Jantung laju, gastrik dan banyak angin dalam badan. Simptom seperti anxiety rupanya sakit jantung

No Image Caption
A
A
A

TIADA sejarah sakit jantung dalam keluarga menyebabkan Nurin Nailah Farihan tidak menyangka rasa tidak sihat untuk tempoh singkat rupanya tanda-tanda dia menghidap penyakit yang paling digeruni oleh setiap orang.

Apatah lagi usianya baru sahaja 23 tahun dan masih menuntut di salah satu universiti swasta di negara ini. Anak muda yang mengambil jurusan perubatan itu mengatakan beliau mengambil keputusan untuk mendiamkan diri pada awalnya seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Waktu tengah belajar, saya guna stethoscope pada diri sendiri. Ketika itu, dengar bunyi jantung yang abnormal tetapi saya abaikan sahaja sebab terlampau risau.

“Masuk sahaja penghujung semester pengajian, jantung saya kerap berdebar tapi tiada punca. Badan juga berangin dan gastrik. Tak boleh nak lelap tidur. Seperti tanda-tanda anxiety. Tanda awal yang paling ketara apabila jalan sikit rasa mengah dan tercungap-cungap.

“Tiga bulan saya mengalami batuk berpanjangan. Tidur sambil duduk sebab sesak nafas bila tidur terlentang. Lepas buat ECG, doktor hanya cakap jantung laju sebab batuk. Balik rumah dan makan ubat," katanya yag tidak menyangka diri menghidap penyakit berbahaya.

Selepas tiga minggu, kakinya menjadi bengkak air. Kaki menjadi besar pada waktu itu. Terus bergegas ke hospital dan buat pemeriksaan darah. Hasilnya, darah untuk jantung tak berapa elok. X-ray pula kelihatan jantung bengkak. Air kencing ada protein 3+.

Esoknya terus masuk ke zon merah di bahagian kecemasan hospital kerajaan. Doktor beritahu bunyi jantung abnormal (loud pansystolic murmur). Sebaik sahaja doktor buat scan pada jantung, ada sesuatu benda yang besar pada injap jantung.

Disangka darah beku rupanya ketumbuhan. Syukur ia bukan jenis kanser namun rawatan lanjut perlu diteruskan di Pusat Jantung Serdang kerana memerlukan kepakaran.

“Doktor terangkan risiko pembedahan jantung. Antaranya, strok, kegagalan fungsi buah pinggang dan berlakunya kematian. Waktu itu, memang menangis sebab rasa takut.

“Bila doktor buat echo, ada masalah baru pula. Ketumbuhan tu besar membuatkan dua injap bocor. Tambahan lagi, tekanan salur darah yang menghubungkan ke jantung dan paru-paru sangat tinggi. Keadaan ini tak sesuai untuk meneruskan pembedahan kerana risiko tinggi.

Pulmonary Artery Pressure (PA) yang normal bawah 20 tapi PA saya 80++ jadinya pembedahan ditunda. Seminggu makan ubat, PA makin naik. Rasa penat hari-hari menangis. Doktor pakar terangkan, lepas pembedahan memang saya kena pakai mesin VA-ECMO.

"Kalau ada empat orang yang dalam keadaan sama seperti saya, ada seorang yang tidak akan berjaya,” ujarnya yang pada waktu itu hanya mampu menerima apa jua takdir dari-NYA.

Pembedahan perlu dilakukan segera untuk membuang ketumbuhan itu kerana ia punca bacaan PA tidak turun. Sebelum pembedahan, Nurin ditolak masuk ke wad ICU terlebih dahulu untuk memasukkan ubat.

Ketika ibu mahu suap makan, tiba-tiba pandangannya menjadi kabur rupanya nadi dan tekanan darah menurun. Doktor masukkan ubat lain pula untuk stabilkan bacaan.

Puas menangis dari mula diagnos sampai lah ke waktu pembedahan, Nurin betul-betul reda dan serahkan semuanya ALLAH.

Beliau menandatangani surat sebelum pembedahan dijalankan sebagai tanda setuju untuk memasang injap mekanikal pada jantungnya.

Syukur pembedahan berjalan dengan lancar. Ibu beritahu, tak jadi pasangan injap mekanikal pada jantung.

Hanya perlu ‘dibaiki’ sahaja. Tiada komplikasi yang serius walaupun doktor beritahu hampir nak kena ECMO waktu pembedahan.

Baru nak senyum gembira, tiba-tiba petang itu, tekanan darah dan nadi menurun. Rupanya disebabkan oleh septic shock iatu jangkitan kuman di paru-paru. Keadaan tersebut menyebabkan Nurin terpaksa ditidurkan.

Selepas sedar, rasa nak minum sikit namun tersedak. Ini merupakan tanda tidak baik. Jadinya, doktor rujuk kepada pakar ENT.

Selepas pemeriksaan, doktor dapati kotak suara tertutup rapat disebabkan memakai tiub pernafasan. Kena guna semula tiub susu di hidung.

Selepas dua minggu, ‘mimpi negeri’ Nurin telah pun berakhir. Dapat masuk ke wad biasa dan doktor buka segala wayar yang ada di badan.

Dua bulan dalam proses penyembuhan, syukur Nurin dapat menyambut Syawal tahun ini bersama keluarga tercinta. Bila mengenang kembali kisah duka di wad, beliau rasa inilah peluang kedua yang tidak akan disia-siakan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang