Jangan salah anggap, kopi ada banyak khasiatnya. Ini fakta penting yang ramai tak tahu

A
A
A

BAGI sesetengah individu, hidup mereka tidak akan lengkap jika tidak minum secangkir kopi sebaik terjaga daripada tidur.

Jika ditanya, mengapa mempraktikkan gaya hidup sebegitu? Jawapan yang diberi cukup jitu. Kata mereka, kopi akan membuatkan hari baharu lebih selamat dan berenergi.

Salah seorang pencinta kopi, Faizatul Azira Ismail, 26, yang dihubungi memberitahu, prinsipnya adalah 'tiada hari, tanpa kopi.'

“Bagi saya, kopi mampu memberi ketenangan dalam diri. Bau aroma biji kopi juga membantu saya menangani tekanan ketika berada di tempat kerja,“ katanya.

Bercerita tentang kopi yang menjadi kegemaran ramai ini, adakah ia merupakan satu minuman yang baik untuk diminum atau sebaliknya dari aspek kesihatan? Sejauhmana kekerapan seseorang boleh menikmatinya dan adakah terdapat had tertentu yang perlu dikawal?

Menjawab kepada semua persoalan itu, SinarPlus mendapatkan Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi MARA, Dr Fatimah Salim.

Dr Fatimah.

Terlebih dahulu, Dr Fatimah menjelaskan, warna hitam pada biji kopi terhasil adalah disebabkan oleh bahan kimia polimer melanoidins yang melalui tindak balas maillard (gula, asid amino dan haba) dalam kopi.

“Rasa pahit kopi pula disumbangkan oleh bahan kimia lakton asid klorogenik dan phenylindanes (sebanyak 85 peratus). Selebihnya adalah daripada bahan kimia kafein,“ terangnya.

Cegah penyakit kronik

Secara asasnya, kandungan kafein dalam setiap secawan kopi adalah sekitar 100 miligram (mg).

Beritahu Dr Fatimah, dos maksimum kafein yang dicadang oleh pakar untuk diminum oleh individu dewasa adalah di antara 300 hingga 400mg iaitu tiga hingga lima cawan sehari.

Justeru, kata beliau, kopi boleh memberi dampak yang baik dan buruk, bergantung kepada individu.

Secara asasnya, kafein boleh membantu meningkatkan kadar pertukaran makanan kepada tenaga di dalam badan.

“Buktinya, kajian menunjukkan ia (kafein) boleh meningkatkan kadar metabolisme badan hingga 16 peratus, kira-kira satu hingga dua jam selepas pengambilannya.

“Terdapat juga penyelidikan lain yang menunjukkan kafein boleh mengalakkan badan menukarkan simpanan lemak menjadi tenaga. Pun demikian, ia kurang berkesan kepada individu yang obes,“ jelasnya.

Selain itu, kongsi pakar itu lagi, peranan kopi juga berupaya meningkatkan daya fokus, menenangkan minda, mengurangkan selera makan, menguatkan memori jangka pendek dan meningkatkan kadar reaksi adrenalin.

Pada masa sama, jelas Dr Fatimah, sejumlah penyelidikan juga mengaitkan kopi dengan pencegahan kepada beberapa penyakit kronik seperti kencing manis, jantung, di samping berupaya melawan kemurungan.

“Penyakit kencing manis jenis 2 misalnya, berpunca daripada peningkatan kadar gula dalam darah dan kemudian boleh memicu penyakit jantung dan strok.

“Namun, risiko masalah kesihatan berkenaan menjadi jauh lebih rendah jika pesakit mengamalkan tabiat minum kopi secara berkala berbanding mereka yang tidak memilih minuman tersebut,“ terangnya.

Kepada sesiapa yang menyimpan impian untuk memiliki tubuh yang langsing seperti seorang model, kopi tanpa gula juga antara salah satu solusi terbaik.

Hal tersebut bukan sekadar cakap kosong, tetapi fakta itu dibentangkan dalam satu laporan yang disiarkan oleh House of Arabica.Pun demikian, terdapat satu syarat yang perlu dipatuhi. Sebelum menghirup secawan kopi, anda diminta melakukan aktiviti fizikal terlebih dahulu.

“Pendekatan sedemikian akan membakar lemak dan akhirnya dari semasa ke semasa, berat badan boleh turun secara berperingkat,“ kata House Of Arabica.

