencari kanser, tetapi boleh membantu menunjukkan tahap agresifnya. Biopsi boleh disasarkan tanpa perlu lagi menyuntik melalui kelenjar dengan batang jarum secara rawak.

Pada tahap awal, pembedahan robotik digunakan untuk membuang prostat atau rawatan radioterapi. Pada peringkat akhir pula, rawatan terapi hormon digunakan dengan cara suntikan atau pengambilan ubat-ubatan.

“Kanser prostat ini sebenarnya tidaklah menakutkan berbanding kanser lain, tetapi ramai lelaki tidak ambil peluang untuk membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan awal,” katanya.

Pembunuh senyap

Meskipun mempunyai peratusan sembuh yang tinggi, kanser prostat juga berupaya menjadi pembunuh senyap kerana lazimnya ia dikesan di peringkat akhir dan boleh menjadi mudarat bergantung kepada fungsi tubuh setiap individu.

Menurut Dr Allen, jika kanser prostat dikesan awal, pembedahan atau radioterapi boleh dilakukan dan pesakit boleh pulih sepenuhnya.
Berbeza jika rawatan diberikan selepas ia dikesan pada peringkat akhir, meskipun boleh dirawat, penyakit itu sukar untuk sembuh sepenuhnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Apapun, jangkaan untuk pesakit bertahan boleh menjangkau dua atau tiga tahun. Berbeza dengan kanser lain seperti paru-paru yang hanya dijangka bertahan sekitar enam bulan hingga setahun sahaja. Namun begitu ia bergantung kepada kaedah rawatan,” katanya.

Akhir kata, kanser prostat boleh dicegah dengan bimbingan dan nasihat seperti mengurangkan pengambilan alkohol, kafein yang berlebihan dan sentiasa mengamalkan diet seimbang.