Elemen gaya, kemewahan termasuklah kelajuan undang keterujaan   

MEMBANGKITKAN ghairah intrinsik dengan elemen gaya, kemewahan termasuklah kelajuan, kereta antik termahal di dunia sememangnya mempamerkan lambang keunggulannya yang tersendiri.

Merenung hasil bidikan lensa terhadap objek seni yang boleh digerakkan itu di makalah cetak mahupun atas talian sahaja mampu mengundang keterujaan peminatnya.

Klasik, antik dan unik, dek kesukarannya yang sukar dimiliki kerana kuantiti yang terhad, harganya bukan ‘kecil anak’. Tanda nilainya juga bergantung kepada pengekalan model konsep asal dan usianya.

Merujuk perkongsian classic-car-auctions.info, Turbo pada minggu ini menyenaraikan lima jenama kereta antik yang termahal di pasaran dunia.

  1. 1932 Bugatti Type 55 Super Sport Roadster (RM30.16 juta)

Berada di kedudukan teratas kereta antik paling mahal di dunia ialah 1932 Bugatti Type 55 Super Sport Roadster. Itu yang diputuskan semasa sesi lelongan di Bonhams Amelia Island 2020 di Amerika.

Sememangnya ramai yang teruja dengan model klasik Bugatti, Jenis 55 Super Sport Roadster ikonik itu. Dianggap sebagai pencapaian kejayaan automotif negara Eropah sebelum kemusnahan Perang Dunia II, perekanya Ettore Bugatti dan anaknya Jean, meninggalkan magis rekaan yang dikagumi hingga ke hari ini.

Jentera itu merupakan salah satu daripada 38 model supersport yang dikeluarkan dari tahun 1932 hingga 1935. Hanya 14 model Bugatti seumpamanya yang dihasilkan.

Daripada 14 varian itu, tiga daripadanya telah melalui ubah suai. Terbaharu, Bugatti Jenis 55 hanya menggunakan enjin supercharged 2.3 liter itu dibeli oleh pelelong kereta klasik pada harga RM30.16 juta.

Enjin: Inline-8

Kuasa kuda (hp):135

Revolusi per minit (rpm): 5,500.

  1. 1932 Bugatti Type 55 (RM21.54 juta)

Jenis Buggati 55 pada asalnya merupakan kereta lumba yang berkempen di Le Mans bersama Louis Chiron dan Count Guy Bouriat-Quintart sebagai pemandu bersama.

Dilelong pada harga RM21.54 juta, kereta klasik berkenaan menjadi paling mahal yang dijual di mana-mana lelongan di Paris Rétromobile 2020.

Ia direka dengan dua tempat duduk unik di dalam kabinnya. Bugatti jenis itu terus mengekalkan reka bentuk asalnya dan dijual lebih selama enam dekad.

Enjin: Naturally-aspirated V-8

Kuasa kuda: 320

Revolusi per minit: 4,800

  1. 1968 Ford Mustang GT “Bullitt” (Rm15.71 juta)

1968 Ford Mustang GT “Bullitt” mencipta rekod baharu apabila ia dijual pada harga RM15.71 juta pada majlis pengumpul kereta lelong, Mecum Kissimmee 2020, di FL 34744, Amerika Syarikat.

Magnet tarikan jentera itu didorong oleh aktor Amerika, Steve McQueen dalam tayangan filem “Bullitt” pada tahun 1968.

Barangkali dek aura Steve yang digelar ‘The King of Cool’ memacu kereta itu, harganya melambung lebih tinggi. Hebat bukan?

Iklan

Selepas tayangan filem tersebut, Mustang dijual tanpa premium. Ia dimiliki oleh keluarga Kieran sejak 1974. Mustang digunakan sebagai kenderaan harian dan terlihat mantap meluncur di jalanan walaupun dalam keadaan berkarat.

  1. 1907 Renault Jenis AI 35 / 45HP Vanderbilt Racer (RM14.01 juta)

Menduduki carta keempat kereta klasik paling termahal di dunia ialah 1907 Renault Jenis AI 35 / 45HP Vanderbilt Racer.

Renault Frères adalah sejumlah besar kereta pra-Perang Dunia pertama yang ditawarkan di Bonhams Amelia Island 2020. Ia dibeli oleh Muzium Automobil Audrain dengan nilai RM14.01 juta.

Renault berkenaan dikendalikan oleh peminat perlumbaan motor daripada ahli keluarga Vanderbilt yang terkenal, Willie K Vanderbilt untuk perlumbaan Amerika.

Ia berada dalam keadaan yang sangat asli sehingga menerima penghargaan Pra-War Racing, The Phil Hill Trophy dan anugerah dari Institut Revs di Pebble Beach, California, AS pada tahun 2016.

Iklan

Enjin: Empat silinder 450 Cubic Inch Inline

Kuasa kuda:60

Revolusi per minit: 1,200

  1. 1932 Hispano-Suiza J12 Dual Cowl Phaeton ( RM10.21 juta)

Dijual pada harga RM10.21 juta, kereta antik tersebut paling menarik berbanding model kereta 1930-an yang ditawarkan di lelongan Gooding Scottsdale 2020.

Kereta itu adalah salah satu daripada 120 casis J12 yang pernah dihasilkan. Sebanyak 10 versi asalnya mampu bertahan.

Pada tahun 1954, casis 13016 telah dibeli oleh pengumpul terkenal Briggs Cunningham dan kekal dalam koleksinya selama 35 tahun.