Baca juga: Tidur tidak dipengaruhi oleh pengambilan kopi, ini penjelasan pakar

Seperkara yang turut menarik perhatian SinarPlus adalah fakta yang menyatakan bahawa dua cawan kopi dapat membantu menurunkan risiko terkena sirosis (kerosakan hati kronik) hingga 80 peratus, selain berkemampuan mencegah penyakit ditakuti ramai iaitu kanser.

“Biji kopi memiliki kandungan antikanser, sekali gus ia meminimumkan risiko pertumbuhan sel-sel penyakit berbahaya itu,“ kata laporan antarabangsa itu sambil menambah, minum kopi tanpa gula juga dapat menghilangkan bakteria dan toksin di dalam perut, di samping menghentikan pertumbuhan parasit jahat yang boleh mencetuskan banyak masalah.

Namun, ingat, jika kopi dibancuh bersama krimer atau gula, semua manfaat yang dinyatakan sama sekali tidak dapat diperoleh.

“Benar, anda akan hilang segala kebaikan daripada kopi hitam kerana kita secara umumnya tahu bahawa gula (jika berlebihan) adalah makanan yang negatif,“ kata House Of Arabica.

Waktu ideal

Pun demikian, dalam apa jua keadaan terutama dalam soal makan dan minum, amalan berlebihan tidak digalakkan.

Begitu juga halnya dengan kopi kerana kesan sampingannya juga bukan calang-calang, kata Dr Fatimah.

“Jika seseorang menghirup kopi dalam kuantiti keterlaluan, mereka berpotensi mengalami peningkatan tekanan darah, gangguan tidur, menggigil, sakit perut, muntah, sakit dada dan gelisah,“ katanya.

Antara impak lain adalah seperti berdepan dengan kemelut pedih ulu hati dan gejala refluks asid.

“Namun, seperti yang saya katakan tadi, ia bergantung kepada bagaimana penerimaan badan individu itu dan jumlah dos yang diambil.

“Lazimnya, golongan yang mudah mendapat kesan buruk ialah individu yang sensitif kepada kafein (walaupun sedikit) dan mereka yang melalui proses penyingkiran kafein yang lambat dalam badan.

“Apa yang saya boleh katakan, diri kita sendiri kena memahami sensitiviti, toleransi dan keperluan badan terhadap kafein. Ingat, usah pukul rata,“ pesannya.

Dalam pada itu, Doktor Perubatan Swasta, Klinik Hijraa Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu, Dr Ahmad Samhan Awang menjelaskan, ritma biologi dalam tubuh badan manusia memainkan peranan penting bagi tindak balas terhadap pengambilan unsur-unsur dadah seperti kafein.

Dr Ahmad Samhan.

Situasi itu, ujar Dr Ahmad Samhan dipanggil kronofarmakologi. Ia melibatkan hipotalamus di dalam otak manusia yang bertindak sebagai jam dalam mengawal ritma biologi badan.

“Perlu diketahui bahawa di dalam hipotalamus terdapat nukleus yang mempunyai pelbagai fungsi di dalam badan seperti mengawal kitaran tidur dan jaga, penggunaan tenaga, homeostasis gula dan mengawal hormon.

“Antara kandungan hormon yang dikawal itu adalah kortisol. Ia paling aktif sekitar jam 8 hingga 9 pagi. Ini bermakna, pengambilan kafein pada waktu tersebut adalah sangat tidak sesuai kerana pada tempoh masa itu, badan kita telah menghasilkan hormon kortisol secara maksimum,“ tambah beliau.

Sehubungan itu, pesan Dr Ahmad Samhan, kita tidak perlu lagi menambah lagi kandungan kafein dalam badan kerana tahap kewaspadaan telah terhasil secara semula jadi.

Maka, waktu terbaik untuk menghirup secangkir kopi adalah pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 5 petang.

“Pada durasi berkenaan, tahap hormon kortisol di dalam badan kita sudah mulai menurun,“ beritahunya ketika dihubungi baru-baru ini.

Dalam pada itu, satu kajian yang dilakukan oleh Steven Miller dari Universiti Sains Kesihatan di Bethesda, Maryland, Amerika Syarikat menyatakan, setiap manusia memiliki putaran dan peredaran masa yang berbeza-beza.

Berbeza sedikit dengan Dr Ahmad Samhan, cadangan waktu yang dicadangkan Miller adalah pada jam 9.30 hingga 11.30 pagi, 12 tengah hari hingga 1 petang dan 5 petang.

“Inilah waktu yang paling tepat untuk minum kopi kerana pada sela masa berkenaan, pengeluaran hormon kortisol mula menurun atau istilah yang biasa disebut sebagai coffee break,“ katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca