Jom 'berkampung' di dapur!. Ini 5 sajian yang mudah dimasak yang boleh kita cuba menjelang Syawal nanti
PASTINYA, sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini masih sama seperti tahun lalu.
Masakan tidak, kita semua diarahkan agar tidak merentas sempadan negeri, malah ada beberapa lokasi juga tidak dibenarkan merentasi daerah.
Sudah pasti, hasrat untuk beraya di kampung tidak dapat ditunaikan. Apa-apapun, janganlah berduka.
Kita semua perlu melaluinya dan anggaplah ia satu pengorbanan besar dan sumbangan kita kepada negara dalam memerangi wabak pandemik itu.
Namun, jika ada yang meraikan lebaran seorang diri di ibu kota, ia tidak bererti segala tradisi perlu 'dilenyapkan'.
Jadi, hari ini, SinarPlus ingin kongsikan cara penyediaan menu wajib di pagi raya yang boleh disediakan sendiri di rumah bagi menambah kemeriahan sambutan lebaran. Bukan mak-mak saja boleh cuba, orang bujang pun boleh. Jom berkampung di dapur!
1. Rendang ayam
Bahan-bahan
- 1 ekor ayam
- 1 senduk cili kisar
- 1 mangkuk besar santan pekat
- 1/2 mangkuk kecil ais asam jawa
- 3 sudu besar kerisik
- 2 helai daun kunyit
- 2 helai daun limau purut
- Garam dan gula secukup rasa
- 1 mangkuk besar minyak untuk menumis
Bahan-bahan untuk rempah tumis
- 2 batang kayu manis
- 3 kuntum bunga lawang
- 5 biji buah pelaga
Bahan-bahan untuk kisar halus
- 1 biji bawang besar
- 8 biji bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 2 inci halia
- 3 ketul kunyit hidup
- 2 inci lengkuas
- 2 batang serai
Cara penyediaan rendang:
1. Bersihkan ayam dan toskan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan rempah tumis, bahan kisar halus dan cili kisar.
3. Kacau perlahan dan masak sehingga pecah minyak dan garing. Warna bahan tumisan akan bertukar menjadi sedikit gelap.
4. Masukkan pula ayam dan biarkan masak selama 5 hingga 10 minit. Air ayam akan keluar sedikit semasa proses ini.
5. Masukkan santan pekat dan air asam jawa. Kacau perlahan-lahan di atas api sederhana sehingga kuah menjadi pekat.
6. Masukkan kerisik, daun kunyit dan daun limau purut.
7. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
8. Tabur dengan hirisan daun kunyit sebagai hiasan sebelum dihidangkan.
Sumber: resipichenom.com
2. Kuah kacang tanpa santan
Bahan-bahan
- 600 gram kacang tanah (disangai)
- 5 biji bawang besar
- 1/2 cawan cili kering (dikisar)
- 1 cawan gula melaka
- 1 sudu besar gula pasir
- 1 cawan minyak mazola
- 2 hingga 3 cawan air
- Garam secukup rasa
Cara penyediaan:
1. Kacang tanah mestilah cukup masak sewaktu disangai, dibuang kulit, disejukkan dan direndam seketika sebelum dikisar.
2. Kisar kacang tanah yang telah disangai dan dibuang kulit dalam pengisar. Pastikan air secukupnya digunakan untuk gerakkannya (jangan terlalu banyak sangat air).
3. Mayang bawang besar dan panaskan periuk lalu dimasukkan 1 cawan minyak dan tumislah bawang hingga wangi.
4. Kemudian masukkan cili kering kisar dan goreng sehingga naik minyak.
5. Apabila sudah naik minyak, masukkan kacang yang telah dikisar bersama 2 hingga 3 cawan air.
6. Kemudian, apabila sudah menggelegak, masukkan gula melaka dan garam.
7. Kuih kacang siap untuk dihidangkan.
Sumber: aziekitchen.com
3. Soto ayam
Bahan-bahan kisar
- 5 ulas bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inc halia
- 1 inci kunyit hidup atau serbuk kunyit 1 sudu teh
- 2 batang serai
- 1 inci lengkuas
Bahan-bahan tumis
- Kulit kayu manis
- Bunga lawang
- Bunga cengkih
- Buah pelaga
- Rempah soto 1 peket kecil
- Sup bunjut 1 bunjut
Bahan-bahan lain
- 1 ekor ayam (dipotong 4)
- Air secukupnya
- Minyak untuk menumis
- Garam dan gula secukup rasa
- 2 kiub ayam
- 2 sudu besar santan
Cara penyediaan:
1. Panaskan minyak dan tumiskan kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang dan buah pelaga sehingga harum.
2. Kemudian, masukkan bahan yang dikisar halus dan rempah soto.
3. Masak sehingga garing dan keluar minyak lalu masukkan air secukupnya.
4. Apabila air sudah mendidih, masukkan sup bunjut, ayam dan kiub ayam.
5. Biarkan kuah mereneh seketika.
6. Selepas itu, perasakan dengan garam dan gula.
7. Kemudian, angkat ayam dan toskan.
8. Ayam kemudiannya digoreng lalu disiat-siat halus isinya.
9. Akhir sekali, kacau dan biarkan kuah mendidih.
10. Soto ayam siap untuk disajikan.
Sumber: norazlitaaziz.blogspot.com
4. Daging masak hitam
Bahan-bahan
- 1/2 kilogram daging
- 3 biji bawang besar*
- 5 ulas bawang putih*
- 3 tangkai serai*
- 2 inci halia*
- 2 sudu teh cili giling*
- Rempah kasar
- 10 sudu teh kicap pekat
- 3 tangkai daun kari
- 1 sudu teh serbuk kari daging
- Cili padi
- Gula dan garam secukup rasa
Cara penyediaan:
1. Kisar semua bahan yang bertanda * dengan minyak supaya memudahkan proses menumis.
2. Setelah itu, masukkan rempah kasar dan daun kari.
3. Tumis sehingga pecah minyak dan naik bau.
4. Masukkan kicap dan daging.
5. Masak sehingga daging empuk dan selepas itu perasakan dengan gula dan garam.
6. Daging masak hitam siap dimakan pada pagi raya.
Sumber: seminitresipi.com
5. Lontong
Bahan-bahan kisar
- Segenggam udang kering
- 1 bawang besar
- 5 biji bawang merah
- 1 inci kunyit
- 1 inci lengkuas
Bahan-bahan kuah
- 1 paket santan
- 5 cawan air
- Gula dan garam secukup rasa
- Sedikit fucuk, kubis, terung, kacang panjang, lobak merah, suhun, tempe dan tauhu yang dipotong kecil dan digoreng terlebih dahulu
- 2 batang serai (diketuk)
Cara penyediaan:
1. Panaskan air, masukkan semua bahan kisar dan batang serai.
2. Biarkan sehingga mendidih dan sebati.
3. Masukkan santan, kacau dan biarkan sehingga kuah sedikit pekat.
4. Masukkan semua sayur-sayuran dan suhun.
5. Sebagai pilihan,jika suka, boleh letakkan udang dalam kuah.
6. Akhir sekali, perasakan dengan gula dan garam secukupnya.
Sumber: ilhamdini.com
Jika para pembaca perasan, kesemua juadah lebih 'umphh' jika dimakan bersama lemang, ketupat atau nasi himpit.
Artikel berkaitan: Hasrat beraya di kampung punah, tahun kedua tidak boleh rentas negeri. Ikuti SOP Hari Raya Aidilfitri
Jadi, dapatkanlah lemang, ketupat atau nasi impit yang telah siap tersedia di mana-mana pasar raya berhampiran atau menempahnya daripada pengusaha-pengusaha berdekatan.
Juadah raya sudah tersedia, pastinya raya tetap on.
Selamat mencuba!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang