JIKA disebut makanan eksotik, pasti apa ada dalam fikiran kita adalah menu ekstrem seperti belangkas, belut, daging rusa hinggalah landak.

Bukan biasa-biasa. Biarpun makanan ‘rare’, tetapi kaedah memasak mengikut cita rasa kita seperti masak lada hitam, rendang, digoreng dan sebagainya mampu membuatkan peminatnya menelan air liur.

Ada juga daging yang jarang didengari dimasak sup, kicap, berlada dan lemak cili padi mengikut pilihan pelanggan. Lebih pelik jika hidangan seperti belangkas dibakar dan dicecah air asam atau masak lemak cili padi.

Bayangkan anda menyuapkan nasi panas bersama hidangan daging rusa dan arnab segar yang dimasak mengikut cita rasa diinginkan. Alangkah nikmatnya, bukan?

Itulah antara yang ditawarkan di Anuar Rusa Steak House di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Ternyata percaturan idea pemiliknya, Shamsul Anuar Md Ali berjaya menggamit kunjungan peminat makanan eksotik dari seluruh negara.

Lokasinya, tidak jauh dari susur keluar Plaza Tol Behrang, Lebuh Raya Utara-Selatan. Dengan memandu kira-kira 15 minit menuju ke Felda Gedangsa, anda pasti melihat papan tanda kedai makan itu yang terpampang di tepi jalan.

rusa
DAGING rusa masak lemak cili padi antara menu yang paling mendapat tempat di hati pelanggan.

Mereka yang datang dari Sungai Besar, Sabar Bernam dan Tanjung Karang pula boleh menggunakan Jalan Sungai Panjang terus ke Empangan Sungai Bernam sebelum sampai ke kedai makan dengan zoo mini yang menarik itu.

Shamsul Anuar, 42, berkata, menu paling menambat hati pelanggan di kedai makan diusahakan di depan rumahnya itu adalah daging rusa masak lemak cili padi.

Berharga RM17, set menu itu dihidangkan bersama nasi putih, ulam dan sambal belacan. Barangkali yang menambahkan keenakannya, rusa itu diternak sendiri. Sudah pasti dagingnya segar dari ladang.

“Jika pelanggan inginkan kelainan, mereka boleh cuba hidangan rusa panggang, sup tulang rusa, nasi goreng rusa panggang atau rendang rusa.

“Arnab pula boleh dimasak lemak cili api, panggang, goreng kunyit atau nasi goreng arnab panggang. Kesemua menu ditawarkan pada harga berpatutan,” katanya.

daging arnab
DAGING arnab masak lemak cili padi.

Bicaranya lagi, kandang rusa yang terletak di belakang kedai makannya juga menjadi tarikan pelanggan yang datang bersama anak kecil.

Iklan

“Meski terletak di ceruk kampung, ramai pelanggan termasuk dari Kelantan dan Terengganu sanggup berkunjung semata-mata mahu merasai keenakan daging rusa dan arnab segar.

“Pengunjung boleh datang makan sambil bermain dan memberi makan haiwan ternakan di sini,” katanya yang memperkenalkan konsep zoo mini terutamanya untuk pengunjung cilik.

Selain menu eksotik, pelbagai hidangan makanan Barat dan beberapa menu tempatan lain ditawarkan demi memberikan variasi pilihan kepada pelanggan.

Iklan

Nah! Ada tiga lagi lokasi pilihan Sinar Plus ini antaranya memiliki kelainannya tersendiri yang boleh dipertimbangkan untuk dijadikan destinasi jalan-jalan cari makan buat si pemburu makanan seumpamanya.

rendang lemak
MENU rendang landak menjadi pilihan di Restoran Lembah Bernam.

Restoran Lembah Bernam
Alamat: Jalan Main Canal, Tali Air 9, Sekinchan, Pasir Panjang, Selangor.Menu signatur: Rendang landak dan daging rusa masak lada hitamHarga: RM16/200gram (g) hingga RM24/200g
Facebook: Restoran Lembah Bernam

daging rusa
DAGING rusa masak lemak cili padi yang ditawarkan di Paeh Leleh Kuala Berang.

Restoran Paeh Leleh Kuala Berang
Alamat: Gerai Majlis Belia, Kampung Rahmat, Kuala Berang, Terengganu
Menu signatur: Pais patin dan landak masak lemak cili padi
Harga: RM2 hingga RM23
Instagram: @restoranpaehleleh
Facebook: Paeh Leleh Kuala Berang

belangkas
BELANGKAS masak lemak cili padi yang menjadi keunikan Orang Orang Art Cafe.

Orang Orang Art Cafe
Alamat: Parit 3 Timur, Jalan Lama Bagan Terap, Sungai Besar, Selangor
Harga: RM15/100gram sehingga RM40
Instagram: @orangorangcafe
Facebook: Orang Orang Art Cafe