SUDAH lebih setahun Malaysia menjalani penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat bagi mengekang penularan Covid-19.

Pandemik ini bukan sahaja menjejaskan pergerakan aktiviti harian, bahkan secara tidak langsung ‘melenyapkan’ nikmat dan kemeriahan musim perayaan antara Hari Raya Aidilfitri.

Bayangkan, impian umat Islam ingin menyambut lebaran bersama insan tersayang khususnya di kampung halaman punah apabila aktiviti merentas negeri tidak dibenarkan.

Apa daya, Covid-19 benar-benar menguji, perjuangan dan pengorbanan #kitajagakita untuk memeranginya.

Tambahan pula, semalam pihak kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di enam daerah di negeri Selangor.

Sehubungan itu, hari ini SinarPlus kongsikan prosedur operasi standard (SOP) Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

SOP tersebut merangkumi PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan Perintah Kawalan Pemulihan (PKPP).

SOP Hari Raya Aidilfitri

TAKBIR RAYA

• Bagi kawasan PKP, PKPB dan PKPP takbir raya di masjid atau surau dibenarkan mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri. Namun begitu, bagi kawasan PKPD, adalah tidak dibenarkan.
• Amalan takbir dari rumah ke rumah tidak dibenarkan di semua kawasan.

SOLAT SUNAT HARI RAYA

• Bagi kawasan PKP, PKPB dan PKPP, solat sunat Hari Raya Aidilfitri dibenarkan berlangsung di masjid dan surau, namun dengan jumlah kehadiran dan penyertaan jemaah lelaki, wanita dan kanak-kanak mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
• Solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau tidak dibenarkan di kawasan PKPD.
• Jamuan selepas solat hari raya di masjid/surau, rumah terbuka hari raya, ziarah tanah perkuburan adalah tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKPD.
• Bagi kawasan PKPB dan PKPP, jamuan selepas solat Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri. Jawatankuasa masjid/surau digalakkan menyediakan juadah secara berbungkus dan diedarkan kepada para jemaah untuk dibawa pulang.

Baca juga [TERKINI] PKP 6 Daerah Di Selangor Termasuk Petaling Dan Gombak Bermula 6 Mei. Rentas Daerah Tidak Dibenarkan

KUNJUNG MENGUNJUNG DAN ZIARAH PERKUBURAN

• Ziarah hari raya bagi kawasan PKP adalah dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.
• Bagi kawasan PKPB dan PKPP adalah dibenarkan pada 1 sehingga 3 Syawal sahaja. Namun begitu bagi kawasan PKPB kehadiran tetamu terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.
• Bagi kawasan PKPP ziarah hari raya dibenarkan dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 25 orang pada satu-satu masa mengikut saiz rumah dengan penjarakan fizikal.

Iklan

• Dalam memastikan penularan wabak terkawal, tuan rumah digalakkan menyediakan alat pengimbas suhu badan, menggunakan QR Code MySejahtera atau menyediakan buku bagi mencatatkan nama dan nombor telefon tetamu.

• Ziarah tanah kubur dibenarkan bagi kawasan PKPB dan PKPP dengan syarat had tidak melebihi enam orang bagi satu lot/petak kubur serta tidak lebih daripada 30 minit.
• Ziarah tanah kubur bagi kawasan PKP dan PKPD adalah tidak dibenarkan.
• Bagi kawasan PKPD, sambutan Hari Raya Aidilfitiri hanya dibenarkan dalam kalangan ahli keluarga dari rumah sama sahaja. Ini bermakna mereka tidak dibenarkan keluar rumah untuk amalan kunjung mengunjung.

• Penganjuran sebarang majlis/ rumah terbuka hari raya bagi semua kawasan adalah tidak dibenarkan.

Diharapkan dengan adanya garis panduan tersebut kita dapat membiasakan diri dengan norma baharu. Dalam menyambut kemeriahan hari raya, jangan lupa mematuhi SOP ditetapkan.

Iklan

Lakukan 3W iaitu merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala (wear)dan patuhi amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn)

Pada masa sama, elakkan 3S iaitu kawasan yang sesak (crowded place), kawasan yang sempit (confined space) dan sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

Hindari bersalam-salaman dan bersentuhan, amalkan etika ketika batuk dan bersin dan jangan berlengah dapatkan rawatan segera jika bergejala.

Sumber: Telegram MKN