Jangan takut ke hospital, bukan lokasi jangkitan kuman

A
A
A

PANDEMIK koronovirus yang tercetus sejak tahun lalu membuatkan kehidupan berbilion manusia berubah. Setakat semalam, lebih 17.6 juta orang di seluruh dunia dijangkiti Covid-19 dengan Amerika Syarikat mendahului senarai.

Wabak maut itu sangat digeruni sehinggakan orang ramai fobia untuk ke tempat awam, waima ke hospital sekalipun akibat perasaan skeptikal yang menghantui banyak orang.

Cerita orang ramai takut ke hospital gara-gara bimbang dijangkiti itu bukan sengaja diada-adakan kerana ia turut berlaku di Malaysia.

Masakan tidak, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, rata-rata ibu bapa dikatakan masih ragu-ragu untuk membawa anak mendapatkan rawatan di hospital.

Alasannya, mereka takut si kecil akan terdedah kepada virus berkenaan memandangkan hospital merupakan destinasi orang sakit.

Mengulas fenomena berkenaan, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Fadzlina Abdul Aziz.

DR Fadzlina.

Dalam pertemuan pada minggu lalu, Dr Fadzlina tidak menafikan fakta itu.

“Dalam hal ini, ada ibu bapa yang terpaksa menunda pemeriksaan rutin kerana mahu mematuhi arahan PKP,“ katanya.

Pun demikian, memandangkan prosedur PKP sudah dilonggarkan, pakar berkenaan menyeru  ibu bapa agar kembali membawa anak mereka terutama bayi dan kanak-kanak untuk melakukan pemeriksaan di hospital tanpa sekelumit perasaan khuatir.

“Hospital merupakan lokasi yang dijaga rapi sepanjang masa meskipun umum mengetahui hospital dihuni oleh mereka yang tidak sihat.

“Pada pandangan saya, mungkin ibu bapa takut hadir ke sini kerana pihak hospital menawarkan perkhidmatan ujian saringan Covid-19. Jadi, mereka menganggap hospital sebagai lokasi berisiko mendapat jangkitan.

“Pandangan itu tidak benar kerana pesakit yang mempunyai simptom Covid-19 akan terus dibawa dan disaring di tempat isolasi tanpa bertembung dengan orang awam,“ jelas Dr Fadzlina.

Seperti yang diuar-uarkan, memakai pelitup muka merupakan antara kaedah terbaik mengekang penularan koronavirus. Itulah sebabnya bermula semalam, kerajaan mewajibkan pemakaiannya di tempat sesak.

Bagaimana pula kanak-kanak? Sejauh mana kesesuaian mereka menggunakan alat keselamatan itu? Menjawab pertanyaan terbabit, pakar itu menjelaskan, bukan semua kanak-kanak sesuai memakainya.

“Kanak-kanak di bawah umur dua tahun tidak digalakkan memakai pelitup muka meskipun menggunakan pelitup bersaiz kecil kerana sistem saluran pernafasan golongan itu lebih kecil dan sempit.

“Kebanyakan kanak-kanak di bawah usia dua tahun juga tidak lancar bercakap, dikhuatiri ibu bapa mungkin tak peka jika mereka tak boleh bernafas ketika memakai pelitup muka,“ katanya.

Etika hospital

Justeru, apakah cara paling efisien untuk si kecil menghindari kuman dan bakteria?

“Ibu bapa boleh memilih pelindung muka (topi bersama pelindung lut sinar) bagi kumpulan umur bawah dua tahun.

“Bagi bayi pula, penjaga disarankan menggunakan kereta tolak bayi yang mempunyai pelindung (kanopi) sahaja sebagai ‘tembok‘ kepada mereka,“ saran Dr Fadzlina.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Muhammad Badri Hussin berkata, orang ramai perlu nyahkan perasaan gementar untuk ke hospital bagi mendapatkan nasihat dan rawatan.

MUHAMMAD Badri Hussin.

“Janganlah takut datang kerana hospital sentiasa mengamalkan etika kebersihan yang sangat rapi dan teliti.

“Kami akan melaksanakan proses sanitasi di lokasi tumpuan sekurang-kurangnya tiga kali (pembersihan),“ katanya.

Ujar beliau, beberapa bulan lalu, walaupun hospital adalah tempat terbaik untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkesan, jumlah pesakit yang datang berkurangan.

Namun, Muhammad Badri menegaskan, KPJ Ampang Puteri adalah antara hospital yang sentiasa mematuhi prosedur operasi standard  yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Antaranya dengan mempraktikkan amalan pemeriksaan suhu bermula di hadapan pintu masuk, penjarakkan sosial serta memakai pelitup muka selain sut peralatan perlindungan diri yang bersesuaian.

“Kami juga memastikan setiap pesakit dan pelawat yang memasuki premis mendaftar menggunakan aplikasi Selangkah atau MySejahtera serta mengisi borang deklarasi untuk mengetahui sejarah perjalanan mereka,“ katanya.

ANEKDOT          

Berikut adalah antara panduan untuk membawa kanak-kanak yang tidak sihat ke hospital bagi mendapatkan rawatan:

  1. Pakaikan mereka dengan pelitup muka.
  2. Gunakan kenderaan sendiri, elak menggunakan pengangkutan awam.
  3. Tidak perlu singgah ke lokasi lain, terus menuju ke bahagian kecemasan.
  4. Pastikan anak kecil tidak menyentuh peralatan yang sering dipegang oleh orang awam seperti butang lif dan tangga.
  5. Sentiasa amalkan penjarakkan sosial di hospital, sekurang-kurangnya 1 meter daripada individu lain.
  6. Jangan berlengah-lengah seusai rawatan dan terus pulang ke rumah.
  7. Setibanya di rumah, mandi dan terus basuh pakaian yang sudah dipakai tadi.

Sumber: Pakar Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Fadzlina Abdul Aziz

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca