Foto : SUMBER INTERNET

PERKEMBANGAN trend yang menitikberatkan kepentingan alam sekitar menyaksikan kenderaan elektrik (EV) semakin hari semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dunia.

Dapat diperhatikan, secara perlahan-lahan pengeluaran EV mula menembusi segmen kereta arus perdana kerana turut disokong kemajuan teknologi penjimatan tenaga yang terkini.

Berdasarkan laporan Los Angeles Times, terdapat 45 model kereta elektrik penuh dan plug-in hybrid di pasaran Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2019. Malah, jualannya di negara itu mencapai 325,000 unit. Angka berkenaan dianggap memberangsangkan walaupun turun 6.8 peratus daripada tahun sebelumnya (349,000 unit).

Dengan masyarakat dewasa ini yang mula meletakkan pertimbangan untuk mengambil kenderaan elektrik bagi menggantikan kenderaan bahan api fosil, Sinar Plus akan berkongsi paparan mengenai lima model EV yang semakin mencengkam kedudukannya di pasaran.

Nissan Leaf

NISSAN Leaf memberi pengalaman pemanduan yang lebih menenangkan kepada pemandu dan penumpang.

Nissan Leaf merupakan kenderaan EV yang tidak boleh dipandang mudah kerana berupaya mencapai kelajuan sifar hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 7.9 saat dan pecutan maksimum lebih 150km/j.

Reka bentuk bateri Nissan Leaf yang diletakkan di bahagian tengah badan kereta itu telah memberikan titik graviti lebih rendah bagi membolehkan pengendalian mantap dan kestabilan di selekoh.

Untuk pengalaman pemanduan yang lebih sporty dan mengujakan di laluan tidak lurus, Nissan Leaf turut dilengkapi teknologi e-Pedal yang pertama di dunia. Ia membolehkan pemandu memecut, memperlahan dan memberhentikan kenderaan secara intuitif menggunakan satu pedal sahaja.

Nissan Leaf yang serba baharu juga jauh lebih senyap berbanding kereta konvensional, sekali gus memberi pengalaman pemanduan yang lebih menenangkan kepada pemandu dan penumpang.

Hyundai Kona Elektrik

Kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai Kona Electrik berjaya mencipta nama tersendiri apabila mencatatkan Rekod Dunia Guinness bagi pendakian ke altitud setinggi 5,731 meter di Sawula Pass, Tibet, China.

SUV tersebut dikatakan tidak mengalami sebarang masalah prestasi ketika mencapai titik altitud paling tinggi. Dengan pencapaian tersebut, Kona Electric telah membuktikan bahawa ia sememangnya sebuah SUV yang tahan lasak.

HYUNDAI Kona Elektrik dilengkapi Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik bagi memastikan kestabilan kenderaan dalam setiap keadaan jalan

Diperkenalkan pada tahun 2018, Kona Electric menawarkan jarak pemanduan sejauh 452km dengan satu cas penuh dan turut dilengkapi dengan unit pengecas mudah alih dan juga AC Wall Box Charger untuk kegunaan di rumah.

Renault Zoe

Renault Zoe merupakan salah satu daripada beberapa model kereta elektrik yang boleh menerima tiga fasa bekalan arus ulang-alik (AC) untuk pengecasan baterinya.

Di atas jalan, jarak pemanduan Zoe yang mempunyai pek bateri 22 kilowatt jam (kWh) adalah sejauh 120km ke 150km. Bagaimanapun, menerusi gaya pemanduan yang ekonomik, jarak lebih daripada 180km mampu dicapai namun perlu berdisiplin tanpa sebarang pecutan berlebihan.

Iklan
ZOE antara kereta elektrik yang menjadi tumpuan dunia.

Zoe hanya memerlukan tempoh mengecas antara 10 hingga 15 minit untuk mendapatkan jarak bateri perjalanan 30km. Ia merupakan penjimatan masa yang banyak kerana model EV yang menggunakan pek bateri 7 kWh memerlukan sekurang-kurangnya 30 hingga 45 minit pengecasan untuk jarak yang sama.

BMW i3s

BMW i3s, portfolio kenderaan Mobiliti Bervisi daripada pengeluar kenderaan premium Jerman, BMW sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pembekal e-mobiliti yang terkemuka.

MODEL i3s pada dasarnya adalah versi yang lebih sporty daripada i3 dan pada Ogos 2017 telah menerima facelift penuh.

E-motor i3s menyediakan 181 kuasa kuda (135 kW) dan 270 daya tujahan yang membolehkan kelajuan dari sifar hingga 100km/j dalam masa 6.9 saat dan kelajuan tertinggi 160km/j.

Pengisian semula bateri dilakukan sama ada melalui pengecasan AC atau arus terus (DC) menggunakan bekas pengecas AC 11kW dan sambungan type 2.

Iklan

Untuk pengecasan DC sehingga 50kW, ia perlu menggunakan penyambung Sistem Pengecasan Gabungan yang merupakan lanjutan penyambung type 2 dengan dua pin tambahan di bawahnya.

Jaguar I-Pace

Jaguar I-Pace yang dilancarkan pada tahun 2018 mampu mencapai jarak sehingga 292 batu (470km) mengikut standard Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP).

Berdasarkan standard Environmental Protection Agency (EPA) pula, Jaguar I-Pace mampu mencapai jarak sehingga 246 batu (396km).

JAGUAR I-Pace dilengkapi beberapa aplikasi seperti aplikasi telefon pintar yang boleh mencari kereta, melaporkan penguncian, penggera dan status pengecasnya.

Bateri kenderaan EV itu mengandungi 432 sel-sel poket dan ia boleh mengecas daripada sifar hingga 80 peratus dalam tempoh 85 minit menggunakan 50kW DC atau 45 minit menggunakan pengecas 100kW.